Untuk tahun ketiga di Malaysia, jelajah pertunjukan kereta terbesar dunia Hot Wheels™ Legends Tour kembali semula dengan kerjasama Art of Speed Malaysia dalam misi pencarian kenderaan rekaan khas terbaru yang layak ditransformasi kepada model kereta mainan (die-cast) skala 1:64 Hot Wheels®.
Pada tahun ini, Malaysia telah mencatatkan 204 penyertaan iaitu 25 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.
Setelah diadili barisan pereka Hot Wheels® yang terdiri daripada Bryan Benedict (Pengarah Rekaan Kenderaan Die-Cast Hot Wheels®), Brendon Vetuskey (Ketua Pereka kenderaan Hot Wheels® Monster Trucks dan Red Line Club), Tengku Djan, DEV JBC, dan Ahirine Ahirudin; akhirnya wakil Malaysia telahpun dipilih!
Tahun ini, juruteknik trak treler dari Negeri Sembilan bernama William Chong telah dipilih menerusi rekaan unik Proton Suprima S sekaligus akan mewakili Malaysia di peringkat Separuh Akhir Global.
William dipilih setelah juri tertarik dengan ketulenan idea, paparan identiti Hot Wheels®, kreativiti, keunikan yang tersendiri; dan ‘Garage Spirit’ pada jenteranya.
Ulas Brendon Vetuskey berkenaan rekaan Chong, Proton Suprima S miliknya mewakili jenama kereta yang jarang dilihat di peringkat dunia.
”Terdapat jenama unik seperti Proton dan Perodua yang tiada di AS serta keunikan perubahan yang dipersembahkan menjadikan ia amat menarik.
Ads
”Rekaan ini sangat unik dan cool. Dengan kit badan kenderaan (body kit), badan kereta rendah hampir mencecah lantai (slammed to ground stance), dan spoiler; ciri-ciri ini menjadikan ia sebuah kereta Hot Wheels® yang hebat. Identiti asli sepenuhnya Hot Wheels®”, katanya.
*
Dalam pada itu, William yang bertugas sebagai pegawai teknik treler di Negeri Sembilan merupakan pemilik jentera 2015 Proton Suprima S dan olahan keretanya diinspirasikan daripada Subaru STI kerana pilihan bodykit bagi model Proton Suprima S tidak banyak.
Ads
“Jadi, saya dapat konsep ini dan dapatkan bodywork yang bersesuaian agar ia menjadi satu-satunya model sepertinya di Malaysia.
“Apabila saya dapat kereta ini, memang ia ‘stock’ lagi. Jadi saya hantarkan untuk bodywork untuk mula lakukan widebody dan bodykit. Paling susah memang widebody kerana ia mengambil masa empat bulan untuk disiapkan. Siap bahagian itu, saya hantar untuk kerja mengecat pula di mana saya memilih Khaki Deserta daripada Subaru XV. Warna ini memang kurang dipakai pada Suprima S, sebab itu saya memilihnya.
“Jika kereta ini mendapat die-cast daripada Hot Wheels, ia adalah satu kejayaan dalam hidup saya. Terima kasih Hot Wheels Legends Tour Malaysia,” katanya.
Sebagai pemenang Hot Wheels™ Legends Tour siri Malaysia, rekaan Proton Suprima S 2015 bakal bersaing di peringkat Separuh Akhir Global Hot Wheels® Legends secara virtual pada 11 November 2022.
Ads
Chong akan bersaing dengan para pemenang lain dari seluruh dunia untuk merebut slot di Peringkat Akhir Global pada 13 November 2022.
“Saya rasa bagai bermimpi apabila terpilih mewakili Malaysia ke peringkat Separuh Akhir Global Hot Wheels™ Legends Tour. Ia satu penghargaan! Saya mencurahkan idea dan tenaga sepenuhnya dalam rekaan ini dan mendengar penilaian juri yang ia unik dan cool membuatkan saya berasa terharu,” kongsi William Chong. “Saya berharap dapat membanggakan Malaysia!”
