
Anggota kumpulan KATSEYE baru-baru ini kembali mencuri perhatian apabila isu melibatkan tempoh rehat sementara salah seorang ahlinya, Manon Bannerman, kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat antarabangsa.
Menerusi sebuah temubual bersama Vanity Fair, ahli KATSEYE yang masih aktif tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik keputusan Manon untuk berehat daripada aktiviti kumpulan, selain menafikan dakwaan wujudnya ketegangan dalaman seperti yang diperkatakan di media sosial.
Difahamkan, Manon mula mengambil tempoh rehat selepas diumumkan oleh pihak HYBE pada Februari lalu bagi memberi tumpuan kepada kesihatan serta kesejahteraan dirinya. Walaupun tidak aktif bersama kumpulan buat masa ini, KATSEYE memaklumkan mereka masih mengekalkan hubungan komunikasi dengan beliau.
Pada masa yang sama, Lara Raj menolak spekulasi mengenai hubungan tidak baik dalam kalangan ahli kumpulan, sambil menegaskan bahawa hubungan mereka kekal erat sejak awal penubuhan.
“Tempat paling selamat untuk kami adalah antara kami berlima/berenam. Orang luar sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Hakikatnya, hanya ada kasih sayang antara kami,” katanya.
BACA: Artis K-Pop Akan Semakin ‘Mendonia’ Selepas Kemenangan Huntr/x Di Grammy 2026?
Sementara itu, Sophia Laforteza turut memberi penjelasan terhadap dakwaan yang mengaitkan isu rehat Manon dengan faktor perkauman, memandangkan Manon merupakan satu-satunya ahli berkulit hitam dalam kumpulan tersebut.
“Kami boleh sahkan dengan jelas bahawa dalam situasi kami ini, ia langsung tidak berkaitan dengan perkauman. Itu bercanggah dengan prinsip dan nilai yang kami pegang,” jelasnya.
Dalam pada itu, spekulasi dalam talian semakin hangat selepas timbul dakwaan bahawa Manon pernah menunjukkan sokongan terhadap hantaran berkaitan isu layanan tidak adil terhadap wanita kulit hitam dalam industri muzik. Namun begitu, ahli kumpulan lain meminta peminat agar tidak membuat andaian melampau mengenai situasi sebenar.
Untuk rekod, KATSEYE dibentuk melalui projek pencarian bakat HYBE iaitu Dream Academy yang turut didokumentasikan dalam siri Netflix Pop Star Academy. Sejak debut, kumpulan ini berjaya mencipta nama apabila beberapa lagu mereka berjaya memasuki carta Billboard Hot 100, termasuk pencapaian dalam Top 40 menerusi single seperti “Gnarly” dan “Gabriela”.
Terdahulu, isu ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat, dengan sebahagian menyokong penjelasan kumpulan, manakala sebahagian lagi masih mempersoalkan situasi sebenar di sebalik keputusan Manon untuk berehat. Namun begitu, ahli KATSEYE menegaskan pintu sentiasa terbuka buat Manon untuk kembali apabila beliau bersedia.
Sumber: Vanity Fair
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.