Insiden bumbung bocor di Axiata Arena semalam ketika Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia sedang berlangsung pada hari ini adalah insiden di luar jangkaan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Iliyas Jamal di sidang media mengejut malam tadi, bumbung di Axiata Arena rupa-rupanya sedang melalui proses penukaran oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak April 2024 untuk menggantikan bumbung lama yang telah digunakan sejak Sukan Komanwel 1998.
Walaupun sedang mengalami proses penambahbaikan itu, PSM memberi syarat kepada JKR untuk tidak menutup stadium tersebut agar acara-acara dan kejohanan sukan boleh dianjurkan selama ini tanpa isu kebocoran.
Malangnya, keadaan cuaca hujan dan angin kuat yang melanda Lembah Klang pada minggu ini telah mengakibatkan isu bumbung bocor.
Tambahnya, air hujan telah memasuki arena melalui celah-celah bumbung yang sedang ditukar lalu menyebabkan air hujan menitis dan terkena pada gelanggang kejohanan.
Ads
Turut menerima tempias (pun intended) adalah tempat duduk penyokong dan mereka terpaksa bergegas ke sudut lain.
Peminat Kecewa, PSM Mohon Maaf
Dalam pada itu, PSM membuat permohonan maaf kepada semua pihak terutamanya pihak penganjur dan peminat badminton negara di atas insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena.
Bagaimanapun, tinjauan REMAJA di ruangan komen media sosial mendapati peminat badminton kecewa dengan insiden yang berlaku ketika Malaysia menjadi tuan rumah sebuah kejohanan antarabangsa berprestij seperti Terbuka Malaysia.
Ads
“Memalukan. Sudah lah semua wakil negara kalah. Permulaan 2025 sangat mendukacitakan bagi sukan badminton. Semua kalah first round.” – Facebook / Jep
“Kau ingat level sukaneka ke ****?? Malu weii satu dunia tengok!!! Saman jangan tak saman.” – Instagram / @fadhjamal
REMAJA difahamkan PSM telah mengenal pasti kawasan-kawasan bumbung bermasalah dan sedang menyegerakan kerja-kerja bersesuaian dengan kerjasama pihak JKR dan kontraktor yang dilantik.
Buli di MRSM: Asyraf Wajdi dedah ramai pelaku datang dari keluarga bermasalah, sekaligus menjawab persoalan mengapa isu buli masih terus berlaku di sekolah berasrama penuh itu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan bahawa kebanyakan kes buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berpunca daripada latar belakang keluarga yang berantakan. Menurut beliau, rekod lampau menunjukkan ramai pelajar yang terlibat dalam kes buli datang daripada keluarga yang mempunyai masalah dalaman sehingga mempengaruhi emosi dan psikologi mereka.
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Rekod lampau jadi petunjuk awal
Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa latar belakang keluarga pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan besar kepada tingkah laku mereka. Ada remaja yang membawa beban emosi dari rumah ke sekolah, lalu melampiaskan perasaan itu kepada rakan sebaya melalui perbuatan buli.
Intervensi awal untuk cegah buli
Bagi menangani isu ini, pihaknya telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk menyelaras intervensi awal di setiap MRSM. Kaunselor dan guru akan diberi peranan lebih besar untuk mengenal pasti latar belakang pelajar sejak awal lagi. Dengan cara ini, masalah emosi dan tingkah laku dapat ditangani sebelum ia menjejaskan suasana pembelajaran.
Guru dan kaunselor juga digalakkan mendekati pelajar dengan lebih rapat agar proses ta‘lim (mengajar) dan ta‘adib (menyemai adab dan nilai) dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pendekatan holistik ini diharap dapat melahirkan pelajar MRSM yang seimbang, bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga matang dari segi sahsiah dan emosi.
Buli tinggalkan kesan jangka panjang
Isu buli bukan sekadar masalah disiplin, tetapi ia boleh meninggalkan trauma yang mendalam kepada mangsa. Ada yang hilang keyakinan diri, mengalami tekanan emosi, malah terganggu prestasi akademik. Oleh itu, usaha mencegah lebih penting daripada menunggu ia berlaku.
Sebagai remaja, mesej yang perlu difahami jelas — setiap orang berhak untuk rasa selamat, dihormati dan disayangi. Jangan jadikan masalah peribadi sebagai alasan untuk menyakiti orang lain. Jika kita datang dari keluarga yang bermasalah, ia tidak bermakna masa depan juga akan musnah. Sebaliknya, kita boleh memilih untuk berubah, membina identiti positif, dan menjadi inspirasi kepada orang lain.
Insiden buli kembali menggemparkan komuniti sekolah apabila seorang pelajar tingkatan empat direman tiga hari bagi membantu siasatan kes buli pelajar asrama melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai dipukul sehingga pengsan dalam tandas sebuah asrama sekolah, awal pagi Isnin.
Mangsa, yang ditemui tidak sedarkan diri oleh guru bertugas, segera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan. Menurut pihak hospital, mangsa mengalami beberapa kesan lebam pada tubuh, dipercayai akibat hentakan fizikal.
