Sumber gambar: pexels.com

Kata penguat ialah kata yang digunakan bersama-sama kata adjektif. Fungsinya adalah untuk memberikan penekanan kepada maksud kata adjektif tersebut. Kata penguat boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu kata penguat hadapan, penguat belakang dan penguat bebas.

(a) Kata Penguat Hadapan

Kata penguat hadapan terletak di hadapan kata adjektif dan tidak boleh hadir di belakang kata adjektif. Kata penguat hadapan tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat belakang dalam satu ayat. Contoh:

  1. Jalan raya ke kampung itu agak sempit.
  2. Zakri paling tinggi di dalam kelas tersebut.
  3. Ibu cukup marah dengan kejadian yang menimpanya semalam.
  4. Fauzi terlalu kerap berbohong.
  5. Adiknya kurang bijak berbanding Kefli.

(b) Kata Penguat Belakang

IKLAN

Kata penguat belakang hadir di belakang kata adjektif dan tidak boleh hadir di hadapan kata adjektif. Kata penguat belakang tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat hadapan dalam satu ayat. Contoh:

  1. Indah nian pemandangan di tepi pantai Teluk Cempedak.
  2. Ramai benar pelajar yang hadir pada pameran lukisan itu.
  3. Suasana di rumah banglo itu sunyi sekali.
  4. Teruk betul suasana di pasar malam tersebut.

(c) Kata Penguat Bebas

Kata penguat bebas boleh hadir sama ada di hadapan kata adjektif atau di belakang kata adjektif. Kata penguat bebas juga boleh hadir secara serentak. Kata penguat bebas boleh hadir bersama-sama kata penguat belakang tetapi tidak boleh hadir bersama-sama kata penguat hadapan. Contoh:

IKLAN
  1. Pengetahuan yang dimiliki oleh guru itu amat luas.
  2. Jiwanya sangat tertekan dengan kejadian itu.
  3. Paras rupa gadis itu sungguh cantik.
  4. Rumah banglo di lereng bukit itu besar amat.
  5. Benci sungguh saya melihat wajah orang tua yang miang itu.
  6. Restoran di tengah bandar itu amat sangat selesa.
  7. Sangat indah nian pemandangan di lereng bukit Cameron Highlands.
  8. Sungguh kacak sekali anak lelaki saya apabila berbaju Melayu.

Kata penguat juga boleh digunakan pada kata adjektif yang berfungsi sebagai kata kerja. Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperi yang berikut:

  1. Mereka sekeluarga sangat bersedih atas kematian ibu mereka.
  2. Sejak diisytiharkan muflis, Azmin sangat berjimat.
  3. Mira sangat berdukacita kerana ditinggalkan oleh kekasihnya.

Penggunaan kata penguat yang salah adalah seperti yang berikut:

IKLAN
  1. Terlalu benci amat saya kepadanya ( x )
  2. Cukup memilukan sungguh peristiwa itu. ( x )
  3. Begitu sakit benar gigi saya. ( x )

Ayat (1) salah kerana kata penguat hadapan yang membawa maksud paling (terlalu) tidak boleh hadir dengan kata penguat bebas (amat), manakala Ayat (2) salah kerana penggunaan kata cukup (penguat hadapan) hadir secara serentak dengan penguat bebas (sungguh). Kehadiran kata penguat hadapan dengan penguat belakang secara serentak juga tidak dibenarkan seperti dalam contoh ayat (3) iaitu “begitu” (penguat hadapan) dan “benar” (penguat belakang).

Kesimpulannya, kehadiran kata penguat untuk membantu menegaskan sesuatu kata adjektif dalam ayat haruslah diteliti dari segi fungsinya agar kita tidak meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya. Setiap kata penguat itu mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJAH NOOR ZILA BINTI MD. YUSUF

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI