
Baru-baru ini, penyanyi rap terkenal, Mark Lee kembali meraih perhatian para peminat apabila melancarkan single terbarunya berjudul ‘My Friend’, sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan karier solonya selepas sekian lama dikenali sebagai anggota kumpulan popular NCT.
Menerusi beberapa perkongsian yang dimuat naik oleh Upper Room di Instagram, karya tersebut diperkenalkan sebagai pelancaran pertama Mark dibawah label bebas yang diasaskan oleh beliau sendiri. Pendekatan itu dilihat memberi ruang lebih luas buat penyanyi berusia 27 tahun tersebut untuk meneroka identiti muzik serta hala tuju kreatifnya tanpa terikat dengan formula muzik pop arus perdana.
Lebih menarik, ‘My Friend’ mengetengahkan susunan muzik yang lebih sederhana dengan alunan gitar yang cukup menonjol, berbeza daripada produksi muzik berskala besar yang sering dikaitkan dengan karya kumpulan idola. Lagu pop bertempo sederhana itu turut membawa tema mengenai cinta, perpisahan serta proses meninggalkan satu fasa kehidupan untuk memulakan perjalanan yang baharu.

Bukan sekadar tampil sebagai penyanyi, Mark turut terlibat secara langsung dalam proses kreatif penghasilan lagu berkenaan. Beliau mengambil bahagian dalam penulisan, komposisi dan susunan muzik, menjadikan karya ‘My Friend’ lebih bersifat peribadi dan dekat dengan pengalaman serta perspektifnya sebagai seorang artis.
Konsep tersebut turut diterjemahkan menerusi muzik video yang hadir bersama lagu berkenaan. Pengarah, Gus Black memilih pendekatan visual yang minimalis dengan mengetepikan penggunaan grafik komputer serta set penggambaran yang terlalu kompleks, sebaliknya memberi fokus kepada ruang, bunyi dan sisi natural Mark sebagai individu.
Dalam pada itu, Mark turut memperkukuhkan hubungan secara langsung bersama peminat menerusi komuniti rasmi yang dilancarkan di platform global Weverse. Beliau memperkenalkan ciri “Voice Mailbox” yang membolehkan peminat meninggalkan mesej suara, sekaligus memberikan pengalaman interaksi yang lebih peribadi antara artis dan pengikutnya.

View this post on Instagram
BACA: Lancar Agensi Sendiri Selepas Tinggalkan NCT, Mark Lee Kini Bergelar CEO ‘Upper Room’
Usaha mendekati peminat itu turut menyusuli kemunculannya di platform komunikasi Laylo yang dilaporkan berjaya menghimpunkan lebih 42,000 peminat dalam tempoh hanya satu jam selepas dilancarkan. Perkembangan tersebut memperlihatkan sokongan kukuh peminat terhadap fasa baharu Mark sebagai artis yang lebih bebas menentukan arah perjalanan seninya.
Sementara itu, dengan pelancaran ‘My Friend’, Mark kini dilihat semakin jelas membina identiti tersendiri sebagai artis solo menerusi pendekatan muzik yang lebih ringkas, jujur dan bersifat peribadi. Langkah berkenaan bukan sahaja menandakan permulaan era baharunya, malah memperlihatkan sisi kreatif Mark yang lebih bebas selepas bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada fenomena global bersama NCT.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!







