
Sebutan baku dikenali sebagai sebutan piawai, seragam serta diiktiraf penggunaannya. Sebutan baku juga digunakan dalam situasi formal atau rasmi, seterusnya menjadi bahasa pentadbiran, sama ada dalam mesyuarat, taklimat, dan ucapan.
Menurut Awang Sariyan (1988), ahli-ahli bahasa bersependapat tentang dasar sebutan baku bahasa Melayu, iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu hendaklah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan, bukan berdasarkan kelaziman sebutan dialek Riau-Johor. Ketetapan ini telah dicapai dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956).
Dalam sebutan piawai bahasa Melayu, banyak kekeliruan atau kesalahan yang dilakukan oleh pengguna bahasa, misalnya sebutan kata “teknologi”. Ada anggapan bahawa sebutan “gi” dalam kata “teknologi” itu kelihatan janggal, namun hakikatnya “gi” dalam kata tersebut dilafazkan seperti ejaannya, bukan dengan sebutan “ji”. Dalam bahasa Melayu, umumnya satu huruf melambangkan satu bunyi. Huruf g tetap berbunyi g, bukan j. Oleh itu, kata “teknologi” diucapkan tek-no-lo-gi bukan tek-no-lo-ji.
Begitu juga dengan sebutan bagi kata “universiti”. Acap kali kita mendengar sebutan ini sebagai yu-ni-ver-si-ti,malangnya sebutan ini bukanlah sebutan standard. Sebutan baku bagi kata “universiti” ialah u-ni-ver-si-ti.
Hal ini kerana cara ejaan istilah atau perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris, yang dipentingkan bukanlah lafaz atau bunyinya, tetapi bentuk ejaan (visualnya). Dalam bahasa Melayu, enam bunyi vokal dilambangkan oleh lima huruf [a], [e], [i], [o], dan [u]. Dalam situasi ini huruf [u] dibunyi dengan “u” bukan “yu”. Oleh itu, ejaan dalam bahasa asal dipertahankan dalam bahasa Melayu dengan perubahan fonem atau pengguguran huruf dilakukan apabila perlu.
Perhatikan contoh yang berikut;
- Kata institut disebut sebagai in-sti-tut BUKAN in-sti-tiut
- Kata unit disebut sebagai u-nit BUKAN yu-nit
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja Bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Gadis 23 Tahun Diiktiraf Kerajaan Turkiye Sebagai Penterjemah Profesional Bahasa Melayu-Turki

Tidak dapat dinafikan, minat mendalam terhadap bahasa asing boleh mendorong seseorang untuk menguasai bahasa tersebut dengan baik.
Inilah semangat yang diambil oleh remaja kelahiran Malaysia, Nurbalqis Abdul Rashid yang kini bergelar pelajar tahun dua jurusan Tafsiran dan Terjemahan Turki-Arab di Universiti Seljuk, Turkiye.
Nurbalqis, 23 telah mencatat sejarah setelah menjadi penterjemah profesional Bahasa Melayu-Turki pertama yang diiktiraf kerajaan Turkiye. Menurutnya, dia perlu melalui proses temu duga mencabar selama dua jam, merangkumi ujian lisan dan bertulis sebelum menerima pengiktirafan tersebut.

“Ini satu permulaan baik kepada saya untuk berusaha lebih gigih demi menjadi penterjemah lebih bagus serta dapat membalas jasa ibu dan ayah yang telah memastikan saya mendapat pendidikan sempurna,” jelasnya kepada BERNAMA.
Minat Balqis dalam bidang bahasa tercetus sejak di tadika lagi. Berkat minat tersebut dan sokongan yang diterima daripada keluarga; Balqis melanjutkan pengajian selama dua tahun di Sudan untuk mempelajari bahasa Arab setelah menamatkan pendidikan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Selangor. Setelah itu, dia ke Turkiye pula bagi mendalami bahasa asing lain.
Anak jati Rawang ini juga berkongsi bahawa dia pernah mengajar bahasa Turki di Perpustakaan Awam Selangor, menterjemah buku dari bahasa Turki ke bahasa Melayu dan bekerja separuh masa di Turkiye untuk menambah baik penguasaan bahasa Turkinya.

Tambah Balqis lagi, dia berharap lebih banyak karya antarabangsa dapat diterjemahkan kepada bahasa ibunda pada masa akan datang. Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengangkat bahasa kebangsaan yang kita cintai.
Selain bahasa Melayu, Balqis juga diiktiraf untuk melakukan penterjemahan bahasa Turki ke bahasa Inggeris, Indonesia serta Arab dan sebaliknya.
Tahniah Nurbalqis Abdul Rashid atas usaha dan kejayaan yang telah dikecapi ini. Semoga lebih ramai anak muda membuka mata untuk memartabatkan bahasa dan menjadikan kerja penterjemahan ini sebagai satu kerjaya.
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tahniah! Politeknik Port Dickson Kini Diiktiraf Sebagai Institusi TVET terbaik Asia Pasifik

Terbaru, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan menerima pengiktirafan sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan platinum yang diterima itu amat membanggakan kerana APACC adalah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.
“Pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan, tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi sebuah perkongsian di Facebook.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap agar pencapaian yang diperoleh Politeknik Port Dickson itu menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di negara ini untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Sementara itu, menurut Pengarah Politeknik Port Dickson, Hasan Mohd Sharif, pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan institusi tersebut dalam membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai industri multinasional sekaligus mempersiapkan siswazah yang kompeten dan berdaya saing.
Katanya, kejayaan itu didorong oleh penubuhan Centre for Electrical, Energy, Technology and Services (CENTS) yang membuktikan komitmen institusi tersebut dalam menyelaraskan program strategik terkandung dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani, Politeknik Port Dickson menyokong pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan kompetitif dengan program-program yang memenuhi permintaan industri dan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Selain itu, antara rakan industri menjadi penyumbang kepada pencapaian ini ialah HINO (Malaysia), KNX Skills Development Centre Sdn Bhd (KSDC), Global Academia Sdn Bhd (GASB), Fixbay Academy Sdn Bhd, Solarvest Holdings Berhad, SIGTECH Engineering Sdn Bhd dan Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC).
Bercakap mengenai penubuhan CENTS, ia juga menjadi penanda aras bagi institusi TVET lain dalam aspek peningkatan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Pasifik.

Hasan berkata, CENTS menawarkan lapan kluster utama menumpukan kepada kemahiran kritikal diperlukan industri masa kini dengan membantu graduan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja serta menyediakan peluang pembelajaran kepada pekerja dewasa melalui pendekatan kolaboratif dengan industri.
Tambahnya, perancangan jangka panjang Politeknik Port Dickson adalah untuk menjadi institusi bertaraf premier, berasaskan industri dan komuniti, serta institusi yang berasaskan penyelidikan.
Melalui usaha ini juga ia bakal memperkukuh peranan PPD dalam memacu agenda TVET MADANI bagi melahirkan siswazah kompeten dan bersedia untuk menyumbang dalam sektor industri berasaskan teknologi serta ekonomi mampan masa depan.
Sumber: Sinar Bestari & Politeknik Port Dickson
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hari Malaysia Disambut Dengan Pengucapan Awam Lantang 6 Pelajar Sekolah Menengah

