
Bekas penyanyi terkenal, Lai Kuanlin (25) baru-baru ini meraih perhatian para peminat K-Pop apabila tampil berkongsi kehidupannya selepas meninggalkan dunia hiburan Korea Selatan. Kini, bekas anggota kumpulan projek popular Wanna One itu memilih untuk menjalani kehidupan lebih tenang sebagai pengarah filem di China.
Menerusi sebuah siaran rancangan yang berjudul ‘Wanna One Go: Back to Base’, Kuanlin dilihat kembali bertemu dengan bekas rakan kumpulannya, Ha Sung-woon di Beijing selepas kira-kira tujuh tahun tidak berjumpa sejak tamat aktiviti bersama Wanna One. Pertemuan tersebut juga memperlihatkan sisi lebih matang dan terbuka dirinya mengenai perjalanan hidup yang baharu.
Dalam rancangan itu, Kuanlin mendedahkan bahawa beliau kini bekerja di sebuah syarikat produksi filem di China dan lebih banyak menghabiskan masa di pejabat sambil mendalami dunia penulisan skrip serta pembikinan filem pendek. Menurutnya, rutin harian yang sederhana itu memberikan ketenangan yang sukar diperoleh ketika bergelar idola K-Pop sebelum ini.
BACA: Lai Kuanlin Undur Diri Dari Dunia Muzik, Ingin Ubah Haluan Jadi Pengarah Filem
“Saya menyertai sebuah syarikat produksi filem di China. Saya bekerja di pejabat, belajar tentang skrip dan kebanyakannya terlibat dengan filem pendek. Disebabkan saya bekerja sebagai pekerja pejabat, ia memberi saya ketenangan fikiran,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau mengakui lebih menghargai proses perkembangan yang perlahan tetapi stabil berbanding populariti yang datang terlalu pantas sewaktu aktif sebagai penyanyi. Malah, Kuanlin menyifatkan kehidupannya sekarang jauh lebih memuaskan kerana dapat bergerak mengikut rentaknya sendiri tanpa tekanan besar dunia hiburan.
“Saya sangat suka kehidupan saya sekarang. Saya suka cara saya bergerak perlahan-lahan ke hadapan. Bukan seperti perasaan menjadi penyanyi terlalu cepat dulu, tetapi saya lebih suka perkembangan yang perlahan namun stabil sambil terus berusaha,” ujarnya lagi.
“Kalau ditanya tentang peristiwa paling bermakna, saya rasa saya akan jawab 7 Ogos kerana itulah hari segala usaha keras saya akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Dalam pada itu, Kuanlin menjelaskan alasan mengapa dirinya tidak menyertai ‘reunion’ terbaru Wanna One kerana merasakan untuk kembali menjalani penggambaran sebagai seorang penghibur akan menjadi satu beban buat dirinya ketika ini.
Namun begitu, beliau tetap menitipkan pesanan manis buat peminat setia kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Wannable. “Saya sedang menjalani kehidupan yang baik sekarang, jadi saya harap Wannable juga akan sentiasa bahagia,” jelasnya ringkas.
Sumber: Youtube Mnet
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.