Pada usia yang baru mencecah 19 tahun, Lamine Yamal sudah pun berada dalam kelompok pemain bola sepak terbaik dunia. Pemain sensasi Sepanyol itu terus mengukuhkan reputasinya apabila membantu negaranya muncul juara FIFA World Cup 2026 selepas menewaskan Argentina 1-0 pada aksi final.
Walaupun namanya tidak berada dalam senarai penjaring gol kemenangan, pengaruhnya sepanjang kejohanan cukup besar. Dengan kelincahan, kreativiti dan kebolehannya mencipta peluang di bahagian serangan, pemain Barcelona itu menjadi antara watak utama di sebalik kejayaan La Roja menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah mereka.
Kejayaan tersebut mengukuhkan lagi status Lamine Yamal sebagai salah seorang pemain muda paling berbakat dalam bola sepak moden. Berikut merupakan lapan fakta menarik mengenai beliau yang mungkin masih belum diketahui ramai.

Lamine Yamal Juara FIFA World Cup 2026 Pada Usia 19 Tahun
Lamine Yamal mencipta satu lagi sejarah apabila membantu Sepanyol menjuarai FIFA World Cup 2026 pada usia hanya 19 tahun.
Kejayaan itu hadir hanya dua tahun selepas beliau memainkan peranan besar membawa Sepanyol muncul juara UEFA Euro 2024. Dalam tempoh yang singkat, beliau berjaya melengkapkan koleksi dua trofi antarabangsa paling berprestij dan membuktikan dirinya sebagai tonggak utama generasi baharu bola sepak Sepanyol.
Debut Bersama Barcelona Pada Usia 15 Tahun
Nama Lamine Yamal mula menjadi perhatian dunia apabila beliau membuat penampilan sulung bersama skuad utama Barcelona pada April 2023 ketika berusia hanya 15 tahun.
Ketika itu, beliau menjadi antara pemain termuda pernah beraksi untuk kelab gergasi Catalan tersebut. Bakat luar biasanya membuatkan beliau cepat mendapat kepercayaan jurulatih sebelum akhirnya menjadi pemain penting pasukan.

Pernah Bergambar Dengan Lionel Messi Ketika Masih Bayi
Ini mungkin antara kisah paling luar biasa dalam dunia bola sepak.
Pada tahun 2007, ketika Lionel Messi masih berusia 20 tahun, beliau menyertai satu sesi fotografi amal anjuran UNICEF dan akhbar Diario Sport. Dalam sesi tersebut, Messi bergambar sambil mendukung dan memandikan seorang bayi yang tidak dikenali.
Bayi itu rupa-rupanya ialah Lamine Yamal.
Hampir dua dekad kemudian, gambar tersebut kembali tular apabila beliau muncul sebagai bintang baharu Barcelona dan Sepanyol. Lebih menarik, kedua-duanya akhirnya bertemu sebagai lawan di pentas FIFA World Cup 2026 apabila Sepanyol berdepan Argentina.
Ramai peminat menganggap gambar itu sebagai simbol peralihan daripada satu generasi legenda kepada generasi baharu.
Latar Belakang Keluarga Lamine Yamal
Walaupun mewakili Sepanyol di pentas antarabangsa, beliau mempunyai latar belakang keluarga yang unik.
Beliau dilahirkan di Catalonia, Sepanyol. Bapanya berasal dari Maghribi, manakala ibunya berasal dari Equatorial Guinea.
Disebabkan warisan tersebut, beliau sebenarnya layak mewakili beberapa negara di peringkat antarabangsa. Namun, beliau memilih untuk menyarung jersi Sepanyol, keputusan yang membuahkan hasil apabila berjaya bergelar juara Eropah dan juara dunia.

Nama Yang Mempunyai Kisah Menyentuh Hati
Nama penuh pemain ini ialah Lamine Yamal Nasraoui Ebana.
Mengikut tradisi di Sepanyol, seseorang akan menggunakan nama keluarga daripada kedua-dua ibu dan bapa. “Nasraoui” merupakan nama keluarga bapanya yang berasal dari Maghribi, manakala “Ebana” diwarisi daripada ibunya yang berasal dari Equatorial Guinea.
Lebih istimewa, nama “Lamine” dan “Yamal” diberikan sebagai tanda penghargaan kepada dua lelaki yang pernah membantu ibu bapanya ketika mereka berdepan kesukaran kewangan sebelum beliau dilahirkan.
Sangat Rapat Dengan Adik Lelakinya
Di sebalik imejnya sebagai bintang bola sepak dunia, beliau sangat mementingkan keluarga.
Beliau mempunyai seorang adik tiri bernama Keyne yang sering hadir memberikan sokongan di stadium. Hubungan mereka cukup rapat sehingga beliau pernah menyifatkan Keyne disayangi seperti anak sendiri kerana jurang usia yang agak jauh.

