Miss Universe Thailand Drama! Guru Tidak Layak Masuk, Diganti Peserta Kegemaran Ramai

Share

 

Pemilihan 30 finalis pertandingan ratu cantik Miss Universe Thailand (MUT) yang berlangsung hujung minggu lalu bertukar dramatik setelah berlakunya pertukaran peserta.

Terdahulu, organisasi MUT telahpun melangsungkan pusingan uji bakat melibatkan 45 peserta. Menerusinya, mereka hanya memilih 30 peserta untuk dijadikan sebagai finalis akhir. Pusingan tersebut memerlukan setiap peserta memberikan pandangan bernas mereka terhadap satu kata kunci yang dipilih secara rawak.

Di bahagian panel jurinya pula, ia terdiri daripada kelompok profesional serta empat bekas juara MUT termasuklah Anchilee Scott-Kemmis (MUT 2021), Amanda Obdam (MUT 2020), Maria Poonlertlarp (MUT 2017) dan Chalita Suansane (MUT 2016).

Lalu, 30 finalis yang dipilih bagi edisi MUT 2022 ini diyakini bijak, mempunyai skil komunikasi yang baik dan mampu ‘beraksi’ di bawah tekanan.

Begitupun, peminat dunia ratu cantik dikejutkan dengan ketiadaan salah seorang peserta kegemaran mereka yang gagal meloloskan diri ke kelompok Top 30. Peserta dimaksudkan ialah ‘First’ Patraporn Wang

yang merupakan juara Miss Intercontinental 2014 dan pernah melayakkan diri sebagai finalis Top 5 Miss Universe Thailand 2019.
‘First’ Patraporn Wang. Foto : Instagram
Patraporn sewaktu menyertai Miss Universe Thailand 2019. Foto : Instagram
Patroporn merupakan salah seorang gadis dunia ratu cantik yang sentiasa komited menyokong rakan-rakan peserta lain dalam apa jua pertandingan ratu cantik di Thailand. Foto : Instagram
Patraporn sewaktu berada di Kuala Lumpur untuk pertandingan Miss Intercontinental Malaysia sebagai jemputan khas. Foto : Instagram

Biarpun kegagalan Patraporn menyertai kelompok Top 30 ini mencetuskan perdebatan, jelas gadis berketinggian 180cm ini agak cemas semasa berdepan pusingan uji bakat yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube MUT itu.

Menurut penonton dari Thailand lagi, Patraporn turut melakukan kesilapan mendedahkan namanya sewaktu berada di belakang tirai; peraturan yang diberikan organisasi adalah untuk menjawab tanpa mendedahkan identiti diri agar juri boleh menilai kecerdasan pemikiran peserta dan mengenepikan rupa fizikal terlebih dahulu.

Patraporn menerusi akaun Instagram-nya meluahkan kesedihan dek kerana impiannya yang berkecai di peringkat awal. Namun, dia segera menerima nasibnya ini malah kelihatan telah ‘move on’ dengan melibatkan diri dalam sebuah projek berasaskan kecantikan.

Patraporn tidak dapat menyembunyikan rasa sedih sewaktu diumumkan tidak layak menyertai Top 30 Miss Universe Thailand 2022. Foto : Instagram

Tidak sampai sehari keputusan Top 30 diumumkan, MUT kembali dengan kejutan dan mengumumkan peserta bernombor MUT06 yang dikenali sebagai Kanokwan Chusuk terpaksa disingkirkan disebabkan statusnya sebagai seorang guru. Sebagai info, Thailand menerapkan satu peraturan sejak tahun 1961 di mana seorang guru tidak dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik.

(Dari Kiri) Patraporn Wang diserap masuk manakala Kanokwan Chusuk ditarik semula kelayakannya.

Justeru lewat malam tadi, Patroporn diumumkan sebagai peserta MUT31 dan diserap masuk untuk mengenapkan jumlah finalis menjadi 30 orang.

ARTIKEL BERKAITAN : Baru Berusia 18 Tahun, Pelajar Jurusan Pemasaran Dinobat Miss World Puerto Rico 2022 – REMAJA

Tinjauan REMAJA pada bahagian komen dan halaman pencinta dunia ratu cantik mendapati tidak semua orang bersetuju dengan penyerapan semula ini.

Mereka mempersoalkan mengapa identiti Kanokwan Chusuk tidak dikenal pasti terlebih dahulu sebelum sesi uji bakat. Malah, ada juga inginkan kepastian sama ada Patraporn Wang benar-benar menduduki tangga peserta ke-31 terbaik ataupun ini sekadar stun publisti semata. DRAMA!

Biarpun begitu, masih ramai menyokong penyerapan Patraporn ini kerana beranggapan gadis tersebut mampu mengubah landskap dunia ratu cantik di Thailand.

Berbekalkan pengalaman, skil persembahan di atas pentas dan kecantikan yang dimilikinya, tidak dinafikan Patraporn kini membayangi kehadiran 29 finalis MUT 2022 yang lain dan tidak mustahil juga untuknya menebus kekecewaan awal ini dengan memenangi gelaran Miss Universe Thailand 2022.

BACA LAGI : Telah Mesra Dalam ‘Group Chat’ Miss Supranational, Melisha Lin Bertolak Ke Poland Dalam Kebaya Songket – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN