
Beberapa keping foto dan video yang dimuat naik pelakon Gantung, Ikmal Amry bersama isterinya, Najla Shamsul semasa sedang bercuti di Pulau Langkawi pada minggu ini telah menarik perhatian ramai pihak.
Seperti dijangka, komen balas warganet pantas hadir setelah Ikmal memuat naik video dan foto mereka berdua semasa sedang menghabiskan masa di pulau peranginan itu sehingga mencetuskan perbualan di media sosial.
Ramai beranggapan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga itu melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan merentas negeri. Apatah lagi apabila soal rentas negeri demi ‘bekerja’ kini hangat dibualkan oleh warganet disebabkan beberapa kes berprofil tinggi.
Lantas, Ikmal menerusi hantaran di Instagram Story tampil menjelaskan situasi sebenar.


“Pertama sekali, saya minta maaf jika muat naik saya telah mengguris hati warganet di luar sana.
“Tapi di sini, saya ingin tekankan bahawa saya (dan isteri telah) bercuti tanpa melanggar SOP. Saya telah berpindah dari Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan untuk bersama isteri dan Negeri Sembilan kini di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kami ke Kedah yang juga negeri PKPP.
“Kami ke sana pun mengikut agensi pelancongan yang ditetapkan dan tidak menaiki kenderaan sendiri. Jadi, kami masih menjaga SOP.
“Cuma kesalahan saya adalah memuat naik hantaran (ke Instagram) pada masa yang tidak sesuai; dengan keaadan tidak boleh merentas negeri.
“Iyalah, manusia. Apabila sedang gembira, saya juga ingin menyimpan kenangan bersama isteri di Instagram. Untuk itu, saya minta maaf sangat-sangat. Selepas ini, saya akan berfikir dahulu tentang respon orang sekeliling sebelum ingin memuat naik sesuatu,” kata finalis Hero Remaja 2017 itu.
Terdahulu, Ikmal dan Najla telah disatukan empat bulan lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Majlis resepsi telah diadakan pada malam tersebut di sebuah hotel terkemuka di Melaka.
ARTIKEL BERKAITAN : Nyanyian Ikmal Amry Hadiah Kahwin Manis Untuk Isteri
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keliru Boleh Ke Tidak Kibar Bendera Putih Meminta Bantuan? Dengar Penjelasan Mufti WP

Sejak dua menjak ini viral tentang tanda pagar #KempenBenderaPutih telah galak dikibarkan di sekitar platform media sosial. Kempen ini mempunyai mesej yang mudah; iaitu meminta orang ramai yang sedang dalam kesusahan untuk menaikkan bendera putih di kediaman mereka bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.

#Kempenbenderaputih juga digerakkan warganet untuk membantu rakyat yang terdesak dan memerlukan bantuan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Namun, selepas kenyataan beberapa pemimpin mengenai menasihatkan golongan yang terdesak supaya berdoa kepada Tuhan.Masyarakat mula keliru tentang hukum kibar bendera putih ni, adakah ia berdosa dianggap terlalu meminta-minta?
Akhirnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al-Fatwa telah menjawab persoalan ini.