Jom berikan sokongan kepada wakil Malaysia ini dan rekaan Proton Suprima S 2015-nya di Separuh Akhir Global Virtual Hot Wheels™ Legends Tour 2022 secara langsung (livestream) pada Jumaat, 11 November 2022, 9am untuk menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini!
2022 menandakan tahun kelima penganjuran pertandingan global penuh mengujakan ini. Para peminat kereta rekaan khas Malaysia menyertai mereka dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Sepanyol, Brazil, Australia, New Zealand, Jepun dan penyertaan baru dari Indonesia dan Filipina bersaing untuk menjadikan kenderaan rekaan khas masing-masing terpilih sebagai model yang bakal dipasarkan di lebih 150 buah negara seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sivasangari Subramaniam memberikan keceriaan kepada kontinjen Malaysia di Sukan Asia apabila dia berjaya menambah kilauan emas yang keempat menerusi penampilan cemerlangnya dalam acara perseorangan skuasy wanita.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung lebih 64 minit itu, Sivasagari berjaya mengalahkan wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk dengan kutipan mata 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10.
Dengan kemenangan yang diperoleh, ini merupakan pingat emas kedua Sivasangari di Sukan Asia ke-19 apabila sebelum ini terlebih dahulu menggondol pingat emas dalam acara berpasukan wanita.
Ketika menang emas acara berpasukan wanita Sukan Asia ke-19 sebelum ini.
Kini berusia 24 tahun, anak jadi kedah ini meneruskan legasi cemerlang skuad skuasy wanita negara yang ditinggalkan oleh ikon sukan, Datuk Nicol Ann David yang telah bersara.
Imbas kembali, untuk pengetahuan pembaca REMAJA, ketika Sukan Asia ke-18 yang berlangsung di Palembang-Jakarta, Indonesia, Sivasangari merupakan pemenang pingat perak apabila dia kalah kepada Datuk Nicole Ann David yang mengondol emas dalam acara perseorangan wanita.
Selain hebat dalam bidang sukan, dia turut cemerlang dalam bidang pelajaran. Sivasangari yang merupakan bekas pelajar SMK Sultanah Asma kini meneruskan pengajiannya di universiti bertaraf ivy league, Cornell University yang terletak di New York, Amerika Syarikat.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, jaguh beregu badminton wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus memperkukuh reputasi mereka di gelanggang antarabangsa apabila berjaya merangkul gelaran ketiga musim ini menerusi kejayaan di Kumamoto Masters 2025 pada Ahad, semalam. Kemenangan itu sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam siri jelajah BWF tahun ini.
Dalam pada itu, aksi final yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto Prefectural menyaksikan pasangan pilihan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan beregu tuan rumah yang juga pilihan keempat, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dengan keputusan 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.
Pertembungan sengit tersebut turut menambah kukuh rekod pertemuan Pearly-Thinaah terhadap pasangan Jepun itu, apabila wakil negara kini merekodkan tujuh kemenangan daripada sembilan perlawanan menentang gandingan ranking ketujuh dunia tersebut.
Kredit foto: FB Badminton Association of Malaysia – BAM
Di samping itu, kejayaan ini juga melengkapi rentetan prestasi konsisten mereka selepas sebelum ini turut menjulang gelaran di Terbuka Thailand pada Mei lalu, diikuti kejuaraan Terbuka Artik di Vantaa, Finland bulan lepas.
Selain itu, kejayaan di Kumamoto ini membuktikan kemampuan beregu ranking kedua dunia berkenaan untuk terus tampil stabil dalam kejohanan besar, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara pencabar utama dalam kategori beregu wanita musim ini.
Sementara itu, menurut Pearly-Thinaah, kemenangan ini bukan saja menjadi suntikan motivasi menjelang siri kejohanan seterusnya, malah mengukuhkan status mereka sebagai antara pasangan paling konsisten ketika ini dalam kalangan pemain elit dunia.