Pernah Membawa Kerja Sekolah Ketika Euro 2024
Ketika membantu Sepanyol menjulang trofi UEFA Euro 2024, beliau sebenarnya masih bergelar pelajar.
Anda mungkin berminat dengan
Beliau pernah mendedahkan bahawa dia membawa buku latihan sekolah ke Jerman dan mengikuti kelas secara dalam talian pada waktu lapang sepanjang kejohanan berlangsung.
Kisah itu mendapat pujian ramai kerana membuktikan beliau mampu mengimbangi tanggungjawab sebagai atlet profesional dan seorang pelajar.
Lamine Yamal Bukti Usia Bukan Penghalang
Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Lamine Yamal sudah memenangi pelbagai trofi bersama Barcelona dan Sepanyol, selain memecahkan pelbagai rekod sebagai pemain termuda.
Daripada seorang remaja yang membuat debut pada usia 15 tahun, kini beliau bergelar juara Eropah, juara dunia dan antara pemain yang diramalkan mampu mendominasi bola sepak dunia pada dekad akan datang.
Melihat kepada perkembangan kariernya ketika ini, tidak mustahil beliau akan terus mencipta sejarah dan mengukuhkan legasinya sebagai antara pemain terbaik generasinya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Sebuah syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways telah menawarkan pakej Flight to Nowhere dan dilaporkan bahawa penerbangan selama tujuh jam di Outback Australia dan Great Barrier Reef telah habis dijual hanya dalam masa 10 minit sahaja.
Mungkin ramai yang sudah merindui pengalaman ‘terbang’ di atas awan kerana sekatan sempadan yang ketat telah pun dikuatkuasa disebabkan wabak COVID-19. Oleh yang demikian, Qatar Airways mengambil inisiatif menawarkan pakej Flight to Nowhere bagi memberi peluang kepada individu yang sudah gian nak menggembara di udara.

Kebanyakan syarikat penerbangan di dunia termasuk Taiwan’s EVA Airways Corp dan Japan’s ANA Holdings Inc sangat terkesan ekoran kesan pandemik ini. Mereka memerlukan pendapatan serta perlu memastikan lesen juruterbang mereka kekal aktif dan kerana itu pihak syarikat menawarkan penerbangan khas untuk lawatan bersiar-siar.
Walaupun tiket penerbangan dijual dengan harga $787 (RM3,256) sehingga $3787 (RM15,667) bergantung kepada jenis seat, namun sebanyak 134 tempat duduk yang disediakan habis dijual dalam masa 10 minit sahaja.
Khabarnya, Singapore Airlines juga sedang meneliti perancangan untuk menawarkan penerbangan tanpa destinasi bermula bulan hadapan.

Konsep penerbangan tanpa destinasi ini bukanlah sesuatu yang baru kerana Antartica Flights telah menyewa jet Qantas untuk penerbangan indah di Antartika selama 26 tahun.
Bagi Thai Airways International pula, syarikat penerbangan mereka menawarkan pengalaman makan seperti di dalam penerbangan yang disajikan daripada tempat duduk kepada penumpang.

Macam-macam usaha yang dilakukan oleh syarikat penerbangan untuk mereka terus survive ketika wabak pandemik ini. Sama-sama kita doakan agar keadaan kembali pulih seperti dahulu.
Sumber: nationalpost.com
∞
Bintang sensasi K-Pop, Lisa BLACKPINK sekali lagi mencuri perhatian peminat apabila beliau diumumkan tersenarai sebagai selebriti yang bakal tampil dalam anugerah berprestij Oscars.
Menerusi satu kenyataan rasmi pada 24 Februari, Oscars mengumumkan barisan selebriti yang akan memeriahkan lagi acara tersebut.
Lisa atau nama sebenarnya Lalisa Manobal (28) yang juga pelakon drama bersiri The White Lotus musim ketiga juga akan melakukan persembahan ‘Born Again’ bersama Doja Cat, Queen Latifah, dan Raye.
Dalam pada itu, Lisa sekaligus rasmi menjadi penyanyi K-Pop pertama dalam sejarah membuat persembahan dalam anugerah berprestij Oscars yang bakal berlangsung pada Mac ini.
Selain itu, teraju filem yang paling mendapat sambutan hangat orang ramai seperti Ariana Grande dan Cynthia Erivo juga akan membawa dunia Oz ke Oscars dan akan membuat persembahan secara langsung semasa malam terbesar di Hollywood itu.
Oscars 2025 akan dihoskan oleh Conan O’Brien, dan anugerah itu disiarkan secara langsung di ABC dan disiarkan secara langsung di platform penstriman Hulu pada 2 Mac akan datang.

