
Teraju utama Kudrat 1968 (dari kiri) Zarif Ghazzi & Mierul Aiman.
Berteraskan semangat “Darah Kita Sama”, Kudrat 1968 mengembalikan penonton ke era yang menjadi titik mula legasi Projek: High Council.
Menampilkan lakonan mantap Mierul Aiman dan Zarif Ghazzi, drama ini mengangkat kisah persahabatan, prinsip dan pencarian identiti dalam dunia yang dibentuk oleh kesetiaan, kuasa dan konflik.
Sebagai penerbitan tempatan pertama yang memperkenalkan konsep “satu cerita, dua format”, naratif Kudrat 1968 bermula menerusi empat episod Astro Originals sebelum berkembang ke layar perak.
konsep & penyelaras FZ AIMMAN perletakan grafik & arahan seni AZNIZA AZIZ teks ZOE@ZULAIKHA fotografi HAIKAL SHUIB suntingan foto HEZRY ROKMAN penerbit video SURIA NUR AMIRA videografi AYP CREATIVE PRODUCTION suntingan video ADAM penata gaya ARIF YUSOFF solekan HELMY SHARIP dandanan FAIZAL AZHAR
Diterajui oleh Mierul Aiman yang membawakan watak Kuda dan Zarif Ghazzi yang diperkenalkan ke dalam universe Kudrat 1968 menerusi watak Abbas, naskhah terbaharu terbitan Astro Shaw ini bukan sekadar menguji kemampuan lakonan mereka, malah mengajar erti kepercayaan, konsep brotherhood dan keberanian dalam menjiwai karakter yang jauh berbeza daripada diri sendiri.
Kudrat 1968 juga bakal memperlihatkan bagaimana ikatan, kesetiaan dan rasa kekitaan menjadi tunjang yang menyatukan mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Mierul Aiman membuka bicara dengan menyentuh mengenai situasi ketika dia menerima tawaran untuk membintangi Kudrat 1968.
Sebagai peminat universe High Council, juara pencarian Hero Remaja 2021 ini mengakui sudah mengikuti setiap perkembangan francais tersebut sebelum ini.
“Saya memang peminat premis High Council. Bila dapat tahu Kudrat 1968 akan diterbitkan, saya teruja nak tahu cerita kali ini.”
Namun keterujaan itu bertukar menjadi kejutan apabila Mierul diminta membawa watak baharu, Kuda, walaupun pernah muncul sebagai Fakhri dalam universe yang sama.
“Pada mulanya saya agak keliru kerana situasi membawakan dua watak yang berbeza biarpun mereka adalah pelajar sekolah lelaki adalah sangat asing di Malaysia. Bila saya buat research
, rupanya di peringkat antarabangsa pun ia sangat jarang dilakukan.“Antara tajuk yang pernah saya temui dan rasa paling sinonim dengan Kudrat 1968 ialah siri Young & Dangerous. Dua pelakon utamanya, Jason Chu dan Roy Cheung; masing-masing memegang karakter berbeza dalam premis yang sama tapi pada musim yang berlainan.
“Jadi, saya tidaklah merasakan tanggungjawab yang perlu saya lunaskan ini bersifat ‘alien’ atau tidak pernah dilakukan sebelum ini. Sekurang-kurangnya, saya mempunyai reference yang kukuh untuk melakukan homework sebelum masuk ke set,” jelas pelakon berbakat itu.
Selepas menempuh uji bakat yang penuh persaingan, Mierul akhirnya diberi kepercayaan untuk menggalas watak Kuda antara nadi penting dalam Kudrat 1968.
Sejak diperkenalkan, watak tersebut segera mencuri perhatian di media sosial, mencetuskan perbualan dan tanda tanya dalam kalangan peminat. Liputan yang meluas ini sekali gus memberi petanda bahawa penonton mula meletakkan Kudrat 1968 dalam radar mereka, terutamanya selepas kejayaan siri Original Astro terdahulu, Good Boys Go To Heaven.
Berbeza dengan Mierul Aiman, Zarif Ghazzi pula menerokai perspektif pengalaman yang berbeza apabila dia baru-baru ini telah diperkenalkan sebagai wajah baharu bagi memperkukuhkan universe siri pelajar sekolah tersebut yang telahpun mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Zarif, 22 yang menerima watak Abbas hadir bersama rasa syukur dan sedikit rasa tertekan dalam masa yang sama.
“Saya selalu dibuai dengan persoalan yang sama. ‘Boleh ke aku buat ni?‘. Sebab saya tahu universe ini popular dan diminati ramai. Mereka telahpun terbiasa dengan pelakon sedia ada.
“Namun keyakinan yang diberikan oleh pengarah, Anwari Ashraf sedikit demi sedikit menghilangkan rasa ragu berkenaan
“Bila pengarah memberikan signal seperti, ‘It’s a good take‘, saya terus merasa lega. Masa itu saya sedar, kita kena percaya pada pengarah dan sebab mengapa kita sesuai dengan watak yang diberikan menerusi pandangan beliau yang lebih arif dalam hal berkenaan,” ujarnya.
Jika Fakhri terkenal dengan perjuangannya menentang sistem, Kuda pula merupakan individu yang membina sistem itu sendiri.
Menurut Mierul, perbezaan kedua-dua watak bukan sahaja pada penampilan, malah cara mereka berfikir dan melihat dunia.
“Kuda bukan watak hitam atau putih. Dia berada di kawasan kelabu. Konflik dalaman yang dipendam oleh Kuda menjadi cabaran terbesar saya sepanjang proses penggambaran. Saya kena tunjukkan apa yang dia rasa tanpa terlalu menunjukkan emosinya,” kongsinya.
