
Larangan akaun media sosial bawah 16 tahun menjadi perhatian apabila kerajaan menegaskan bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri tanpa pemantauan orang dewasa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan melindungi golongan muda daripada ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.
Risiko seperti gangguan dalam talian, penipuan dan pembangsa siber kini menjadi kebimbangan utama apabila kanak-kanak terlibat secara aktif di media sosial.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan penggunaan telefon pintar yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak, kerajaan melihat keperluan untuk memperkenalkan garis panduan yang lebih jelas bagi melindungi mereka di ruang digital.
Menurut Fahmi, perkara paling penting bukan sekadar soal umur, tetapi siapa yang mengawal akaun tersebut. Kanak-kanak tidak digalakkan mengurus akaun media sosial sendiri tanpa pemantauan.
Walau bagaimanapun, larangan ini tidak bermaksud kanak-kanak langsung tidak boleh mempunyai akaun di platform tersebut.
Akaun yang diwujudkan dan dikendalikan oleh ibu bapa bagi pihak anak masih dibenarkan. Dengan cara ini, ibu bapa boleh memantau segala aktiviti dalam talian anak mereka, termasuk mesej yang diterima atau interaksi dengan individu yang tidak dikenali.
Jika terdapat mesej mencurigakan atau individu cuba mendekati kanak-kanak dengan niat tidak baik, ibu bapa boleh mengesan situasi tersebut lebih awal dan mengambil tindakan.
Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini lebih berkesan, kerajaan juga menggunakan pendekatan regulatory sandbox bersama syarikat platform media sosial.
Melalui pendekatan ini, pelbagai mekanisme kawalan umur dan sistem keselamatan boleh diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara meluas.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan larangan ini dilakukan dengan kerjasama industri teknologi, bukannya secara unilateral.
Kerajaan mahu memastikan sebarang sistem sekatan umur yang diperkenalkan benar-benar praktikal dan boleh berfungsi dengan baik tanpa menjejaskan pengalaman pengguna.
Malaysia juga sedang mempertimbangkan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan identiti dan umur pengguna bagi pendaftaran akaun media sosial.
Berbanding sistem sedia ada yang hanya bergantung kepada deklarasi umur secara manual, penggunaan dokumen rasmi boleh membantu memastikan pengguna benar-benar mematuhi syarat umur yang ditetapkan.
Walaupun tidak dibenarkan membuka akaun sendiri, kanak-kanak masih boleh mengakses kandungan digital seperti menonton video atau melihat bahan hiburan dalam talian.
Namun perbezaannya ialah mereka tidak boleh mempunyai akaun aktif yang membolehkan interaksi seperti menghantar mesej peribadi, meninggalkan komen atau berhubung secara langsung dengan pengguna lain.
Dalam masa yang sama, kerajaan menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan teknologi oleh anak-anak.
Memberi telefon pintar tanpa kawalan masa atau pemantauan boleh membuka ruang kepada pelbagai risiko yang sukar dijangka.
Dengan adanya pendekatan ini, ibu bapa diharapkan lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak dan memahami bahawa keselamatan dalam talian memerlukan penglibatan semua pihak.
Sumber : Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.