
Konsert minggu kelima Big Stage malam tadi melabuhkan tirainya tanpa sebarang penyingkiran. Namun itu bukan bermakna persembahan kesemua peserta cukup memuaskan hati juri dan penonton di rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan Big Stage 5 Minggu 3: Naufal Azrin Tersingkir, Waode Nombor ‘Syatu’ & Dedikasi Lagu Kepada Rasul & Tuhan
Ajai bersama juri jemputan, Dato’ Ramli M. S
Juri tetap acara pertandingan nyanyian itu, Ajai sendiri mengakui bahawa kualiti persembahan yang dipamerkan oleh peserta kali ini agak mengecewakan.
Komposer tersebut menekankan bahawa nasihat yang telah mereka berikan pada minggu-minggu sebelum ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Kesilapan yang telah kita tegur sebelum ini, berulang kembali. COEX sebagai contoh, kita dah cakap sebelum ini ‘sequence’ nyanyian kena sama. Tapi adakah mereka mendengar catatan-catatan yang kita ketengahkan pada mereka minggu sebelum ini?
“Firdaus Rahmat juga ada ditegur sebelum ini agar jangan buat persembahan Big Stage ini umpama konsert sendiri. Kita masih lagi ada protokol penjurian pertandingan yang perlu dilakukan maka kesedapan lagu itu wajib ada,” tekannya lagi.

Bekas kumpulan Exists itu juga menekankan bahawa kebanyakan peserta lebih tertumpu kepada ‘menghafal’ lagu daripada memahami penjiwaan sesebuah lagu itu sendiri.
“Hafal lagu sahaja tidak cukup, peserta perlu ‘study more’ tentang kehendak lagu tersebut sebelum mereka beralih kepada ‘step’ tarian dan sebagainya.
Beliau turut menasihati agar peserta tidak bergantung kepada undian peminat kerana juri menilai persembahan mereka dengan lebih telus menerusi kualiti vokal dan kreativiti yang dipamerkan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Astro Gempak
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kedekut Punya Pasal, Ustaz Urus Mayat Tanpa Kepala Lepas Simpan Setahun Dalam Peti Ais

Apabila terdengar berita kematian, perkara pertama yang terlintas selain memberitahu kepada ahli keluarga terdekat, kita biasanya akan menghubungi pengurus jenazah kawasan bagi urusan gali kubur selain mandi dan kafankan.
Bagi yang pernah merasai kehilangan pasti tahu bagaimana perasaan ini. Islam juga menggalakkan pengebumian segera agar tidak menyeksa jenazah. Namun meski beragama Islam, ada juga yang masih jahil termasuk berkira tentang kos pengurusan jenazah sehingga sanggup mengebumikan jenazah selepas setahun disimpan.
Inilah pengalaman dikongsikan oleh pengurus jenazah, Mohamad Manderes Abdul Rahman, 42 tahun yang sudah 26 tahun terlibat dalam pengurusan jenazah di kawasan Batu Caves, Selangor.

Berkongsi pengalaman sepanjang 26 tahun lalu, kata Mohamad atau mesra disapa Ustaz Mohamad, dia teringat pernah memandikan satu jenazah yang sudah setahun di simpan di rumah mayat sebuah hospital di sini.
“Mayat ini sudah setahun disimpan dalam peti sejuk hospital. Warisnya ada tapi tak mahu keluarkan duit bayar pengurusan jenazah termasuk harga kain kapan. Disebabkan sudah setahun disimpan, satu hari saya dipanggil untuk uruskan jenazah lelaki muslim ini.

Kata Ustaz Mohamad, dia sentiasa bersangka baik pada semua jenazah diuruskannya tapi jenazah lelaki ini benar-benar memberinya satu pengalaman lain.
“Disebabkan sudah setahun disimpan, walau dalam peti sejuk tapi mayatnya sudah mereput. Di perutnya penuh ulat mayat. Bukan macam ulat sampah warna putih tu tapi warna hitam dan berbulu-bulu. Paling senang nak imagine macam ulat bulu tu. Penuh hitam badannya.
“Ulat sampah datang dari lalat dan sebab itu warnanya putih. Tapi ulat mayat nie berbeza betul. Hitam warnanya. Datang dari haba perut kita selepas meninggal. Walau pun luar sejuk tapi haba badan panas. Paling senang nak tengok keadaan sama seperti ikan kembung pecah perut.
“Tugas saya adalah mengaut dan membuang keseluruhan ulat bulu ini. Penuh juga dan selepas itu saya mandikan. Fizikal jenazah dah tak macam orang baru meninggal, terlalu uzur. Sana sini dan mereput dan tertanggal.
“Lepas mandikan semua, saat dah kapan baru nampak kepalanya tergolek dalam troli. Disebabkan itu, saya mandikan kemudian. Memandangkan dah banyak reput, kita biasanya tak cantumkan pun, cuma letak di sisi mayat dan bila tanam begitu juga, letak di sisi,” katanya ketika ditemui.
Kata Ustaz Mohamad, dia tidak pasti punca kematian lelaki tersebut namun apa yang mengejutkan dirinya, semasa di tanah perkuburan, datang waris jenazah ini dan mengaku itu saudaranya.
“Mereka tak uruskan jenazah sebab berkira nak keluarkan duit pengurusan jenazah. Beristigfar saya, ada juga orang Islam yang jahil begini tapi saya sentiasa mahu bersangka baik dan meneruskan tugas sehingga selesai,”katanya berkata, individu yang menyeksa jenazah dengan tidak mahu mengebumikan dengan kadar segera atas alasan tiada duit adalah berdosa besar hukumnya.
Bagi Ustaz Mohamad, apa yang dikongsinya ini adalah sebagai pengajaran semata-mata dan dijadikan iktibar kerana menurutnya pengurusan jenazah bagi orang islam itu amat mudah sebenarnya tapi karenah ahli keluargalah penyebab kepada beberapa kesulitan timbul sehingga jadi kes di atas.
Perlukah mayat mangsa hancur seperti dilanggar keretapi dimandikan? Tonton video ini!
Dalam pada itu, jelas Ustaz Mohamad, apabila jenazah orang Islam itu meninggal dalam keadaan mayatnya hancur dan sebahagian anggota badan hilang, biasanya bagi kes-kes kematian akibat dilanggar komuter atau keretapi, jenazahnya tidak wajib dimandikan sama seperti jenazah yang sempurna.
“Kita perlu tayammum sahaja. Menggunakan debu dari tanah dan sapukan sekali di tubuhnya sebelum dikapankan. Tayammum ini dilakukan bagi mengelakkan anggota tubuh terus hancur jika terkena air.
“Bila selesai, kapankan terus dan kemudian disolatkan. Biasanya bagi kes-kes begini, pihak hospital tak akan menjahit anggota badan apatah lagi jika kebanyakan anggota badan itu sukar ditemui di lokasi kemalangan.
“Kta biasa uruskan saja jenazahnya mengikut apa diberikan. Tapi solatnya macam biasa. Jika kemudian selepas ditanam, kita terjumpa sebahagian anggotanya dan kalau selepas dna mengesahkan itu memang mayat individu itu, wajib kita basuh dan solatkan anggota tubuh berkenaan. Tak perlu gali semula kubur individu tapi cukuplah dengan menanamnya di tanah perkuburan,’katanya memaklumkan kos pengurusan jenazah termasuk mandi, kain kapan, solat jenazah, upahnya adalah sebanyak RM450 sahaja.
“Urusan ke kubur menggunakan van jenazah itu lain. Biasanya RM10 di hospital kerajaan jika dalam daerah tapi dikiran RM2 bagi satu kilometer bagi luar daerah,”katanya ketika ditemui.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Lisa BLACKPINK Hulur Sumbangan Hasil Jualan ‘Preloved’ Untuk Projek Air & Sanitasi Kanak-Kanak Di Afrika

Baru-baru ini, bintang terkenal K-Pop, Lisa BLACKPINK mencuri perhatian ramai apabila menunjukkan sisi prihatin beliau dengan menyumbangkan hasil kutipan daripada pasar lambak yang diadakan beberapa bulan lalu kepada pertubuhan Good Neighbors iaitu sebuah NGO global yang memperjuangkan hak kanak-kanak.
Pengumuman tersebut dikongsikan menerusi satu kenyataan oleh Sony Music Korea pada 18 Ogos lalu, dan difahamkan dana tersebut diperoleh Lisa atau nama sebenarnya Lalisa Manobal (28) melalui ‘Welcome to Lisa’s Closet’ yang menjual koleksi peribadi beliau termasuk pakaian, aksesori dan juga produk kecantikan yang pernah digunakannya.

