
Jaguh lari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi baru-baru ini mencuri perhatian apabila dijangka bakal meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM) selepas menamatkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram Pusat Sukan Universiti Malaya, Azeem dilihat mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa institusi pengajian tinggi itu bakal menjadi destinasi akademik seterusnya buat atlet berusia 22 tahun berkenaan.
Difahamkan, turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut ialah Dekan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM, Profesor Madya Dr Zulkarnain Jaafar serta Pengarah Pusat Sukan UM, Afizal Abu Othman yang bersama-sama membincangkan hala tuju pendidikan dan pembangunan atlet negara itu.
Sebelum ini, pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu pernah menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan pengajian beliau di Amerika Syarikat.
“Saya memang bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan pada masa sama mahu berada lebih dekat dengan keluarga selepas hampir empat tahun berada di Amerika Syarikat,” katanya sebelum ini.
Dalam pada itu, pemilihan UM dilihat bertepatan dengan perancangan kerjaya Azeem yang kini sedang memasuki fasa penting sebagai atlet elit negara menjelang beberapa kejohanan besar termasuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pada masa yang sama, pihak universiti dilaporkan bersedia membantu menyediakan laluan akademik yang sesuai bagi memastikan Azeem dapat meneruskan pengajian tanpa menjejaskan fokus serta komitmennya dalam arena olahraga antarabangsa.
Selain itu, kehadiran Azeem ke UM turut dianggap sebagai perkembangan positif buat institusi berkenaan yang sememangnya aktif dalam pembangunan atlet berprestasi tinggi negara. Prestasi semasa beliau juga terus membanggakan apabila muncul juara acara 100m lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan catatan 10.21 saat, selain membantu kuartet 4x100m negara mencatat masa 39.16 saat.
Sumber: Instagram Pusat Sukan UM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.