Punca: Dakwaan Mengaibkan Rakan
Menurut siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12.10 tengah malam. Insiden itu tercetus apabila mangsa didakwa memburukkan seorang rakan kepada salah seorang suspek. Berang dengan tindakan itu, seorang pelajar kemudian mengajak tiga pelajar lain untuk mencari mangsa sebelum insiden pukul tersebut berlaku.
Seorang pelajar tingkatan empat direman tiga hari untuk membantu siasatan memukul seorang pelajar hingga pengsan manakala tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan memaklumkan bahawa empat pelajar berusia antara 16 hingga 17 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Daripada empat pelajar yang ditahan, hanya seorang, iaitu pelajar tingkatan empat, direman selama tiga hari. Tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani pada Khamis,” katanya.
Tiada CCTV, Kes Pertama di Asrama
Kejadian tersebut mengejutkan komuniti sekolah kerana ia merupakan kes pertama seumpamanya dilaporkan di asrama berkenaan. Lebih membimbangkan, lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan bukti visual.
Ibu mangsa dimaklumkan mengenai insiden itu pada jam 9.05 pagi oleh pihak sekolah, beberapa jam selepas anaknya ditemukan pengsan.
Disiasat Di Bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan ugutan jenayah. Pihak polis juga sedang mendapatkan keterangan lanjut daripada pelajar lain serta pihak sekolah bagi melengkapkan siasatan.
Isu Buli: Pengajaran Untuk Semua
Kes ini sekali lagi membangkitkan persoalan tentang keselamatan pelajar di asrama, khususnya melibatkan isu buli yang sering berlaku di luar pantauan guru. Dalam banyak keadaan, budaya “hukuman sendiri” dalam kalangan pelajar menjadi punca kepada insiden lebih besar seperti ini.
Majalah Remaja menyeru semua pelajar untuk lebih peka, berani bersuara jika menjadi mangsa, dan tidak menormalkan tindakan yang mengancam keselamatan rakan sendiri. Ini termasuk tidak menyertai atau menyokong sebarang bentuk intimidasi.
Perlu Sistem Keselamatan Yang Lebih Kukuh
Insiden kes buli pelajar asrama ini menjadi isyarat jelas kepada pihak sekolah untuk memperkukuh sistem keselamatan, termasuk pemasangan kamera CCTV di kawasan kritikal seperti koridor, laluan ke tandas, dan ruang tangga.
Selain itu, guru bertugas wajar memperbanyak rondaan terutama pada waktu malam bagi memastikan tiada aktiviti luar kawal berlaku. Pelajar juga perlu dididik tentang kepentingan melapor kejadian buli sebelum ia menjadi lebih serius.
Peranan Ibu Bapa & Komuniti Sekolah
Ibu bapa turut memainkan peranan besar dengan memantau perubahan tingkah laku anak, bertanya keadaan mereka di asrama dan memberi ruang selamat untuk mereka berkongsi masalah tanpa rasa takut. Kebanyakan mangsa buli memilih untuk berdiam diri kerana bimbang dibalas dendam.
Dalam menangani kes buli pelajar asrama, kerjasama antara guru, pelajar, dan ibu bapa adalah faktor paling penting. Tanpa kesedaran kolektif, isu sebegini akan terus berulang dalam pelbagai bentuk dan memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental pelajar.
Masa Depan Pelajar Tidak Seharusnya Terjejas
Kesan buli bukan sekadar fizikal malah boleh mengganggu fokus akademik, menjatuhkan keyakinan diri dan memberi trauma mendalam kepada mangsa. Perkara ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan masa depan pelajar yang sedang membina identiti diri.
Dengan peningkatan kes-kes keselamatan di sekolah, komuniti pendidikan harus memperbaharui pendekatan pencegahan untuk memastikan setiap pelajar merasa dilindungi dan dihormati.
Pada akhirnya, insiden ini mengingatkan kita bahawa setiap pelajar berhak berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat. Tindakan tegas perlu diambil agar tragedi seperti kes buli pelajar asrama tidak berulang dan semua pelajar dapat meneruskan kehidupan sekolah dengan lebih yakin dan terjamin.
Seorang guru wanita yang dipercayai terlibat dalam insiden merempuh dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah sehingga mengakibatkan seorang pelajar maut, dibawa ke mahkamah pagi ini.
Guru berusia 57 tahun itu dilihat tiba dengan menaiki trak polis kira-kira jam 8.40 pagi dengan memakai pakaian lokap. Difahamkan, dia akan direman di Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, media melaporkan kejadian tragis yang berlaku tengah hari semalam itu melibatkan dua pelajar perempuan, apabila sebuah kenderaan dipandu seorang wanita merempuh mereka di hadapan surau sekolah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, dilaporkan berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari dan melibatkan seorang pemandu wanita serta dua pelajar perempuan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan sebelum hilang kawalan dan terbabas, lalu melanggar kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.
Akibat insiden itu, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nurhidayah Damanhoori mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjadi Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM. Kenali perjalanan dan inspirasi kejayaannya.