Menurut pelantun lagu ‘Moonlit Floor (Kiss Me)’ itu, beliau meluahkan rasa terharunya apabila usaha kecilnya itu mampu membawa perubahan besar.
“Terima kasih kepada mereka yang telah bergabung dengan kami dalam berbagi, ini adalah waktu yang berharga untuk dapat memberikan harapan bagi masa depan seseorang,” katanya.
“Saya akan terus mengambil bahagian agar dapat memberikan perubahan positif kepada anak-anak yang memerlukan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, acara jualan pasar lambak ini bukan sahaja menarik perhatian kerana peluang peminat untuk berjumpa secara lebih dekat dengan idola mereka, ia juga sekaligus memberi pulangan yang positif disebalik niat murni penganjurannya dimana Lisa sejak awal sudah menjelaskan bahawa semua hasil jualan akan didermakan untuk tujuan kebajikan.

Difahamkan, hasil kutipan tersebut disalurkan kepada projek air bersih dan sanitasi oleh Good Neighbors di Niger, Afrika. Antara inisiatif yang akan dijalankan termasuk pemasangan sistem tenaga suria, tangki air dan air pancut minuman. Projek ini dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,800 penduduk termasuk kanak-kanak di wilayah Kollo, Niger.
Sementara itu, misi ini dilihat amat penting kerana isu akses kepada air bersih masih menjadi cabaran utama bagi banyak komuniti di Afrika. Melalui bantuan ini, penduduk tempatan akan menikmati kehidupan yang lebih sihat dan selamat.
Sumbangan Lisa ini sekali lagi membuktikan bahawa idola K-Pop bukan sahaja mampu memberi pengaruh dalam bidang hiburan, tetapi juga menjadi suara perubahan yang memberi impak positif kepada masyarakat dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Percutian Dalam Negara Ala Maldives, Ini 11 Resort Terapung Paling ‘Wow’ Di Malaysia!

Status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia kini terjawab menerusi perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Beliau mengumumkan pelaksanaan fasa baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan menggantikan PKPB yang bakal tamat pada 10 Jun ini.
Rakyat kini dibenarkan untuk merentas negeri dan operasi premis juga dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa. Tapi yang paling menarik ialah melancong dalam negara atau pelancongan domestik sudah dibenarkan. Yayyy…

Jangan sedih korang tak dapat bercuti kekuar negara tu. Eh tapi apa kurangnya Malaysia, ini 11 resort atas air di Malaysia yang boleh korang pilih untuk bercuti bersama orang tersayang! Feeling Maldives terus!
1. AVANI SEPANG RESORT

Terletak di sepanjang pantai, Avani Sepang Resort terkenal dengan vila laut berbentuk kelapa sawit.
Menawarkan lebih 315 bilik yang luas dengan 4 jenis penginapan yang boleh dipilih, resort ini menjanjikan tempat yang tepat untuk korang melepas kerinduan setelah tiga bulan tidak dapat menikmati keindahan pandai. Dikelilingi oleh perairan Selat Melaka, pemandangan matahari terbenam dapat dilihat dari setiap bilik.
2. LEXIS HIBISCUS, PORT DICKSON

Terletak di sepanjang pesisir pantai Pasir Panjang di Port Dickson, Lexis Hibiscus sememangnya popular dengan jolokan vila berbentuk bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya.
Dengan lebih daripada 600 vila dan suite, Lexis antara vila atas air yang sering menjadi wishlist percutian bagi couple yang ingin berbulan madu.
Setiap vila di resort ini dihiasi dengan rekaan dalaman yang moden dan elegan, manakala salah satu bahagian terbaik mengenai vila ini ialah kolam renang peribadi dan saunanya!
3. GAYANA MARINE RESORT, SABAH

Bercuti di sini korang bakal menikmati 2 pakej keindahan semulajadi yang menakjubkan iaitu berada di atas laut dengan menghadap pemandangan mempesonakan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.
Terdapat lebih daripada 52 vila tropika yang dikelilingi hutan bakau dan laut yang luas. Pada waktu malam pula hanya ditemani dengan bunyi mendamaikan daripada hempasan ombak-ombak kecil di bawah bilik penginapan anda. Selain aktiviti snorkeling atau menyelam, di sini juga anda boleh melawat Pusat Penyelidikan Ekologi Marin bagi menambahkan pengetahuan mengenai pemeliharaan terumbu karang dan hidupan laut yang semakin terancam.
4. GEM ISLAND RESORT & SPA, TERENGGANU

Resort yang terletak di pulau persendirian, Pulau Gemia ini sangat ekslusif dan romantik buat pasangan yang memilih untuk bermadu kasih di sini.
Resort ini menawarkan kira-kira 45 buah vila yang menghadap ke laut. Menariknya jika bercuti di sini, korang berpeluang untuk melihat secara dekat penyu yang mendarat untuk menetaskan telur di pulau tersebut. Tentunya ia merupakan sebuah pengalaman berharga yang susah untuk didapati di mana-mana.
5. AVILLION, PORT DICKSON

Diilhamkan oleh suasana perkampungan nelayan Melayu, resort bertaraf 5 bintang ini hanya menghidangkan layanan dan servis terbaik buat tetamunya.
Dengan pemandangan Selat Melaka, terdapat lebih 250 bilik yang direka khas sebagai chalet dan vila terapung yang dilengkapi balkoni peribadi menghadap laut, bilik mandi berlangitkan awan biru dan tab jakuzi sendiri!
6. MABUL WATER BUNGALOWS

Terletak di Pulau Mabul, resort terapung ini menjanjikan privasi dan kemewahan kepada para tetamunya. Dengan lebih daripada 16 banglo kayu yang dibina di atas air, tidur malam anda bertambah dingin dan mendamaikan kerana dibelai angin laut yang sepoi-sepoi bahasa.
Kalau korang suka melakukan aktiviti, jangan risau kerana mereka mempunyai begitu banyak aktiviti untuk ditawarkan seperti berkayak di laut dan selam skuba di salah satu lokasi diving terbaik di dunia!
7. SIPADAN KAPALAI DIVE RESORT

Dibina di atas tiang-tiang pasir di terumbu Ligitan, perkampung air mewah ini sangat popular untuk percutian bulan madu dan lokasi perkahwinan, disebabkan suasananya yang cantik ibarat syurga dunia. Menghadap Laut Celebes, setiap chalet kayu dilengkapi balkoni peribadi. Dikenali sebagai salah satu tapak menyelam terbaik di Sabah, Sipadan Kapalai adalah syurga bagi golongan penyelam dari serata dunia.
8. BERJAYA RESORT LANGKAWI

Kalau korang peminat air laut dan pantai berpasir putih, Berjaya Resort adalah tempat terbaik.
Chalet bergaya Malaysia dikelilingi hutan hujan tropika memberikan suasana hijau dan mendamaikan fikiran. Selepas puas meneroka keindahan resort, anda juga boleh menaiki kerata kabel untuk ke Sky Bridge yang menjadi tarikan pelancongan jika ke Langkawi.
9. POM POM ISLAND RESORT

Dikelilingi oleh pantai berpasir putih dan perairan biru Laut Celebes, Pom Pom Island Resort adalah sebuah resort yang menempatkan pelbagai jenis vila, antaranya vila air dan vila taman.
Setiap vila dilengkapi dengan balkoni sendiri. Selain menghabiskan masa berenang dan menyelam di sekitar pulau, terdapat aktiviti lain yang boleh anda lakukan, seperti berkayak, bermain bola sepak pantai atau berbasikal.
10. DRAGON INN FLOATING RESORT, SEMPORNA

Ini satu lagi resort terapung yang cantik di Negeri Bawah Bayu iaitu Dragon Inn Floating Resort atau lebih dikenali sebagai Semporna Floating. Oleh kerana lokasinya yang strategik dengan pusat bandar, resort ini juga sering menjadi pilihan popular di kalangan pelancong yang datang ke Semporna.
Reka bentuk resort ini diilhamkan oleh kampung air tradisional kaum Bajau, kerana Semporna merupakan perkampungan bagi kumpulan etnik Bajau.
11. PANGKOR LAUT RESORT, PERAK

Pangkor Laut Resort cukup terkenal di mata dunia dan pernah dinobatkan sebagai “One of The Top Resort In Asia” oleh Conde Nest Travellers Readers Choice Awards pada tahun 2017!
Bilik di resort ini sangat luas dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang tampak eksklusif. Paling penting, landskap di kawasan luar bilik sangat cantik dan menenangkan kerana dikelilingi pokok-pokok hijau dan dihiburkan dengan kicauan burung serta bunyian cengkerik.
Ishh tak sabar la, So korang dah boleh la plan dari sekarang nak bercuti ke mana. Namun jangan dilupa pesanan Perdana Menteri supaya semua orang kekal berdisiplin untuk mengelakkan peningkatan kes COVID-19 kerana tanggungjawab untuk membendung penularan wabak tersebut kini berada di atas bahu kita sendiri.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

