
Perkongsian beberapa foto bertemakan majlis merisik oleh pelakon jelita kelahiran Sarawak, Nurel Baharin, baru-baru ini mengundang perhatian ramai.
Malah, hantaran yang dimuat naik Juara Dewi Remaja 2023 itu turut mencetuskan pelbagai tanda tanya dan keterujaan dalam kalangan peminat yang membuat andaian bahawa pelakon berusia 24 tahun itu bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.
Mengulas mengenai keputusannya untuk melangkah ke alam perkahwinan pada usia muda, Nurel menjelaskan ia bukanlah dibuat atas desakan mana-mana pihak termasuk ahli keluarga.
Sebaliknya, keputusan tersebut hadir daripada keyakinan dan kesediaan dirinya sendiri untuk melalui fasa baharu dalam kehidupan.
“Ini adalah keputusan saya sendiri. Saya percaya pada rezeki Allah selepas perkahwinan, dan setiap fasa hidup ada aturan yang terbaik,” jelasnya.
Walaupun bakal memasuki fasa baharu sebagai seorang isteri, Nurel menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan perjalanan kerjayanya sebagai pelakon.
Menurutnya, dia tetap komited untuk terus aktif menerima tawaran lakonan serta mengembangkan bakat dalam industri hiburan tempatan.
Pelakon yang semakin dikenali menerusi watak Yaya dalam drama Ate Kome | Love You
yang kini ditayangkan di platform penstriman VIU itu juga optimis mampu mengimbangi kehidupan peribadi dan kerjaya.Dalam masa sama, anak jati Sarawak itu berharap keputusan yang dibuat tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Sebaliknya, Nurel berharap peminat dan rakan industri terus memberikan sokongan serta mendoakan yang terbaik buat dirinya, sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi.
“Saya harap semua dapat memberi sokongan dan mendoakan yang baik-baik untuk perjalanan karier saya.
“Saya sangat bersyukur dengan semua sokongan yang diberikan melalui media sosial dan saya tidak akan pernah berhenti menjadi seorang anak seni yang sentiasa menghasilkan karya terbaik buat industri seni kita,” tambahnya.
Untuk rekod, Nurel Baharin merupakan antara bakat muda yang semakin menyerlah dalam industri lakonan tempatan.
Popularitinya turut meningkat menerusi pelbagai drama di televisyen serta platform digital, sekali gus menjadikannya antara pelapis baharu yang semakin mendapat perhatian penonton.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.