Berita

“Mereka Persiapkan Saya Dengan Baik” -Mia Dedikasi Emas SUKMA Buat Abang-Abang, Mahu Teruskan Legasi Keluarga Ghazali

Share

Legasi keluarga Ghazali dalam arena Muay Thai terus mencipta sejarah apabila adik bongsu mereka, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, 15, berjaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas Mia, begitu mesra disapa, menampilkan aksi cukup mendebarkan dalam acara Muay Thai wanita kategori 42 hingga 45 kilogram (kg).

Dalam aksi final, Mia berdepan wakil Johor, Damia Husna Azian, dalam pertarungan sengit terutama pada pusingan terakhir.

Bagaimanapun, Mia berjaya mempertahankan kelebihan mata sebelum dinobatkan sebagai juara dengan kemenangan tipis

34-33.

Abang-Abang Jadi Pembakar Semangat

Di sebalik kejayaan tersebut, Mia tidak lupa insan yang banyak membentuk perjalanan dirinya dalam sukan berkenaan, khususnya abang-abangnya yang terlebih dahulu mencipta nama dalam arena Muay Thai.

Ketika ditanya mengenai keyakinannya berdepan lawan yang lebih berpengalaman, Mia berkata kepercayaan terhadap latihan, jurulatih dan Allah menjadi antara kekuatan utamanya.

Malah, dia turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada abang-abangnya yang menurutnya memainkan peranan besar dalam mempersiapkan dirinya untuk menghadapi saingan.


“Saya percaya kepada latihan, jurulatih dan kepada ALLAH. Abang-abang saya, mereka telah memainkan peranan besar untuk saya dan mereka telah mempersiapkan saya dengan baik,” kongsinya.

Jelasnya, sokongan serta tunjuk ajar daripada keluarga bukan sekadar menjadi motivasi, malah membantu Mia lebih bersedia untuk menghadapi pentas pertandingan.

Mahu Jejak Langkah Abang Di Thailand

Tidak hanya berpuas hati dengan kejayaan di peringkat SUKMA, Mia sudah menyimpan impian besar untuk mengikut jejak langkah adik-beradiknya yang beraksi di peringkat antarabangsa.

Malah, atlet muda itu menyasarkan untuk beraksi di Thailand dan suatu hari nanti berentap dalam kejohanan berprestij, Rajadamnern World Series (RWS).

“Saya mahu berjaya seperti adik-beradik saya di luar negara, di Thailand. Saya mahu bertarung di Rajadamnern World Series (RWS)” tuturnya.

Sokongan Jadi Suntikan Semangat

Pada usia baru 15 tahun, pengalaman beraksi di pentas SUKMA ternyata memberikan kenangan cukup bermakna buat Mia.

Kehadiran penyokong yang memberikan sokongan sepanjang pertandingan turut menjadi pembakar semangat untuknya terus bekerja lebih keras dan memperbaiki prestasi pada masa akan datang.

Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga Ghazali, Mia juga tidak dapat menyembunyikan rasa tersentuh apabila mengenangkan sokongan yang diberikan oleh jurulatihnya sepanjang perjalanan menuju kemenangan.

Kini, dengan satu lagi emas berjaya dibawa pulang, Mia bukan sahaja meneruskan legasi keluarga dalam sukan Muay Thai, malah membuktikan bahawa dirinya juga punya impian sendiri untuk mencipta nama di pentas dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath