
Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut dengan meriah selepas negara melepasi era endemik tidak bermaksud masyarakat harus melepaskan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga penjarakan sosial dan kesihatan peribadi.
Ini memandangkan gejala wabak COVID-19 dilihat masih belum berakhir sepenuhnya apabila terdapat lonjakan jumlah jangkitan kebelakangan ini di seluruh dunia.
Ia susulan subvarian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Arcturus di mana ramai pakar gusar sekiranya penularannya di negara-negara seperti India dan terbaru, Singapura akan merebak ke Malaysia tidak lama lagi.
Laporan Berita Harian semalam mendapatkan pandangan Pakar Virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang berkata, asas genetik Arcturus masih berpandukan kepada Omicron.
Kajian makmal pula mendapati Arcturus mempunyai gejala sama seperti beberapa varian sebelum ini seperti demam, sesak nafas dan batuk.
Begitupun, satu gejala unik yang ada pada Arcturus dan tiada pada varian sebelum ini adalah gejala konjunktivitis iaitu kondisi mata yang menjadi merah. Gejala ini lebih kerap dilihat berlaku pada kanak-kanak, namun golongan dewasa juga tidak terlepas daripadanya.

Tambah Prof Dr Sazaly, Malaysia tidak terkecuali untuk terdedah dengan mana-mana varian baharu sama ada secara semulajadi ataupun disebabkan merebak dari negara luar; biarpun tiada kes yang dicatatkan setakat ini berpunca daripada Arcturus.
Tambah membimbangkan kini adalah disebabkan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang hujung minggu ini. Oleh itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan dan terus berhati-hati mencegah jangkitan wabak sewaktu beraya.
Sekiranya korang mempunyai gejala-gejala yang dinamakan di atas tadi, dapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera.
SUMBER: (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Imran Aqil: Hero Di Hati Dahlia Rizal – Isu Digital Sept/Okt 2023

Ibarat kisah dongeng sang teruna kekal setia menanti puteri idaman, ikatan sama cantik sama padan yang terjalin di antara Imran Aqil & Dahlia Rizal jelas kelihatan menerusi lensa REMAJA bagi edisi istimewa September / Oktober kali ini.
konsep & penataan gaya FZ AIMMAN teks ADRIANA SYAURAH arahan seni & grafik AZNIZA AZIZ fotografi HAIKAL SHUIB suntingan HEZRY ROKMAN penerbit video & suntingan SURIA NUR AMIRA videografi AFIQ NAQIUDDIN, IKRAM MASDY & ISKANDA HALIM solekan Dahlia Rizal ARY MUZAMER solekan & dandanan Imran Aqil; tatarias hijab Dahlia Rizal VEE MUHAMAD persalinan Dahlia Rizal WEI HAO YONG STUDIOS & LILIT WOMAN lokasi SOL STUDIO

Tanggal 9 September 2023 menjadi saksi kepada hari bahagia buat pelakon merangkap penyampai radio, Muhammad Imran Aqil bin Mohd Salehuddin dan pempengaruh popular, Nur Dahlia Binti Ahmad Rizal. Setelah setahun mengikat tali pertunangan, bekas peserta pencarian Hero Remaja 2020 ini selamat bergelar suami Dahlia Rizal dengan sekali lafaz.
Detik Pengenalan
Saling berkenalan bermula di dunia maya menerusi aplikasi Instagram, tidak ramai peminat Imran dan Dahlia yang mengetahui bahawa mereka terlebih dahulu mengikat tali persahabatan bagi satu tempoh yang agak lama.
“Saya mula mengenali Dahlia ketika baru berusia 18 tahun, dia pula 16 tahun.
“Tiada pun niat untuk mendekatinya secara romantik, cuma saya menghubunginya untuk mempelawa jika dia berminat untuk bermain badminton dalam kalangan circle saya. Hanya sekadar perlawanan mesra. Cumanya, Dahlia yang asyik menolak pelawaan tersebut bukan sekali tetapi untuk beberapa kali. (ketawa) Rasanya tiga kali jugalah saya ditolak sebelum akhirnya Dahlia mengatakan ya,” jelas Imran yang dirias oleh Vee Muhamad sambil tersengih memandang Dahlia yang sedang dirias oleh Ary Muzamer pada pagi hari penggambaran.
Imran yang ketika itu masih bergelar pelajar jurusan Kejuruteraan Komputer Elektronik dan masih lagi hijau dalam industri seni hiburan tanpa segan mengakui dia sedar dirinya perlu mengukur baju di badan sendiri apabila berhadapan dengan Dahlia.

Pada mata Imran, Dahlia merupakan gadis di luar liga dan berkemungkinan tidak ‘sekufu’ dengannya. Rasa tidak yakin itu bertambah-tambah apabila dia menyedari ramai jejaka sebaya dari latar belakang keluarga berada cuba mendekati Dahlia.
“Waktu saya jejakkan kaki ke gelanggang badminton untuk kali pertama bersama Dahlia itu, ya (ketawa) saya dalam keadaan selekeh. Bayangkan sahajalah, kasut futsal pun saya jadikan kasut bermain badminton. Status kewangan juga tidak stabil kerana masih bergelar pelajar.
“Tetapi Dahlia tidak terus menjatuhkan label ke atas saya. Malah dia tidak kisah pun dengan latar belakang saya yang mungkin sedikit berbeza daripadanya. Dari momen itu, kami mula berkawan dan saya mudah rapat dengan adik-beradik lelaki Dahlia sendiri tanpa perlu ‘terlalu mencuba’. Cuma jujurnya, kami berdua lebih selesa sekadar berkawan,” kongsinya.

Status Sepupu Jadi Taktik Samaran
Masihkah kamu ingat, merpati sejoli ini satu ketika dahulu pernah tular dek desas-desus mengatakan mereka sepupu! Menariknya, juwita berwajah manis ini pada awalnya mencatur taktik ‘trolling’ ke atas warganet dengan ‘mengiyakan’ sahaja khabar angin itu.
“Satu-persatu komen timbul membandingkan wajah kami dan ternyata ramai yang mengatakan saya dan Imran seiras hinggakan status ‘sepupu’ itu berulang kali menyinggah di notifikasi saya.
“Saya pula sememangnya ‘gemar’ bergurau senda dengan warganet apabila mereka tidak putus harapan cuba ‘kenenkan’ kami berdua kerana kelihatan rapat dan serasi. Apa lagi, demi mengelakkan ia menjadi khabar angin liar kerana Imran sendiri sudah berpunya pada waktu itu, saya pun ‘tipu sunatlah’,” seloroh Dahlia.

Kawan Sampai Kahwin
Bertahun-tahun mereka menjalin ikatan persahabatan sehinggakan terdetik di hati Imran yang pernah muncul sebagai pemenang kategori Hero Inspirasi 2020 bahawa dirinya harus lebih jelas dengan kemahuan diri sendiri. Enggan membiarkan bunga di hadapan pandangannya menjadi milik kumbang lain, Imran memberanikan diri untuk memulakan langkah pertama.
“Sesetengah individu meletakkan aras kejayaan pada kerjaya. Namun, kejayaan peribadi sebenar saya terletak pada termeterainya ikatan perkahwinan. Mungkin ada sahaja yangg tidak bersetuju cuma bagi saya, perkahwinan adalah salah satu simbol saya telah berjaya dalam hidup.
“Perasaan saya kepada Dahlia yang selama ini ‘tersorok’ mula diekspresikan dengan jelas. Bahkan sebelum saya betul-betul confess kepada empunya badan, saya terlebih dahulu memohon keizinan daripada adik-beradiknya.
“Saya jumpa abang, adik dan kakaknya kerana bagi saya, restu keluarga itu adalah satu kemestian.
“Awalnya, kakak Dahlia sedikit berat hati kerana enggan persahabatan kami terlerai begitu sahaja andai saya ditolak oleh Dahlia.” -imran aqil
“Tetapi saya jelaskan bahawa semua itu kita serahkan sahaja kepada takdir dan diri Dahlia sendiri,” ujarnya.
Suri hati Imran berusia 22 tahun ini turut mengakui ada justifikasi kukuh mengapa kakaknya bertindak sebegitu rupa. Dahlia pernah menolak permintaan beberapa jejaka sebelum ini kerana dirinya belum bersedia untuk sebarang hubungan serius.

“Kakak saya tahu karakter adiknya bagaimana; saya seorang yang susah untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki secara rawak dan tanpa bersebab.
“Balqis (kakak Dahlia) ketika itu sudahpun agak rapat dengan Imran dan mengetahui hati budi Imran yang ikhlas dalam perhuubungan kami sebagai sahabat. Disebabkan itulah, Balqis enggan membiarkan persahabatan kami terlerai begitu sahaja andai saya menolak Imran mentah-mentah,” komennya.
Lambaian Cinta Akhirnya Berbalas Jua
Berbulan lamanya bertepuk sebelah tangan, keikhlasan hati Imran akhirnya terbalas apabila Dahlia mula menyedari usahanya selama ini.
“Imran mula confess pada Januari 2022 dan saya mula develop feelings sekitar Mei atau Jun pada tahun sama,
“Perasaan mula berputik apabila Imran menyambut ulang tahun saya sebaik-baiknya. Meriah! Tetapi masih mengikut caranya sendiri. Kata orang, antara cara untuk kita tahu kasih sayang sebenar seorang lelaki terletak pada cara dia menyambut hari lahir insan kesayangannya.
“Saya ringkas orangnya dan lebih gemar mengumpulkan kawan-kawan rapat sewaktu hari lahir.
“Imran just understood the assignmenttanpa saya perlu memberikan hint langsung.That’s the kind of man he is.” -Dahlia rizal

Asam Garam Perhubungan
Akui Dahlia lagi, mana-mana perhubungan pasti mempunyai pasang surutnya.
“Saya sejenis yang tidak gemar berkias dalam meluahkan perasaan. Andai kata hati saya terluka, saya inginkan si dia menyelesaikan apa-apa konflik secepat mungkin. Kalau ikutkan hati, saya seorang yang memilih untuk berbincang there and then.
“Berbeza dengan Imran yang tidak gemarkan konflik dan kadangkala lebih rela untuk lari daripada situasi tegang agar perasaannya tenang. menenangkan perasaannya. But I guess, opposites attract.”
Seperkara lagi, Dahlia dahulunya juga pernah skeptikal soal perhubungan. Ini memandangkan latar belakang keluarganya sendiri yang pernah berdepan episod keruntuhan. Disebabkan itulah, dia lebih memilih untuk berdikari dan dahulunya tiada perancangan untuk berkahwin pada usia muda.

“Saya selalu ada pemikiran negatif di mana I might as well tidak berkahwin jika selang beberapa tahun kemudian, saya juga akan bercerai seperti yang terjadi dalam keluarga saya.
“Namun apabila melihat usaha Imran yang bekerja keras dalam menghalalkan hubungan kami, saya serta-merta yakin untuk bergelar seorang isteri. Saya juga memperkuatkan Rohani dan mentaliti dengan mendirikan solat istikharah agar mendapat pentunjuk andai inilah masa yang sesuai untuk bernikah.
“Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan kami. Soal hati, terus wujud perasaan tenang apabila bersama Imran,” jelasnya.

Konsep & Persediaan Majlis
Enggan mengambil ringan persiapan majlis nikah sewaktu meniti masa menanti tanggal 9 September, Dahlia memilih untuk menjadi orang kuat penentu konsep majlis.
“Majoriti persediaan majlis datang daripada saya sendiri dan kami sedaya upaya cuba mencari lokasi majlis yang sesuai untuk memuatkan tetamu yang hadir,
“Melaka menjadi pilihan kerana ibu saya berasal dari sana. Tambahan pula, ramai dalam kalangan saudara mara saya yang sudah berusia menetap di sana. Mudah sikit, bukan untuk mereka semua hadir bagi memeriahkan majlis.”
Tanggungjawab Dikongsi Bersama
Peralihan daripada sahabat menjadi kekasih dan kini bergelar suami isteri yang sah telah membawa nafas baharu dalam perhubungan Imran dan Dahlia. Dek perasaan sayang dan perkongsian tanggungjawab yang semakin dirasai, pasangan ini masih dalam fasa membiasakan diri dalam fasa berikutnya dalam kehidupan mereka.
Moga-moga pertalian ini terus berkekalan sehingga ke akhir hayat, hanya doa ikhlas daripada yang mengenali diri mereka diinginkan daripada Imran dan Dahlia.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bukan PKP Menyeluruh, Hanya SOP Tempat Kerja & Sektor Ekonomi Lebih Ketat

Kerajaan telah mewujudkan pasukan khas (special task force) yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bank Negara untuk meneliti keputusan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat demi mengurangkan jumlah kes baharu dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia.
Kewujudan varian baru yang lebih agresif telah menyebabkan usaha untuk melandaikan lingkungan jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

Dua strategi yang diambil oleh kerajaan kini adalah untuk mengurangkan keperluan pekerja untuk berkhidmat di pejabat dan mengehadkan tempoh operasi perniagaan; seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media khas pada hari ini.
Operasi Kedai & Perniagaan
Jika dahulu, operasi dijalankan dari 6 pagi hingga 10 malam, kini ia dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam. Begitu juga dengan operasi pandu lalu, penjualan makanan secara bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery), kedai runcit dan kedai serbaneka serta kedai keperluan harian.
Waktu operasi baharu ini juga akan melibatkan kedai makanan haiwan, stesen minyak (kecuali di lebuhraya) dan kedai dobi. Cuma operasi farmasi dari 8 pagi hingga 10 malam yang dikekalkan.
Selebihnya, operasi perniagaan lain termasuk di dalam pusat membeli-belah hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pergerakan selepas 8 malam di seluruh negara.
Bekerja Dari Rumah
80 peratus pekerja dari sektor awam (atau kira-kira 750,000 orang pekerja) akan diminta untuk bekerja dari rumah. Selebihnya, pekerja lain dibenarkan beroperasi di pejabat.
Manakala di sektor swasta, 40 peratus pekerja (atau kira-kira 6.1 juta pekerja) akan diminta bekerja dari rumah. Ini sekaligus menjadikan 7 hingga 8 juta pekerja tidak lagi perlu keluar dari rumah untuk ke tempat kerja. Kesannya amat besar kepada pergerakan rakyat dan ia menjadikan pengawalan di jalan raya lebih mudah kepada pihak berkuasa.
Pengangkutan Awam
Kapasiti dalam pengangkutan awam akan dihadkan kepada 50 peratus saja daripada jumlah sebenar. Kekerapan perkhidmatannya juga akan dikurangkan.
*
SOP yang lebih ketat ini akan mempercepatkan usaha mengawal linkungan. Jika jumlah kes baharu dapat dikurangkan, kerajaan bersedia untuk melonggarkan SOP yang ketat ini.
Walaupun PKP 3.0 kali ini bukanlah menyeluruh seperti PKP 1.0 pada tahun lalu, usaha mengetatkan atau melonggarkan SOP akan bergantung kepada keadaan semasa demi memberi ruang bernafas kepada sektor ekonomi yang teruk terjejas pada tahun lalu.
Apa yang penting kini adalah amalan kendiri agar diri dan masyarakat kita akan terus selamat.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kekurangan Diri Bukan Penghalang Kejayaan, Graduan PKU Ini Jadi Salah Seorang Penerima Hadiah Pingat Emas USM!

Penerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) bagi pelajar kelainan upaya (PKU), Nurul Asyiqin Shafie, membuktikan bahawa kekurangan diri bukanlah penghalang untuk mencapai impian.
Meskipun menghadapi cabaran fizikal yang besar, graduan berusia 23 tahun itu tidak menjadikan keadaan itu sebagai halangan, sebaliknya terus berusaha keras dan menanam tekad untuk berjaya seperti pelajar lain.
Anak kelahiran Setiu, Terengganu itu, yang kini memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESOL (Kepujian), mengakui bahawa walaupun pihak universiti menyediakan kemudahan khusus untuk pelajar OKU, dia lebih memilih untuk mencabar dirinya sendiri dan tidak mahu diperlakukan berbeza daripada pelajar normal.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan Ini ‘Hadiahkan’ Anugerah Pelajaran Diraja Buat Ibu Bapa, Tekad Mahu Ubah Nasib Keluarga. Tahniah!

“Saya mengalami kemalangan ketika membonceng motosikal dengan sepupu. Akibat kemalangan itu, urat pada keempat-empat jari kaki kanan saya putus.
“Dan terpaksa dipotong sepanjang 15 sentimeter. Sejak itu saya tidak boleh melakukan aktiviti lasak,” katanya.
Tambahnya lagi, semasa semester terakhir, dia sekali lagi terlibat dalam kemalangan kecil yang menyebabkan kaki kiri retak, terpaksa bergantung sepenuhnya pada kaki kanan untuk bergerak.
Walaupun doktor mengesyorkan cuti selama 58 hari bagi proses pemulihan, Nurul Asyiqin memilih untuk mengambil risiko dengan hanya bercuti selama empat hari.
“Saya tidak mahu menangguhkan pengajian saya, jika tidak, saya mungkin akan terlepas sesi konvokesyen ini,” ujarnya penuh semangat.
ARTIKEL BERKAITAN: 3 Beradik Terima Skrol Diploma Pasca Siswazah Serentak di Majlis Konvokesyen UniSZA. Tahniah!

Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESOL, Nurul Asyiqin telah berjaya mengatasi pelbagai rintangan sepanjang perjalanan pendidikannya.
Kini, dia juga mengajar tuisyen dalam talian secara sambilan, sambil mendalami ilmu dan berkongsi pengetahuan dengan pelajar lain. Kejayaan yang diraihnya ini tidak hanya didedikasikan untuk dirinya sendiri, tetapi juga untuk kedua orang tuanya.
Dia berkata, kejayaan ini adalah untuk bapanya, Shafie Awang, 61, seorang mekanik, dan ibunya, Maziah Hamid, 45, yang kini menghidap penyakit buah pinggang.
Selain Nurul Asyiqin, turut menerima anugerah pada upacara konvokesyen USM yang berlangsung selama lapan hari mulai esok hingga 26 November ini adalah tiga lagi graduan cemerlang yang turut berjuang untuk mencapai kejayaan mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

