
Penyanyi dan pelakon terkenal, Minho daripada kumpulan SHINee baru-baru ini mencuri perhatian selepas mendedahkan rutin pemakanannya yang unik dalam usaha mengekalkan bentuk tubuhnya yang atletik dan berotot.
Menerusi sebuah episod terbaru rancangan televisyen ‘I Live Alone’, Minho atau nama sebenarnya Choi Minho (35) berkongsi mengenai rutin harian beliau selepas pulang ke rumah daripada menjalani aktiviti berkebun bonsai. Rasa lapar yang mula dirasai membuatkan pelantun lagu ‘Tempo’ itu segera menuju ke peti sejuk untuk menyediakan makanan.
Bukan sekadar menikmati hidangan ringan, Minho dilihat merebus sejumlah telur sebelum menjadikannya sebagai salah satu sumber protein dalam diet hariannya. Menurutnya, telur rebus sememangnya antara makanan yang sering dinikmatinya, terutama sejak mendapat nasihat berkaitan pengambilan protein selepas menjalani pemeriksaan komposisi badan.
“Telur rebus memang sedap. Saya selalu makan telur. Biasanya saya tidak terlalu menjaga pemakanan, tetapi selepas menjalani ujian komposisi badan, doktor memberitahu bahawa saya kekurangan protein,” katanya.
“Jadi, kebelakangan ini saya banyak makan telur. Lebih daripada 20 biji setiap dua hari,” jelasnya.
Minho kemudiannya dilihat menyediakan telur tersebut dengan membelahnya kepada dua sebelum dinikmati bersama timun dan cho-gochujang, iaitu sos berasaskan gochujang yang mempunyai rasa masam dan manis. Hidangan berkenaan turut mempunyai nilai sentimental buatnya kerana mengingatkan kepada makanan yang pernah dinikmatinya sebelum ini.
Menariknya, rutin makan Minho tidak terhenti pada telur sahaja. Selepas menikmati hidangan berkenaan, beliau meneruskan hidangan kedua yang terdiri daripada ramen bersama kimchi, sebelum mengakhiri sesi makannya dengan menikmati tiga biji buah pic.
Walaupun terkenal dengan imejnya yang aktif serta fizikal yang atletik, Minho bagaimanapun menjelaskan bahawa dirinya bukanlah individu yang sentiasa mengamalkan diet ketat. Sebaliknya, pengambilan telur yang banyak itu dilakukan sejak mengetahui keperluan tubuhnya terhadap protein adalah lebih tinggi.
Perkongsian tersebut nyata menarik perhatian penonton kerana ia memperlihatkan sisi kehidupan Minho di luar pentas, termasuk rutin pemakanan dan gaya hidupnya ketika tidak terikat dengan jadual sebagai seorang artis. Dalam masa sama, disiplin menjaga kecergasan terus menjadi antara perkara yang sinonim dengan anggota SHINee tersebut.
Sumber: MBC
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.