Sekadar info, anugerah Oscars merupakan acara tahunan yang diadakan untuk menghargai kecemerlangan dalam industri filem global dan menjadi satu simbol prestij yang diidam-idamkan oleh penggiat seni seperti pengarah filem, pelakon, dan profesional industri.
Di samping meraikan pencapaian seni dan teknikal, Oscars juga menjadi platform untuk mempromosikan karya-karya luar biasa yang memberi impak besar kepada masyarakat dan budaya dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bagi peminat muzik K-Pop, mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana selebriti atau K-Pop Idol wanita kegemaran mereka menangani menstruasi (haid) ketika mereka mempunyai jadual padat.
Soalan ini kerap diajukan ketika beberapa K-Pop Idol melakukan siaran langsung termasuklah bekas anggota Momoland, Daisy yang kerap menerima pertanyaan mengenai hal ini di platform Tiktok miliknya.
Menjawab soalan daripada salah satu pengikutnya berbunyi, “Daisy, boleh ke awak beritahu kami bagaimana K-idol mengatasi semua hal ketika sedang haid? Adakah mereka masih mengalaminya (haid) atau boleh berhentikan haid itu?”.
Daisy atau nama sebenar Daisy Yoo (25) menjelaskan bahawa semua penyanyi K-Pop terutamanya wanita tetap mendapat haid dan menstruasi seperti biasa sama seperti wanita di luar sana.
“Kami sama saja seperti orang lain yang mengalami menstruasi. Sayangnya, norma masyarakat telah memutuskan bahawa orang yang mengalami menstruasi perlu masuk kerja seperti biasa. Jadi, kami semua hadap saja” – Daisy
Tambah Daisy, dia juga membenarkan kenyataan mengenai beberapa penyanyi K-Pop yang tidak mengalami haid kerana kekurangan berat badan kerana hal tersebut juga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah yang sama.

Walau bagaimanapun, Daisy menegaskan dia kurang mengetahui seberapa kerap hal seperti itu terjadi kerana secara peribadi dia belum pernah melihat hal itu terjadi kepada seseorang.
“Tapi kebanyakannya, semua orang hanya cuba menahan sakit, minum pil dan menggunakan tampon. Sayangnya, memang tidak ada sebarang ubat ajaib,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, berbicara mengenai ketakutan umum para wanita iaitu apabila kebocoran yang berlaku semasa haid, Daisy menjelaskan bahawa kebiasaanya stylist sudah siap untuk menghadapi kejadian seperti itu.

“Kalau bocor atau ada sebarang hal yang tidak disengajakan, biasanya ada seluar atau skirt tambahan. Kami juga biasanya akan beritahu stylist ‘saya sedang haid dan tak boleh pakai warna putih’ dan mereka akan okay saja” – Daisy
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu ‘Bboom Bboom’ itu turut mengungkapkan bahawa ketika dia merupakan seorang pelajar sebelum ini, dia pernah mengalami kekejangan ketika menstruasi dengan rasa sakit 9/10.
“Semasa saya jadi idol, tiba-tiba haid saya okay saja dan saya jarang alami menstrual cramp. Saya tak pasti kalau ini berpunca daripada mentaliti, tapi saya berjaya yakinkan diri bahawa saya tak sakit pada waktu itu dan ia menjadi. Jadi, saya tak mengeluh sangat untuk hal itu,” kata Daisy lagi.

Walau bagaimanapun, Daisy juga memberitahu selepas dia berhenti menjadi seorang idola K-pop dan kembali kepada gaya hidup normal seperti sebelum ini, rasa sakit menstrual cramp itu juga telah kembali. Dia juga mengungkapkan ini mungkin disebabkan tubuh badannya mungkin merindukan rasa stres dan lapar seperti yang dialami oleh majoriti wanita ketika haid.
Sekadar info, Daisy sebelum ini pernah menjadi ahli kumpulan Momoland sebagai rapper dan penari utama. Momoland, mula aktif sejak 2016 dan popular dengan lagu seperti Yummy Yummy Love, Wrap Me in Plastic dan Pinky Love. Bagaimanapun, pada Januari 2023 Momoland mengumumkan pembubaran dan mula mengambil haluan masing-masing.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