
Walaupun agama Islam dahulunya kurang dikenali di negara Jepun, kini keadaan itu semakin berubah. Dalam tempoh sedekad lalu, dianggarkan antara 112,000 hingga 230,000 penduduk Jepun telah memeluk Islam dan angka kini kian bertambah, menurut laporan portal Republika.
Perkembangan ini disifatkan sebagai sesuatu yang sangat positif dan membanggakan oleh pelbagai pihak. Malah, pertumbuhan pesat jumlah mualaf di Jepun ini sebenarnya dipengaruhi oleh beberapa faktor utama.
Antaranya termasuklah perkahwinan antara mualaf dan pasangan mereka, yang secara tidak langsung menyumbang kepada kelahiran generasi Muslim seterusnya di negara tersebut.
Bukan itu sahaja, kedatangan imigran Muslim dari negara seperti Iran, Indonesia, Pakistan dan Bangladesh juga memainkan peranan besar dalam perubahan ini. Dengan kehadiran mereka, jumlah masjid di Jepun turut meningkat, menjadikan ia sebagai tempat interaksi yang penting antara komuniti Muslim dan masyarakat setempat.
Selain itu, kadar perpindahan agama yang sangat rendah dalam kalangan Muslim di Jepun turut menjadi penyumbang kepada kestabilan jumlah penganut agama Islam di negara itu. Mereka yang lahir dalam keluarga Muslim kebiasaannya kekal dengan agama yang dianuti sejak kecil.
Semua ini jelas menunjukkan bagaimana Jepun kini lebih terbuka dalam menerima, memahami dan menghormati Islam, satu agama yang sebelum ini sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, menurut laporan The Economist, masih ada satu cabaran utama yang dihadapi oleh komuniti Muslim di sana iaitu isu tanah perkuburan.
Ini kerana, hampir 99 peratus rakyat Jepun memilih untuk dibakar selepas kematian
, sedangkan Islam dengan tegas melarang amalan tersebut.Namun begitu, dengan peningkatan kesedaran dan penerimaan terhadap Islam, diharapkan lebih banyak penyelesaian akan ditemui bagi memenuhi keperluan komuniti Muslim di Jepun.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.