
Khabar baik buat peminat MAMAMOO apabila kumpulan K-Pop popular itu bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah dunia mereka yang akan berlangsung pada Oktober ini. Kehadiran semula kumpulan yang dianggotai Solar, Moonbyul, Wheein dan Hwasa itu pastinya dinantikan selepas beberapa tahun tidak bertemu peminat tempatan.
Menerusi sebuah perkongsian di media sosial, MAMAMOO mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada siri jelajah dunia ‘2026 WORLD TOUR [4WARD]’. Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober 2026 bertempat di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Kemunculan MAMAMOO kali ini menjadi momen istimewa buat peminat atau lebih dikenali sebagai MOOMOO kerana ia merupakan kunjungan semula mereka selepas tiga tahun. Sebelum ini, kumpulan berkenaan pernah bertemu peminat Malaysia menerusi konsert MAMAMOO WORLD TOUR [MY CON] pada Februari 2023.
Dalam penampilan terdahulu, MAMAMOO berjaya mencipta kenangan manis apabila tampil di Malawati Indoor Stadium, Shah Alam. Para peminat berpeluang menyanyi bersama kumpulan tersebut menerusi beberapa lagu popular yang menjadi kegemaran ramai.
MAMAMOO yang terkenal dengan kekuatan vokal, persembahan penuh tenaga serta karakter unik setiap ahli dijangka sekali lagi memberikan pengalaman konsert yang menghiburkan kepada peminat tempatan. Pengumuman ini pastinya mencetuskan keterujaan dalam kalangan MOOMOO yang sudah lama menantikan peluang untuk menyaksikan mereka secara langsung.
BACA: Lightstick Wajib Cas! Ini Konsert K-Pop Di Kuala Lumpur 2026 Yang Peminat Patut Alert!
Selain Kuala Lumpur, jelajah dunia 2026 [4WARD] turut membawa MAMAMOO ke beberapa lokasi lain di Asia. Antara bandar yang tersenarai sebagai persinggahan mereka ialah Macau, Singapura, Manila, Jakarta dan Hong Kong.
Setakat ini, maklumat lanjut berkaitan penjualan tiket masih belum diumumkan oleh pihak penganjur. Peminat dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan terkini agar tidak terlepas peluang menyaksikan kemunculan MAMAMOO di Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.