Pasti Meriah! Lee Kwang Soo Jadi MC Perkahwinan Shin Min Ah & Kim Woo Bin

Share

Pelakon terkenal, Lee Kwang Soo baru-baru ini mencuri perhatian di media sosial apabila diumumkan bakal memainkan peranan istimewa selepas dipilih sebagai pengacara majlis (MC) untuk perkahwinan pasangan selebriti popular Korea Selatan, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin. 

Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh agensi Lee Kwang Soo, King Kong by Starship mengesahkan berita tersebut sekaligus menamatkan spekulasi peminat yang tertanya-tanya siapakah individu yang bakal mengendalikan majlis penuh bermakna itu.

“Lee Kwang Soo akan menjadi MC bagi majlis perkahwinan Kim Woo Bin dan Shin Min Ah,” tulis kenyataan itu.

Bagi peminat yang telah lama mengikuti hubungan rapat antara ketiga-tiga selebriti ini, Kwang Soo dan Woo Bin sememangnya dikenali sebagai sahabat baik sejak sekian lama, terutamanya dalam kalangan industri hiburan Korea Selatan. Persahabatan mereka semakin kukuh selepas kemunculan bersama dalam rancangan realiti popular, ‘GBRB: Joy Pops Laugh Pops’ yang turut dibintangi oleh Doh Kyung Soo atau lebih dikenali sebagai D.O EXO.

Pada masa yang sama, Kwang Soo juga mempunyai hubungan profesional yang rapat dengan Shin Min Ah dan pernah bergandingan bersama menerusi drama Netflix berjudul ‘Karma’, sekaligus mengukuhkan lagi keserasian mereka di hadapan kamera.

Difahamkan, pemilihan Lee Kwang Soo sebagai MC bukan sahaja mencerminkan hubungan persahabatan yang erat, malah beliau juga dipercayai mampu mewujudkan suasana majlis yang mesra dan penuh kehangatan.

Lebih-lebih lagi, beliau dikenali dengan personaliti ceria dan kebolehan berkomunikasi yang baik, serta dilihat sebagai individu paling sesuai untuk mengendalikan majlis tersebut.

Terdahulu, pada awal November, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin telah mengesahkan bahawa mereka akan melangsungkan perkahwinan pada 20 Disember. Pasangan ini memilih untuk meraikan hari bahagia mereka dalam suasana tertutup dengan hanya dihadiri oleh ahli keluarga serta rakan terdekat.

Keputusan untuk mengadakan majlis secara sederhana itu turut mendapat sokongan peminat yang menghormati privasi pasangan berkenaan. Sepanjang hubungan mereka, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin sering dipuji kerana kekal rendah diri serta jarang mendedahkan kehidupan peribadi kepada umum.

Majlis perkahwinan ini juga pastinya menjadi antara momen paling dinanti dalam industri hiburan Korea Selatan pada penghujung tahun ini. Remaja mengucapkan tahniah kepada Shin Min Ah dan Kim Woo Bin atas penyatuan mereka, serta mendoakan kebahagiaan berpanjangan buat pasangan sama cantik sama padan ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE