Berita

“Macam Sukan Olimpik Untuk Penyanyi” -Aina Abdul Kejar Masa, Mahu Beri Yang Terbaik Di Eurovision

Share

Penyanyi dan komposer terkenal, Aina Abdul mengakui sedang berdepan cabaran tersendiri dalam membuat persiapan menjelang pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.

Bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Thailand pada November ini, Aina kini perlu memberikan perhatian penuh kepada penghasilan sebuah karya baharu termasuk merancang konsep persembahan dari awal.

Lebih mencabar, penyanyi lagu Kamu itu perlu memastikan semuanya dapat disiapkan dalam tempoh yang agak singkat.

Pilih Lagu Dalam Bahasa Inggeris

Menurut Aina, dia telah membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris untuk dipersembahkan di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026.

“Saya ambil keputusan menghasilkan sepenuhnya lagu dalam bahasa Inggeris, cuma air lagu itu masih dalam perbincangan dengan Mac Chew.

“Saya berharap peminat di luar sana akan doakan dan memberi semangat yang positif untuk saya. Sekiranya doa kalian makbul, saya dikurniakan satu idea yang seronok.

“Persiapan menjelang Eurovision sangat memberi tekanan, agak susah untuk saya kerana mahu mengejar masa yang telah ditetapkan.

“Bulan November bakal bertanding, jadi saya perlu fikir untuk siapkan lagu baharu, konsep persembahan juga perlu diambil kira. Kalau pentas AJL, saya mempersembahkan lagu yang sedia ada. Tetapi Eurovision ini segalanya perlu dirancang dari awal,” katanya.

Mahu Lagu Yang Benar-Benar Dekat Di Hati

Dalam masa yang sama, Aina menjelaskan bahawa dia mahu karya yang bakal dibawa ke pertandingan itu mempunyai kaitan rapat dengan dirinya.

Bagi penyanyi berkenaan, sebuah lagu perlu datang daripada jiwa kerana dia sendiri yang akan menyampaikan kisah di sebalik karya tersebut kepada penonton.

“Saya seorang yang apabila menyanyi, lagu itu mesti daripada hati saya. Kerana saya adalah individu yang perlu sampaikan cerita tentang lagu tersebut, jadinya lagu itu perlu lahir daripada saya.

“Alhamdulillah, saya ada pasukan yang sangat membantu dan lagu tersebut akan dibantu oleh Mac Chew. Sebab saya mahu membawa semangatnya juga,” katanya.

Sudah Berkali-Kali Ubah ‘Air’ Lagu

Walaupun lagu tersebut masih dalam proses pembikinan, Aina mendedahkan dia telah beberapa kali melakukan perubahan terhadap ‘air’ lagu berkenaan.

Ia dilakukan kerana dia mahu memastikan hasil akhirnya benar-benar mencapai tahap yang diinginkan sebelum dipersembahkan di pentas pertandingan antarabangsa itu.

“Lagu tersebut masih lagi dalam proses, saya telah mengubah air lagu itu banyak kali sebenarnya. Sebab saya rasa ada yang kurang dan perlu diperbaiki.

“Saya anggap pertandingan Eurovision ini macam Sukan Olimpik untuk penyanyi. Saya perlu hasilkan lagu itu sebaiknya, saya beranggapan ramai yang menanti untuk dengarkan lagu ini,” tambahnya lagi.

Eurovision Song Contest Asia 2026 bakal berlangsung pada Sabtu, 14 November 2026, jam 9 malam di Thailand dan akan menghimpunkan penyanyi dari seluruh Asia.

Pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath