
Bukan sahaja bangga, pelakon Sharifah Sofia turut mengakui perasaannya bercampur-baur apabila melihat anak sulungnya, Sharifah Ariana, turun beraksi dalam acara ragbi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Lebih membanggakan, Ariana yang baru berusia 15 tahun berjaya membantu pasukan ragbi wanita Selangor mempertahankan pingat emas selepas menewaskan Sarawak dengan keputusan 41-0.
Menerusi perkongsian di Instagram, pelakon drama Nur Kasih dan filem Gol & Gincu itu meluahkan rasa syukur apabila segala penat lelah Ariana bersama rakan sepasukan akhirnya membuahkan hasil.
“Juara, Alhamdulillah. Segala Usaha Keras Akhirnya Membuahkan Hasil.
“Dua Bulan Penuh Dengan Penat Lelah, Keringat, Air Mata, Bangun Awal Pagi, Berjaga Hingga Lewat Malam Dan Begitu Banyak Pengorbanan Akhirnya Membuahkan Sesuatu Yang Akan Kamu Kenang Sepanjang Hayat,” katanya.
Apa yang menjadikan pencapaian Ariana lebih istimewa apabila dia diberi peluang beraksi dalam kategori Bawah 21 Tahun biarpun masih di usia 15 tahun.
Pasukan ragbi wanita Selangor bukan sahaja berjaya membawa pulang emas, malah mengulangi kejayaan menewaskan Sarawak pada aksi final SUKMA 2024 di Miri.
Buat Sofia, keberanian anaknya untuk bersaing dengan pemain yang jauh lebih berusia sememangnya satu pencapaian yang cukup membanggakan.
“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu, Anak Mama! Baru Berusia 15 Tahun Tetapi Sudah Beraksi Dalam Kategori Bawah 21 Tahun, Memang Kamu Luar Biasa Hebat!
“Ini Baru Permulaan, Sayang. Banyak Lagi Kejayaan Menanti, Insya-Allah,” katanya.
Di sebalik kegembiraan melihat Ariana mencipta kejayaan, Sofia tidak menafikan hatinya sentiasa berdebar setiap kali anaknya beraksi di atas padang.
Sebagai seorang ibu, kebimbangan terhadap risiko kecederaan dalam sukan lasak seperti ragbi membuatkan Sofia mengakui ada ketika dia sendiri tidak sanggup untuk melihat permainan anaknya.
“Saya Sangat-Sangat Gementar. Sebenarnya Kalau Boleh Tak Nak Tengok Langsung. Tetapi Kita Datang Untuk Beri Semangat Kepada Anak-Anak.
“Kadang-Kadang Sebelum Permainan Pun Kita Sudah Fikir Macam-Macam Sampai Menangis Dan Gementar. Mereka Yang Bermain, Kita Pula Yang Gementar,” coretnya lagi.
Namun begitu, rasa risau itu tidak menghalang Sofia untuk terus hadir memberikan sokongan kepada Ariana dan pasukan sepanjang kejohanan, malah turut bersama ibu bapa pemain lain memberikan semangat kepada anak-anak mereka.
Menariknya, perjalanan Ariana dalam sukan ragbi sebenarnya bermula selepas diperkenalkan sendiri oleh Sofia.
Pada awalnya, Sofia hanya membawa Ariana untuk mengenali sukan berkenaan tanpa sebarang paksaan. Tidak disangka, minat itu semakin berkembang sehingga Ariana jatuh cinta dengan ragbi dan terus mengorak langkah dalam bidang tersebut.
Malah, Ariana sendiri pernah meluahkan penghargaan kepada ibunya atas keputusan memperkenalkannya kepada sukan itu.
“Dia Kata, ‘Mummy, Terima Kasih Sebab Perkenalkan Saya Kepada Ragbi Kerana Saya Tidak Tahu Apa Yang Akan Saya Lakukan Kalau Bukan Kerana Ragbi.’
“Alhamdulillah. Dia Juga Dipilih Untuk Pergi Secara Profesional Dan Itu Sesuatu Yang Sangat Menakjubkan,” katanya.
Daripada hanya mengenali ragbi hasil dorongan ibunya, Ariana kini sudah mampu membuktikan keupayaan di pentas SUKMA pada usia yang begitu muda.
Kejayaan tersebut pastinya menjadi satu lagi momen yang cukup bermakna buat Sofia sebagai seorang ibu, apatah lagi melihat minat yang diperkenalkan sejak awal kini membawa anaknya ke tahap yang lebih tinggi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.