‘Mommy, Daddy Balik Kan Esok? Sofia Rindu Daddy, Kenapa Orang Ramai Dengan Kita’

Share

“Mommy, daddy balik kan esok? Sofia rindu daddy. Kenapa orang ramai dengan kita.”

Luahan seorang anak kecil itu pastinya cukup meruntun hati apabila dikongsikan oleh ibunya, Izzati Syamimi, selepas suaminya, Kapten Zainol Afiq, disahkan antara lima mangsa yang terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di STOLport Long Lellang, Sarawak, semalam.

Menerusi platform Threads, Izzati yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata turut berkongsi perbualannya bersama anaknya, Sofia, ketika keluarga mereka berdepan detik yang cukup sukar.

“‘Sofia, mommy daddy sayang Sofia. Mommy pun masih berharap yang daddy akan balik. Kita kena kuat. Anak-anak mommy semua kuat,” katanya.

Mohon Orang Ramai Terus Mendoakan

Dalam beberapa hantaran sebelum ini, Izzati turut memohon orang ramai agar mendoakan dirinya bersama anak-anak serta dipermudahkan segala urusan mereka.

“Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya. Tak pernah i rasa sesakit ni,” luahnya.

Hantaran tersebut turut disertakan dengan tangkap layar yang menunjukkan kedudukan lokasi terakhir suaminya.

Dalam hantaran terbaharunya pagi ini pula, Izzati memohon pihak media agar memberikan ruang dan privasi kepada dirinya serta keluarga untuk menghadapi saat penuh dugaan itu.

Helikopter Terhempas Ketika Jalankan Perkhidmatan Doktor Udara

Dalam kejadian petang semalam, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran landasan STOLport Long Lellang di Ulu Baram.

Helikopter berkenaan ketika itu sedang menjalankan penerbangan perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ke kawasan pedalaman Sarawak.

Lima individu yang disahkan meninggal dunia ialah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, juruterbang Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Operasi SAR Digerakkan Pagi Ini

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini dengan penglibatan lebih 20 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk 12 anggota bomba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Penolong Penguasa Bomba Jessbent Jenus, pasukan berkenaan dijadualkan berlepas kira-kira jam 9 pagi menggunakan helikopter JBPM jenis Mi-171.

Sementara itu, bantuan udara dari Pangkalan Udara PDRM Kuching tidak dapat digerakkan semalam susulan keadaan cuaca berjerebu selain tidak mendapat kebenaran untuk terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Perjalanan melalui jalan darat dari Marudi ke lokasi kejadian pula dianggarkan mengambil masa kira-kira 10 jam.

Dalam situasi penuh pilu ini, keluarga mangsa pastinya mengharapkan kekuatan dan doa daripada orang ramai sepanjang melalui fasa sukar tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Harian Metro

Published by
Fath