Ini ulasannya :
Irsyad Al-Fatwa Siri ke-588: Hukum Kibar Bendera Putih Untuk Meminta Bantuan
Soalan
Salam, saya nak minta penjelasan tuan mufti berkenaan isu kibar bendera putih baru-baru ini. Isu ni asalnya pasang bendera putih sebagai isyarat untuk minta bantuan jika ada yang dalam kesusahan era PKP, namun ada yang mengatakan tidak boleh kibar atau pasang bendera putih kerana seperti membuka aib dan ia menunjukkan kekalahan dan tanda putus asa. Mohon penjelasan tuan mufti untuk isu ini.
Ringkasan Jawapan
Waalaikumussalam wbt. Hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.
Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan.
Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan.
Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa.
Huraian
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat.
Meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam. Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin. Kebanyakan daripada kita semua beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dalam kesusahan, tetapi sebaliknya mereka yang dalam kesusahan ini memilih untuk memendam keresahan dan berdiam diri. Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT:
لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا ۗ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya”
[Surah al-Baqarah (273)]
Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili mengatakan ayat ini menegaskan kepada orang-orang mukmin bahawa sedekah itu hendaklah diberi kepada orang-orang yang memerlukan, sama ada orang Islam ataupun yang bukan Islam tidak kira mereka daripada golongan musyrik atau daripada Ahli kitab.
Beliau juga mengatakan tidak salah untuk meminta bantuan ketika di dalam kesusahan, dan ia bukanlah suatu perkara yang memalukan atau aib. Ayat ini juga menjadi dalil akan luasnya sifat rahmah dan kasih sayang di dalam Islam untuk sekalian manusia mengatasi batasan agama.
(Rujuk Tafsir al-Munir: 2/82[1])
Antara meminta-minta dan meminta kerana susah
Umum mengetahui bahawa perbuatan meminta-minta adalah perbuatan yang buruk. Tetapi perlu difahami bahawa perbuatan meminta-minta yang dilarang tersebut adalah bagi orang yang mempunyai kemampuan serta cukup keperluannya yang kemudian masih lagi meminta-minta daripada orang lain.
Imam Ibn Kathir ketika menerangkan bahawa perkataan (لا يسألون الناس إلحافا) dalam ayat 273 Surah al-Baqarah merujuk kepada perbuatan meminta-minta kepada orang lain dalam keadaan dia tidak mempunyai hajat atau keperluan kepadanya. Menurut beliau lagi, perbuatan meminta-minta yang dilarang juga merujuk kepada orang yang sengaja meminta sesuatu daripada orang lain untuk menambah atau memperbanyakkan hartanya.
(Rujuk Tafsir Ibn Kathir 705/1[2])
Tambahan lagi, terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan berkenaan perkara ini, antaranya Rasulullah SAW bersabda:
” من سأل وعنده ما يغنيه فإنما يستكثر من جمر جهنم ” قالوا يا رسول الله: وما يغنيه؟ قال: ” ما يغديه أو يعشيه “
Maksudnya: Sesiapa yang suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai kecukupan keperluan bagi dirinya maka dia sedang memperbanyakkan batu api neraka. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dikira sebagai cukup keperluannya?” Baginda menjawab, “Sesuatu yang mencukupi bagi dirinya (untuk makan) pada waktu siang dan malam.
[Riwayat Abu Daud (1629)]
Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang menyebut tentang orang yang meminta-minta dengan tujuan untuk mengumpul harta, sedangkan dalam masa yang sama keperluannya mencukupi. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
Maksudnya: Sesiapa yang meminta harta daripada orang lain dengan niat untuk memperbanyakkan hartanya maka dia sebenarnya meminta bara api neraka. Oleh itu, terpulanglah pada dia untuk meminta sikit atau banyak.
[Riwayat Ibn Hibban (534)]
Perbuatan meminta-minta adalah dilarang sekiranya orang meminta tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan keperluannya mencukupi. Namun begitu, dalam keadaan memaksa dan tersepit, meminta bantuan adalah perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.
(Rujuk Tafsir al-Munir 76/3[3]; Syarh al-Masobih 442/2[4])
Tolong-menolong asas kekuatan orang beriman
Islam menggalakkan umatnya untuk mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga. Ini kerana asas keimanan seorang mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَيْسَ الـمُؤْمِنُ الذِي يَشْبَعُ، وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan”
[Riwayat al-Baihaqi (19668)]
Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya untuk seorang mukmin mengambil cakna akan jiran tetangganya serta tidak mementingkan diri sendiri. Seorang mukmin juga sepatutnya mengamalkan sikap cakna dan saling menguatkan antara satu sama lain .
Oleh kerana itu, dalam keadaan saudara seislamnya dilanda kesempitan dan kesusahan, orang yang beriman perlu menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban saudara seagama mereka.
(Rujuk Fiqh al-Nawazil li al-Aqaliyyat al-Muslimah 930/2[5])
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, meminta bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya adalah dibenarkan bagi orang yang betul-betul dalam kesempitan. Manakala hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.
Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri pula maka wajar dielakkan.
Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk yang bagaimana yang dirasakan selesa.
Suasana pandemik sekarang ini adalah berbeza dan di luar dari kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang. Oleh itu tidak sepatutnya sebarang isu yang berkaitan dengan bantuan dan meminta bantuan dipolemikkan.
Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing. Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan. Wallahua’lam.
Ingat guys, jangan pernah mengalah. We are all in this together.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dapat Inspirasi Kedai Jalanan Jepun, Bekas Pekerja Kilang Kini Jutawan Kedai Runcit!

