Berita

Minggu Ketujuh Penuh Emosi: Kebahagiaan Bertukar Tragedi, Thariq Ridzuwan Hilang Cinta Hati

Share

Drama penuh emosi Thariq Ridzuwan: His Treasure semakin menghimpit jiwa penonton apabila episod ke-13 dan 14 membawa kisah cinta, pengorbanan serta kehilangan yang benar-benar menyentuh hati.

Jika sebelum ini, penonton  disajikan dengan aksi dan konflik penuh debaran, kali ini jalan ceritanya lebih berat apabila ia memberi fokus kepada dugaan buat Thariq dan Radwa.

Episod 13: Kebahagiaan Yang Singkat, Kehilangan Yang Meragut Jiwa

Permulaannya cukup indah apabila Thariq menerima berita bahawa isterinya, Radwa sedang mengandung. Namun kegembiraannya sedikit tercalar apabila dia mengetahui Radwa menyembunyikan perkara itu daripadanya. Walaupun begitu, kasih sayang Thariq terhadap Radwa jelas tidak tergugat.

Thariq dan pasukannya, Holy Dragons turut dipuji kerana berjaya menumpaskan sindiket Gajah Hitam. Dalam masa sama, Thariq memohon untuk terus bertugas di kem sehingga selesai tempoh kehamilan Radwa dan permohonan itu diluluskan.

Beberapa bulan kemudian, kebahagiaan itu sekali lagi diuji. Thariq diarahkan untuk mengetuai misi menyelamat dua anggota yang hilang iaitu Adrean dan Haider. Walaupun berat hati kerana Radwa bakal bersalin bila-bila masa, Radwa sendiri merelakan pemergian Thariq demi keselamatan rakan seperjuangan.

[SPOILER ALERT]

Misi menyelamat itu berjaya, namun Thariq cedera parah dan hampir kehilangan nyawa. Pada masa yang sama, Radwa selamat melahirkan seorang bayi perempuan comel yang diberi nama Thea Radea. Namun, saat bahagia itu tidak lama apabila Radwa mengalami komplikasi dan meninggal dunia selepas bersalin.

Berita itu benar-benar memusnahkan hati Thariq. Saat pulang ke Kuala Lumpur, dia hanya mampu menatap jasad kaku isterinya.

Tidak dapat menerima hakikat, Thariq berbisik pada Radwa bahawa jika dia pergi, Thariq juga akan menyusul. Episod berakhir dengan Thariq rebah lalu meninggalkan penonton sebak.

Episod 14: Thariq Dalam Koma, Perebutan Hak Penjagaan Bermula

Suasana menjadi lebih pilu pada episod 14 apabila Thariq masih koma dan Radwa telah selamat dikebumikan tanpa kehadirannya.

Keluarga serta rakan-rakan Holy Dragons terus berduka, manakala Dato’ Tizz dan Datin Tiana bimbang dengan keadaan Thariq yang masih belum sedar kerana kehilangan semangat untuk hidup.

Dalam pada itu, muncul pula isu baharu iaitu Rozita dan Raudhah merancang untuk mengambil Thea dengan niat jahat bagi mendapatkan wang daripada keluarga Thariq. Walaupun ditentang Husaini, rancangan mereka tetap diteruskan.

Mereka berdua juga berani mendakwa kononnya Radwa telah mewasiatkan anak itu kepada mereka sehingga menyebabkan Dato’ Tizz dan Datin Tiana hampir mempercayai helah tersebut.

Ketika perebutan semakin tegang antara Rozita, Raudhah, Thalia dan Haider di hospital, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Suara Thariq kedengaran dan dia menegaskan bahawa Thea adalah anaknya. Semua terdiam dan… mendapati Thariq akhirnya sedar daripada koma!


Dua episod ini benar-benar menguji emosi penonton. Daripada kegembiraan menanti cahaya mata, kepada kehilangan tragis Radwa dan sehinggalah konflik baru tentang hak penjagaan Thea… memang ibarat menaiki emotional roller coaster ya!

Dengan Thariq yang akhirnya kembali sedar, persoalannya kini adalah, mampukah dia bangkit semula demi anak kecil yang ditinggalkan Radwa?

Nantikan episod-episod seterusnya setiap Rabu dan Khamis hanya di Astro One, Astro Ria (saluran 104) dan sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath