
Lagu-lagu penyanyi terkenal kelahiran New Zealand, Lorde dilaporkan telah dibuang daripada platform penstriman Apple Music Israel pada minggu ini selepas tindakannya melaungkan kata-kata, “Free F-king Palestine semasa persembahan konsert Ultrasound World Tour di Madison Square Garden, New York.
Insiden ini mengejutkan ramai peminat kerana lagu-lagu Lorde masih kekal boleh didengarkan di Apple Music di negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Eropah. Namun, ramai yang percaya langkah Apple Music Israel itu berpunca daripada pendirian tegas penyanyi tersebut terhadap isu Palestin.
Penyanyi berusia 28 tahun itu sememangnya dikenali sebagai seorang selebriti yang lantang menyuarakan pandangannya terhadap isu global. Tindakan berani Lorde melaungkan “Free Palestine” di hadapan ribuan penonton dianggap satu bentuk solidariti kepada rakyat Palestin yang terus ditindas.
Sejak awal kerjayanya, Lorde tidak gentar menggunakan platform muziknya untuk menyuarakan keadilan dan kemanusiaan. Sikap vokalnya terhadap isu Palestin ini mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk aktivis dan peminat di seluruh dunia.
Pada tahun 2017, Lorde pernah membatalkan konsertnya di Tel Aviv sebagai tanda protes terhadap penindasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin. Keputusan itu dibuat selepas menerima gesaan daripada gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang menyeru artis antarabangsa supaya tidak menyokong industri hiburan Israel.
BACA: Lorde Turut Sama Boikot Israel, Batalkan Konsert Di Tel Aviv
Langkah berani itu menjadikan Lorde sebagai salah seorang penyanyi arus perdana yang tidak takut kehilangan sokongan komersial demi prinsip kemanusiaan. Ia turut memperkukuh reputasinya sebagai penyanyi pro-Palestin yang komited terhadap perjuangan kebebasan rakyat Palestin.
Lorde turut menyertai gerakan No Music For Genocide bersama ratusan pemuzik antarabangsa lain yang menolak pengedaran karya mereka di platform digital Israel. Gerakan ini menyeru industri muzik global agar tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan.
Selain isu nasib rakyat Palestin, Lorde juga aktif memperjuangkan kempen kelestarian alam sekitar. Album studionya Solar Power yang diluncarkan pada tahun 2021 tidak dikeluarkan dalam bentuk CD fizikal kerana kebimbangan terhadap impak alam sekitar. Sebaliknya, album itu hanya diterbitkan melalui platform digital dan dalam format vinyl.
Walaupun tindakan Apple Music Israel dianggap satu bentuk sekatan terhadap ekspresi artis, ia menjadikan nama Lorde lebih relevan dalam perbincangan global mengenai kebebasan bersuara dan sokongan terhadap Palestin. Di media sosial, ramai peminat melahirkan rasa kagum atas keberanian penyanyi itu yang tidak tunduk kepada tekanan politik.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan Lorde berhubung pengguguran lagu-lagunya di Apple Music Israel. Namun, penyanyi itu sempat memuat naik satu klip pendek di Instagram, menzahirkan rasa cinta dan penghargaan kepada para peminat yang terus menyokongnya.
Tindakan Lorde membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan — ia juga boleh menjadi medium perjuangan untuk keadilan dan kemanusiaan. Dunia kini menyaksikan bagaimana seorang artis muda berani berdiri bersama Palestin melalui karya seni.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.