
Pelakon terkenal tanah air, Datin Nelydia Senrose, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan di atas penganugerahan darjah kebesaran kepada suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Nelydia meluahkan rasa penuh hormat dan terima kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang telah mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada suaminya yang juga merupakan Pengerusi Fezka Holdings Sdn. Bhd.
“Merafak sembah serta menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan Pahang atas limpah perkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-66 kepada suami tercinta @mhafezhalimi,” tulis pelakon drama Seindah Hujan Cinta itu.
Dalam hantaran sama, Nelydia atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 30, turut berkongsi beberapa keping foto rasmi dari majlis penganugerahan tersebut yang turut memaparkan kehadiran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Untuk rekod, penganugerahan itu berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan dan menyaksikan seramai 58 individu menerima darjah kebesaran serta pingat sebagai tanda jasa dan sumbangan masing-masing kepada negeri Pahang.
Antara penerima lain termasuk Mohamad Zaidi Aziz, suami kepada kakak usahawan popular Datuk Seri Aliff Syukri, Yatie Kamarzaman. Dengan pengurniaan tersebut, Yatie juga kini bergelar Datin.
Nelydia dan Datuk Hafez telah mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019 dalam sebuah majlis tertutup. Sejak itu, pasangan ini sering mendapat perhatian peminat meskipun memilih untuk menjalani kehidupan rumah tangga secara lebih privasi.
Pengurniaan gelaran Datuk kepada Mohd Hafez bukan sekadar satu penghormatan, malah mencerminkan kepercayaan serta pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam bidang korporat dan masyarakat. Sebagai isteri, Nelydia tidak lupa memanjatkan doa agar suaminya terus diberi kesihatan, kekuatan dan hikmah dalam meneruskan tanggungjawab yang lebih besar.
Majalah Remaja mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Hafez dan Datin Nelydia atas pengiktirafan yang membanggakan ini.
BACA LAGI : Nelydia Senrose Sudah Tidak Lagi Berhijab?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.