Jika betul-betul rajin dan berusaha, kejayaan pasti akan menyebelahi korang. InsyaAllah!
Siapa sangka lelaki yang hanya menjual barang-barang rumah dengan harga bajet, seorang bekas pekerja kilang kini menjadi seorang yang sangat berjaya dan jutawan?

Menurut laporan Bloomberg Billionaires Index, Miniso Group Holding Ltd yang berpangkalan di China telah mengaut dana sebanyak USD608 juta daripada tawaran awam awal di New York Thursday menjadikan saham 65% Ketua Pegawai Eksekutif, Ye Guofu yang dipegang bersama isterinya bernilai lebih daripada USD4 bilion.
Di China, 95% daripada produk yang dijual di Miniso bernilai di bawah harga 50 yuan (RM30) menjadikan ianya sebagai lokasi tumpuan belian yang memberikan saingan kepada syarikat barangan bajet dengan seperti Primark UK, Don Quijote Jepun dan Dollar General.

Menguasai hampir 60% pasaran barangan dagang di China, Miniso yang ditubuhkan pada 2013 oleh Guofu sehingga berjaya menjadi jutawan kedai runcit bersama seorang pereka Jepun, Miyake Junya sudah mempunyai lebih kurang 4,200 cawangan di 80 benua negara di benua Asia, Eropah, Australia, Afrika dan Amerika selepas tujuh tahun bertapak.
Inspirasi Kedai Jalanan Jepun
Miniso ditubuhkan dengan mengambil inspirasi daripada kedai jalanan Jepun yang menetapkan harga 100 yen untuk setiap barangan.

Bagi Guofu, frasa ‘semakin tinggi harga, semakin berkualiti produk yang ditawarkan’ hanyalah alasan untuk sesebuah perniagaan menjual produk dengan harga tinggi.
Jadi, dengan matlamat memberi manfaat kepada berjuta-juta penduduk dunia termasuklah golongan bangsawan dan orang kaya, Miniso dikembangkan dengan fokus kepada kualiti berbanding harga.
Bagusnya idea pemilik Miniso ni kan.
Jadi kelebihan yang ada pada diri sendiri dan jangan pernah bandingkan kemampuan korang dengan orang lain. Paling penting, rajin dan selalu berusaha. Betul tak?
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
PPIM Bongkar Pelajar DiTipu RM70,000 Oleh Sebuah IPTS Di Utara, Ditawarkan Kerja Sebaik Tamat Belajar

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sangat dekat dengan kebanyakan pelajar. Setiap kali kemasukan baru ke universiti, bagi pelajar yang kurang berkemampuan, sudah pasti mengharapkan memperoleh pjnjaman dari PTPTN bagi meneruskan pengajian.
Tidak hanya memperjuangkan kes-kes penipuan pinjaman Ahlong, semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan satu sidang media isu pelajar ditipu Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sehingga terpaksa berhutang RM70,000 gara-gara “pemotongan ghaib” dilakukan oleh IPTS di utara tanah air. Bayaran sebanyak RM500 ditolak bagi setiap semesta dengan alasan kos pentadbiran antara kolej dan PTPTN.
Difahamkan, lebih 1000 orang pelajar telah terpedaya dan masing-masing menangggung hutang berbeza-beza mengikut kursus diambil selain pihak IPTS mendakwa graduan lebih mudah mendapat kerja apabila mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

Seorang graduan, Noraini Muslim, 26 tahun, terpaksa menanggung bebanan hutang hampir RM70,000.00 gara-gara pemotongan bayaran “ghaib” berasingan yang ditolak melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi setiap semester oleh pihak kolej.
“Dalam surat perjanjian PTPTN sendiri hanya menyatakan berapa kita pinjam dan berapa kita perlu bayar balik. Itu sahaja.” keluhan Noraini Muslim yang hadir dalam sidang media ini bagi menceritakan pengalaman pahitnya ditipu sebuah IPTS yang terletak di Kedah.
“Anggaran graduan yang sudah terkena juga melebihi 1000 orang pelajar, melibatkan jumlah pinjaman yang berasingan mengikut kos yang dipilih.”

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada menerima banyak aduan berkaitan isu keculasan dan keengganan IPTS membayar semula baki yuran pemotongan daripada PTPTN selain aduan graduan terpedaya dengan janji manis IPTS bagi mendapatkan peluang pekerjaan selepas tamat sahaja tempoh pengajian.
Ketua Aktivis PPIM, Toqqi @ Nadzim Johan turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa IPTS yang mengambil kesempatan terhadap pelajar terutamanya apabila melibatkan hutang yang bakal ditanggung pelajar itu sendiri.
“Kita menitikberatkan perkara ini kerana tanpa diduga ia berlaku di IPTS, tempat menuntut ilmu, dan tiada penjelasan yang jelas tentang dua kos yang berasingan. Akhirnya nanti, pelajar keluar sahaja terus berhutang.”
“Satu perjanjian mesti jelas dan terang supaya tak terkejut, tetapi kenapa zakat juga dipotong secara tiba-tiba atas faktor wujudnya yuran pentadbiran? Apabila pelajar menyuarakan pendapat tentang isu terbabit, mereka akan dibuang atau digantung dari pengajian.”
Wujud persoalan apabila bantuan zakat yang diterima oleh pelajar pada setiap bulan juga dipotong 50% oleh IPTS tersebut juga tanpa sebarang notis.
Untuk pengetahuan semua, kes pelajar ini bukanlah yang pertama kali berlaku, terdapat ramai lagi graduan yang ditipu hidup-hidup dek promosi kolej yang mementingkan keuntungan semata. Di atas dasar kepercayaan ini juga, pengangguran yang tinggi di malaysia mencecah 504,500 orang yang juga terdiri dari pelajar lepasan IPTS dan IPTA.
Tuntasnya, harapan kita kepada pelajar agar mereka lebih berhati-hati dan berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran pinjaman bagi melanjutkan pelajaran. Bak kata pepatah, “Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang”. Biar mereka jemu dinasihatkan janji perkara ini tidak berbuah dua kali.
“Saya menggesa IPTS sendiri perlu telus dalam menguruskan pelajar. Selain itu, Menteri Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat masalah ini serta menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kelemahan yang mengkhianati agenda pendidikan Negara.” tegas Toqqi di akhir sidang media ini.
Sementara itu, dalam maklum balas berkaitan isu yang kecoh diperkatakan, PTPTN telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai isu ini.

SECARA rasmi PTPTN tidak menerima aduan daripada pelajar berkaitan isu yang dibangkitkan oleh PPIM. Namun demikian kita pandang serius isu ini, dan akan mengambil tindakan lanjut sesuai dengan bidang kuasa mengikut akta dan peraturan yang kita ada.
Sudah tentu sebagai Pengerusi PTPTN, pasti saya ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan perkara dibangkitkan dalam sidang media mengenai isu IPTS Perdaya Pelajar yang diadakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Toqqi @ Datuk Nadzim Johan pada 4 Januari 2018 sebelum sesuatu tindakan diambil.
PTPTN sentiasa mengutamakan penerima pinjaman PTPTN. Justeru itu bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara, PTPTN seberapa segera akan mengadakan perbincangan dengan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pelajar berkenaan mengenai isu yang dinyatakan dalam masa terdekat setelah maklumat lengkap PTPTN perolehi. Diharapkan masalah ini akan dapat diatasi segera dengan perbincangan yang diadakan kelak, dengan melibat semua pihak mengikut bidang kuasa yang PTPTN ada.
Bagi PTPTN sewajarnyalah IPTS mesti lebih telus dalam menguruskan perihal pelajar. Namun demikian, sekali lagi saya nyatakan jika terbukti dan beberapa perkara yang berlaku itu di bawah bidang kuasa PTPTN kita akan ambil tindakan mengikut kuasa yang ada. Walau bagaimana pun jika ianya dibawah kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) maka pastinya kita akan berbincang dengan mereka agar perkara ini diselesaikan jika betul ia berlaku.
Apapun PTPTN akan meneliti perkara ini kerana PTPTN bertanggungjawab memastikan pelajar yang menerima pembiayaan kita diberikan pembelaan. PTPTN juga berharap PPIM dapat berkerjasama dgn menyalurkan maklumat yg mereka ada dan PTPTN akan melihat tindakan yang bersesuaian mengikut kuasa yang kita ada.
YB Dato’ Dr Shamsul Anuar bin Hj Nasarah
Pengerusi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Remaja mengharapkan di sebalik kemelut yang timbul, jangan sampai golongan pelajar yang menjadi “mangsa “ kerakusan pihak tidak bertanggungjawab kerana masa depan generasi muda ini masih lagi panjang.
Sumber:-Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