Aksi penuh tumpuan di Jepun itu turut menandakan peningkatan mutu permainan mereka yang lebih matang, tenang dan agresif khususnya dalam situasi mata genting.
Secara keseluruhan, kejayaan kumulatif tiga gelaran musim ini meletakkan Pearly Tan-M. Thinaah sebagai antara beregu paling menyerlah dalam kempen BWF 2025, dan sekali lagi mencuri tumpuan peminat sukan tanah air serta komuniti badminton global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kata penguat ialah kata yang digunakan bersama-sama kata adjektif. Fungsinya adalah untuk memberikan penekanan kepada maksud kata adjektif tersebut. Kata penguat boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu kata penguat hadapan, penguat belakang dan penguat bebas.
(a) Kata Penguat Hadapan
Kata penguat hadapan terletak di hadapan kata adjektif dan tidak boleh hadir di belakang kata adjektif. Kata penguat hadapan tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat belakang dalam satu ayat. Contoh:
Jalan raya ke kampung itu agak sempit.
Zakri paling tinggi di dalam kelas tersebut.
Ibu cukup marah dengan kejadian yang menimpanya semalam.
Fauzi terlalu kerap berbohong.
Adiknya kurang bijak berbanding Kefli.
(b) Kata Penguat Belakang
Kata penguat belakang hadir di belakang kata adjektif dan tidak boleh hadir di hadapan kata adjektif. Kata penguat belakang tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat hadapan dalam satu ayat. Contoh:
Indah nian pemandangan di tepi pantai Teluk Cempedak.
Ramai benar pelajar yang hadir pada pameran lukisan itu.
Suasana di rumah banglo itu sunyi sekali.
Teruk betul suasana di pasar malam tersebut.
(c) Kata Penguat Bebas
Kata penguat bebas boleh hadir sama ada di hadapan kata adjektif atau di belakang kata adjektif. Kata penguat bebas juga boleh hadir secara serentak. Kata penguat bebas boleh hadir bersama-sama kata penguat belakang tetapi tidak boleh hadir bersama-sama kata penguat hadapan. Contoh:
Pengetahuan yang dimiliki oleh guru itu amat luas.
Jiwanya sangat tertekan dengan kejadian itu.
Paras rupa gadis itu sungguh cantik.
Rumah banglo di lereng bukit itu besar amat.
Benci sungguh saya melihat wajah orang tua yang miang itu.
Restoran di tengah bandar itu amat sangat selesa.
Sangat indah nian pemandangan di lereng bukit Cameron Highlands.
Sungguh kacak sekali anak lelaki saya apabila berbaju Melayu.
Kata penguat juga boleh digunakan pada kata adjektif yang berfungsi sebagai kata kerja. Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperi yang berikut:
Mereka sekeluarga sangat bersedih atas kematian ibu mereka.
Sejak diisytiharkan muflis, Azmin sangat berjimat.
Mira sangat berdukacita kerana ditinggalkan oleh kekasihnya.
Penggunaan kata penguat yang salah adalah seperti yang berikut:
Terlalu benci amat saya kepadanya ( x )
Cukup memilukan sungguh peristiwa itu. ( x )
Begitu sakit benar gigi saya. ( x )
Ayat (1) salah kerana kata penguat hadapan yang membawa maksud paling (terlalu) tidak boleh hadir dengan kata penguat bebas (amat), manakala Ayat (2) salah kerana penggunaan kata cukup (penguat hadapan) hadir secara serentak dengan penguat bebas (sungguh). Kehadiran kata penguat hadapan dengan penguat belakang secara serentak juga tidak dibenarkan seperti dalam contoh ayat (3) iaitu “begitu” (penguat hadapan) dan “benar” (penguat belakang).
Kesimpulannya, kehadiran kata penguat untuk membantu menegaskan sesuatu kata adjektif dalam ayat haruslah diteliti dari segi fungsinya agar kita tidak meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya. Setiap kata penguat itu mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJAH NOOR ZILA BINTI MD. YUSUF
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!