
Terbaru, juara dunia empat kali, Max Verstappen mencuri perhatian peminat apabila berjaya menamatkan kemarau kemenangan musim ini selepas mempamerkan aksi konsisten untuk mengawal perlumbaan yang dicemari cuaca tidak menentu dan muncul juara Grand Prix (GP) Bahrain yang berlangsung dalam keadaan mencabar di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), pada Ahad.
Difahamkan, kejayaan pemandu Red Bull Racing itu hadir selepas perlumbaan terpaksa berdepan kelewatan lebih 90 minit susulan hujan lebat yang melanda litar, selain keadaan permukaan yang dipenuhi takungan air. Situasi berkenaan memaksa pihak kawalan perlumbaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menangguhkan prosedur permulaan atas faktor keselamatan.
Perlumbaan yang asalnya dijadualkan bermula lebih awal itu hanya dilepaskan secara rasmi pada jam 4.33 petang selepas bendera merah dikibarkan ketika pusingan formasi. Akibat kelewatan tersebut, jarak perlumbaan turut dipendekkan kepada 55 pusingan bagi memastikan saingan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

View this post on Instagram
Beraksi dari petak utama, Verstappen bagaimanapun tidak membenarkan tekanan daripada pencabar utamanya menggugat fokusnya sepanjang perlumbaan. Pelumba Belanda itu berjaya mempertahankan kedudukan di hadapan Andrea Kimi Antonelli dari Mercedes dan bintang Ferrari, Lewis Hamilton, sebelum melintasi garisan penamat dengan kelebihan 2.307 saat.
Antonelli terpaksa berpuas hati di tempat kedua meskipun memberikan tekanan hebat pada fasa akhir ketika permukaan litar semakin kering. Hamilton pula melengkapkan podium dengan menduduki tempat ketiga, hanya 4.919 saat di belakang Verstappen dalam perlumbaan yang menyaksikan persaingan sengit sehingga ke penghujung.
Dalam pada itu, George Russell melalui nasib kurang baik apabila masalah teknikal pada jentera Mercedes memaksanya menamatkan perlumbaan lebih awal dengan enam pusingan berbaki. Alexander Albon dari Williams dan Valtteri Bottas (Cadillac) turut gagal menghabiskan perlumbaan, manakala Charles Leclerc membawa Ferrari ke tempat keempat, diikuti Isack Hadjar dan Oscar Piastri masing-masing di kedudukan kelima serta keenam.

Selain itu, penyandang juara dunia, Lando Norris pula menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, sekaligus kehilangan peluang untuk mengutip mata lebih besar. Kemenangan tersebut membolehkan Verstappen memperoleh 25 mata dan melonjak ke tangga keempat keseluruhan dengan 188 mata, sekaligus memintas Norris dalam kedudukan kejuaraan pemandu.
BACA: Sepang Masih Bertaraf Dunia, Alex Yoong Yakin Formula 1 Wajar Kembali Ke Malaysia
Sementara itu, Antonelli terus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan dengan mengumpul 320 mata, manakala Russell kekal di tempat kedua dengan 236 mata. Aksi seterusnya akan berlangsung menerusi GP Singapura pada hujung minggu hadapan, dengan perebutan kejuaraan dijangka kembali menjadi tumpuan utama.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