Bagi majoriti rakyat Malaysia, tarikh 16 September pada hari ini hanyalah merupakan satu lagi hari cuti kebangsaan yang diambil bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.
Namun, adakah mereka benar-benar mengambil semangat di sebalik gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tarikh ini 58 tahun lalu atau sekadar menikmati masa terluang pada hari cuti ini untuk merehatkan diri serta minda?
Bagi enam orang pelajar sekolah menengah ini, mereka sesungguhnya telah menggunakan hari ini sebagai momen terbaik untuk meluahkan rasa cinta kepada Malaysia dengan meluahkan pandangan serta skil penyampaian mereka menerusi pertandingan Pengucapan Awam bersempena kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’.
Bagi anda yang telah mengikuti perjalanan kempen ini, tentunya ada tahu bahawa ia adalah satu inisiatif oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Remaja dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Setelah pertandingan ini membuka peluang bagi pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 untuk menghantarkan penyertaan mereka secara atas talian ke laman web Majalah Remaja sepanjang bulan kemerdekaan lalu, akhirnya hanya enam orang peserta saja dipilih sebagai finalis. Dengan itu, mereka mempersiapkan diri untuk berentap secara maya bermula jam 11 pagi tadi dalam satu segmen yang diacarakan oleh pelakon, pengacara dan Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae.
Enam pelajar sekolah tersebut terdiri daripada (mengikut giliran penyampaian) Ainea Batrisyia Binti Sulaiman (15 tahun, Kolej Tunku Kurshiah), Muhammad Aniq Aqil Bin Roslan (17 tahun, Sekolah Agama Menengah Paya Jaras), Nur Yasmin Binti Hanafi (15 tahun, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP), As Afibie Chai Binti Chai Ming Fook @ Abu Bakar Abdullah (17 tahun, SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan Bin Muhammad Rahfee (17 tahun, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Nur Adriana Muzfirah Binti Muzamzul Zamani (16 tahun, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah).
Dalam masa lima minit saja, setiap peserta telah diminta untuk mempersembahkan pengucapan awam dengan tajuk berbeza mengikut undian. Pelbagai topik telah dikupas dengan cukup cemerlang dan bernas oleh para peserta.
Persembahan mereka itu kemudiannya telah diadili oleh tiga juri yang dilantik. Mereka terdiri daripada Pengurus Bahagian Jualan dan Pemasaran di syarikat SP Setia Berhad dan bekas pendebat UiTM iaitu Encik Muhammad Hariri Bin Zolkifli; Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dari Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia iaitu Encik Rusdi Abd Rahman dan pelakon serta pengacara, Uyaina Arshad.
Berikut merupakan sebahagian daripada intipati menarik daripada setiap penyampaian tersebut.
*
“Adakah cukup sekadar menuturkan bahasa Melayu tercinta tetapi tidak dihayati bersama? Jikalau hati dan jiwa masih prejudis, terhadap keagungan bahasa Melayu yang suci nilai? Tepuk dada, tanya selera. Salam satu bahasa, keluarga Malaysia.” – Bahasa Penyatu Bangsa oleh Aiena Batrisyia
“Sekiranya kita kehilangan salah satu elemen ini, kita akan kehilangan tamadun. Penemuan sains Thomas Edison, Ibnu Sina hatta teori Albert Einstein jika tidak dirakam sejarah, maka tidak akan berkembang ilmu dan teknologi pada hari ini. Sejarah turut memberi panduan kepada manusia untuk membuat ciptaan dan penemuan lanjutan.” – Sejarah Atau Sains, Mana Lebih Penting? oleh Aniq Aqil
“Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat atau live long learning. Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” – Kualiti Pendidikan Negara Ketika Pandemik COVID-19 oleh Nur Yasmin
“Golongan muda yang celik IT mampu menarik lebih ramai remaja untuk terlibat dalam program-program alam sekitar. Contohnya seperti kempen-kempen yang dilancar oleh kerajaan, NGO dan persendirian akan mendapat maklum balas yang baik daripada golongan remaja. Program seperti 3R contohnya perlu disebar luas bukan saja dalam komuniti tetapi bermula seawal sekolah rendah. Sekian, salam kehijauan.” – Kesinambungan Alam & Pembangunan Malaysia oleh As Afibie Chai
“Sewajarnya di Malaysia, kita telah meletakkan standard pada kualiti barangan tempatan yang mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti produk tempatan juga bermutu tinggi. Hal ini juga menjadi lambang kemegahan bahawa barangan buatan Malaysia setanding dengan negara membangun dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.” – Sokong Barangan Buatan Malaysia oleh Hanis Hamizan
“Kalau kita tenung dan pandang dari sudut positif, (norma baharu untuk duduk di rumah) sebenarnya memberikan kita peluang sebagai rakyat Malaysia, anak, ibu, ayah dan manusia untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Saya tahu ada yang keluarga duduk nun jauh di Malaysia. Bersyukurlah kita duduk di Malaysia, sebuah negara yang berteknologi untuk kita hubungi mereka walaupun dari jarak jauh. Mobiliti manusia yang perlahan memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘beristirehat daripada dibanjiri manusia.” – Hubungan Sosial Di Era Norma Baharu oleh Adriana Muzfirah
*
Ini baru sedikit, banyak lagi poin menarik yang telah sempat dikupas oleh mereka berenam.
Masing-masing mempunyai kelebihan daripada segi intelek yang pantas, lidah yang petas, personaliti penuh keletah dan tentunya keyakinan yang cukup tinggi untuk berada di hadapan skrin dan berucap di hadapan orang ramai terutamanya para juri biarpun secara maya.
Namun, adat pertandingan lah; akan ada yang dinobatkan sebagai juara manakala peserta lain berada pada posisi seterusnya.
Penganjuran pertandingan Pengucapan Awam pertama oleh Majalah Remaja hari ini telah menobatkan pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembila iaitu adik Aiena Batrisyia sebagai juara pada hari ini.

Biarpun tampil sebagai peserta pertama untuk melakukan persembahan, Aiena jelas amat bersedia dengan poin yang disimpan serta riak gaya serta wajah yang amat kena dengan topik yang dibualkannya. Pada usia 15 tahun, jelas Aiena berbakat besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik dan aktiviti luar kelas seperti ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Juara Pengucapan Awam #SayaRemajaMalaysia ‘Menang Besar’ Di Hari Malaysia – REMAJA
Tempat kedua pula disambar oleh Nur Adriana Muzfirah daripada Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah manakala Nur Yasmin dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP cemerlang di tempat ketiga.
Ucapan syabas juga wajar diserahkan buat As Afibie Chai (SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan (SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Muhammad Aniq Aqil (Sekolah Agama Menengah Paya Jaras) yang turut memberikan saingan sengit kepada peserta lain.
Dengan ini, berakhirlah kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dibawakan oleh Majalah Remaja pada tahun ini. Sebulan setengah kami melaungkan kata-kata semangat memuji negara dan memahat rasa patriotik dalam diri masing-masing untuk disemai bersama remaja seperti anda. Jangan ditolak ke tepi semua itu.
Seharusnya sebagai seorang remaja Malaysia, kita harus sentiasa berbangga dengan jati diri kita sendiri. Jika bukan kita yang menutur bahasa kebangsaan, melawat tempat-tempat menarik di dalam negara, menyokong barangan buatan Malaysia mahupun mengharumkan negara tercinta di peringkat antarabangsa; siapa lagi?
*
Jom tonton semula acara penuh pertandingan Pengucapan Awam ‘Saya #RemajaMalaysia’ di bawah :
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

