
Baru-baru ini, seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2, Syed Dhamir Ahmad Alhabshi Syed Mohd Farid Alhabshi mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila berjaya meraih rekod di Malaysia Book of Records (MBOR) selepas melafazkan 200 digit nombor Pi daripada ingatan.
Menerusi perkongsian gambar yang dimuat naik di Facebook ibunya, Nor Harwina, kejayaan luar biasa kanak-kanak berusia 7 tahun itu dikongsikan bersama momen rasmi percubaan rekod yang disaksikan sendiri oleh wakil Malaysia Book of Records pada 9 Februari lalu.
Dalam usia yang masih sangat muda, Dhamir berjaya mencipta rekod bagi kategori ‘Paling Banyak Digit Pi Dilafazkan Dari Ingatan Oleh Seorang Kanak-Kanak (200 Digit Pi)’. Pengiktirafan tersebut sekaligus meletakkan namanya secara rasmi dalam Malaysia Book of Records iaitu satu pencapaian yang jarang diraih oleh kanak-kanak seusianya.
Menurut Harwina, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Ia lahir daripada latihan berterusan, disiplin tinggi serta minat mendalam terhadap dunia nombor.
Malah, keputusan ujian IQ WISC-V yang dijalankan sebelum ini menunjukkan Dhamir mempunyai tahap kecerdasan luar biasa dalam bidang numerikal, melebihi purata kanak-kanak seusianya.
“Setiap digit mengalir lancar tanpa henti kerana inilah bidang yang Allah kurniakan sebagai anugerah buatmu. Keputusan ujian IQ WISC-V jelas menunjukkan bahawa kamu seorang kanak-kanak pintar dalam bidang nombor, melebihi tahap usia kamu,” tulisnya.
“Pengiktirafan ini bukan datang daripada tekanan, tetapi daripada rasa ingin tahu, fokus dan kecintaan terhadap pembelajaran yang lahir secara semula jadi dari dalam diri kamu,” jelas ibunya menerusi perkongsian yang sama.
Dalam pada itu, bagi ibu bapa Dhamir, rekod ini bukan sekadar angka atau sijil pengiktirafan, sebaliknya simbol ketabahan dan kepercayaan terhadap potensi diri. Mereka juga percaya setiap anak mempunyai keunikan tersendiri yang perlu digilap dengan sokongan, doa dan ruang untuk berkembang secara sihat tanpa tekanan berlebihan.
“Teruskan melangkah, Dhamir. Sambut setiap cabaran dan setiap peluang yang datang. Kami tidak pernah berhenti berasa bangga denganmu, Dhamir,” coret ibunya lagi.
Sementara itu, keistimewaan Dhamir bukan hanya terletak pada kekuatan memorinya semata-mata. Difahamkan, beliau juga mampu menyelesaikan soalan Matematik peringkat Tingkatan 1 termasuk topik algebra dan penyelesaian masalah dengan lancar, walaupun usianya masih di bangku sekolah rendah.
Keupayaan memahami konsep abstrak pada tahap lebih tinggi itu sekali lagi membuktikan bahawa potensinya dalam bidang numerikal berada di luar kebiasaan, sekaligus membuka ruang luas untuk masa depan yang lebih gemilang.
Sumber: Facebook Nor Harwina
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.