
Penyanyi terkenal, Minho daripada kumpulan popular SHINee baru-baru ini mencuri perhatian para peminat apabila berkongsi rutin kecergasannya sepanjang berada di Jakarta, Indonesia. Kehadiran idol K-Pop ini sempena penglibatannya dalam acara muzik turut diserikan dengan komitmennya yang tinggi terhadap gaya hidup sihat, sekaligus mengundang kekaguman orang ramai.
Menerusi perkongsian di Instagram pada 17 Januari lalu, Minho atau nama sebenarnya Choi Minho (35) telah memuat naik rekod larian sejauh 5.02 kilometer yang dilakukannya pada waktu tengah hari di sekitar bandar Jakarta. Dalam catatan tersebut, beliau berjaya mencatatkan masa 24 minit 13 saat dengan purata ‘pace’ 4 minit 50 saat bagi setiap kilometer, meskipun suhu pada ketika itu mencecah 29 darjah Celsius.
Di samping itu, aksi Minho berlari dalam keadaan cuaca panas dan kualiti udara Jakarta yang agak mencabar nyata menarik perhatian peminat. Di mana, ramai peminat yang meluahkan rasa kagum serta terkejut dengan tahap disiplin dan ketahanan fizikal penyanyi tersebut, memandangkan tidak semua individu mampu melakukan aktiviti larian dalam keadaan sedemikian.
Tidak terhenti di situ, beliau turut berkongsi gambar selepas menamatkan sesi latihan di gim pada hari yang sama. Perkongsian itu sekaligus membuktikan kesungguhannya dalam mengekalkan kecergasan tubuh badan sebelum membuat persembahan di ‘HUG K-Pop Concert’ yang berlangsung di Nusantara International Convention Exhibition (NICE), PIK 2, Jakarta.
Dalam salah satu hantaran, Minho menulis ringkas, “Larian selesai, latihan dada. Kekuatan otot juga penting,” yang segera dibanjiri komen positif daripada peminat. Pada masa yang sama, salah seorang peminat menulis bahawa berlari pada waktu tengah hari di Jakarta bukanlah perkara mudah, namun Minho tetap melakukannya, mencerminkan penghargaan mereka terhadap dedikasi idola kesayangan.
Dalam pada itu, komitmen Minho terhadap aktiviti sukan diteruskan keesokan harinya apabila pada 18 Januari, beliau sekali lagi berkongsi rutin kecergasan dengan melakukan larian dan sesi latihan gim pada sebelah petang di hotel penginapannya. Walaupun jadual konsert yang padat, Minho tetap meluangkan masa untuk menjaga kesihatan fizikal secara konsisten.
Menariknya, perkongsian demi perkongsian tersebut terus menjadi topik perbualan hangat di media sosial, sekaligus mengukuhkan imej Minho sebagai seorang selebriti yang bukan sahaja berdisiplin, malah menjadikan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.
Untuk rekod, Minho sememangnya dikenali sebagai antara ahli SHINee yang paling aktif dalam bidang sukan. Selain larian dan latihan gim, beliau juga sering terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal seperti bola sepak, golf dan latihan stamina. Gaya hidup aktif ini bukan sahaja membantu mengekalkan prestasi pentasnya, malah menjadi inspirasi kepada peminat untuk mengamalkan kehidupan yang lebih sihat.
Wah! Memang mantap dan hebat betul tenaga dan stamina Minho kan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.