Kuda baginya mengajar mengenai satu nilai yang cukup penting iaitu kebebasan memilih. Watak berkenaan sanggup kehilangan apa sahaja asalkan masih ada maruah dan kebebasan untuk membuat pilihan; dan untuk Mierul, keunikan yang ada pada watak berkenaan akan menarik minat ramai penonton untuk terus mengikuti siri tersebut sehingga tamat.
Selain pengalaman membawakan watak Kuda, Mierul, 28 turut menyifatkan suasana di lokasi penggambaran Kudrat 1968
sebagai antara perkara paling bermakna sepanjang kariernya.Bekerjasama dengan pelakon berpengalaman seperti Rusdi Ramli dan Nabila Huda membuka perspektif baharu tentang profesionalisme dalam industri.
“Saya tidak nampak kasta di set. Tidak kira pelakon lama, pelakon baharu ataupun kru teknikal, semua memberikan tenaga yang sama. Suasana itu menjadikan proses pembelajaran lebih selesa dan menyeronokkan bagi saya,” katanya.
Bagi Zarif pula, cabaran terbesar bukan sekadar melakonkan Abbas tetapi memahami keseluruhan perjalanan hidup watak tersebut.
“Saya kena baca skrip episod satu hingga empat supaya saya betul-betul faham siapakah Abbas yang sebenar. Ternyata, ia berbeza dengan pengalaman hidup saya sendiri yang bersekolah di institusi harian dan sedikit janggal dengan cara remaja membesar di institusi asrama.
“Namun, Abbas bagi saya masih dekat dengan jiwa kehidupan remaja hari ini yang pernah saya lalui satu masa lalu. Semua orang pernah melalui fasa mencari identiti, masuk sekolah baharu dan cuba menyesuaikan diri.
“Cuma bagi Abbas, kisahnya disingkap dengan visi yang mungkin berbeza berbanding dengan remaja lain,” katanya.
Kongsinya lagi, sepanjang berada di set, Zarif memilih untuk datang dengan satu prinsip iaitu sentiasa merendah diri.
“Saya tahu set ini dipenuhi pelakon yang sangat berkualiti. Jadi saya datang untuk belajar dan ambil segala ilmu yang mereka beri. Segala nasihat daripada pelakon senior banyak membantu meningkatkan keyakinannya sepanjang penggambaran.”
Antara tema utama Kudrat 1968 ialah persahabatan lelaki yang terbina dalam dunia sekolah berasrama.Mierul yang pernah melalui pengalaman tersebut percaya, hubungan persahabatan ini banyak dipengaruhi konsep tough love. Kedengaran seperti negatif, namun Mierul percaya konsep berkenaan telah berjaya membentuk perwatakan dirinya yang lebih matang pada hari ini.
“Brotherhood selalu bagi kita sedar tentang bitter truth, bukan comfort lies. Tempoh lima tahun saya berada di sekolah berasrama mengajar bahawa keluarga bukan sekadar mereka yang mempunyai pertalian darah. Di sekolah pun kita bina pertalian adik-beradik sendiri.
“Pengalaman itulah yang banyak membantunya memahami hubungan Kuda dengan karakter-karakter lain dalam Kudrat 1968.”
Buat Zarif pula, walaupun kisah ini berlatarbelakangkan era 1968, dia percaya perjalanan Abbas masih dekat dengan realiti generasi hari ini.
“Ramai boleh relate dengan perjalanan Abbas kerana semua orang pernah melalui proses menyesuaikan diri dalam tempoh kita membesar dan mula mengenali dunia.
“Jika ditanya sama ada saya mampu bertahan jika benar-benar hidup pada era berkenaan mungkin saya tidak akan menjadi sekuat Abbas kerana kekuatan saya dalam menyelesaikan setiap masalah yang saya hadapi adalah melalui doa daripada keluarga dan perbincangan bersama mereka.
“Ia sedikit sebanyak membuatkan saya mempunyai appreciation lebih terhadap watak Abbas yang tidak seringkas yang penonton sangkakan.”
Sebelum mengakhiri perbualan kami bersama Mierul dan Zarif yang saling berganti giliran memasuki set penggambaran Majalah Remaja edisi terbaharu ini, kami bertanyakan mengenai suasana yang mereka lalui di set penggambaran Kudrat 1968.
“Suasana di lokasi banyak membantu kami menghayati zaman persekolahan yang terjadi hampir 60 tahun yang lepas.
“Bukan hanya skrip; malah set, kostum dan the air surrounding Kudrat 1968 sudah cukup membuatkan kami berasa seperti benar-benar hidup pada zaman tersebut. Set itu benar-benar memberikan tenaga kepada kami.”
Zarif pula memberi tumpuan kepada cara pertuturan dan artikulasi agar dialog kedengaran autentik tanpa terikat dengan bahasa yang terlalu klasik.
“Berbeza dengan watak-watak yang pernah saya jayakan selama ini, pertuturan Abbas berada pada garisan antara baku tapi tidaklah terlalu baku. Cuma penekanan lebih saya berikan kepada konsonen setiap huruf dan perkataan. Mungkin itu yang dimaksudkan Mierul dengan ‘roh set’ yang masuk ke dalam jiwa kami berdua dan pelakon yang lain.”
Di sebalik konflik dan perjuangan yang dipaparkan, Kudrat 1968 akhirnya kembali kepada satu nilai yang cukup universal – persahabatan dan kemanusiaan.
Bagi Mierul Aiman, “Kesamarataan diukur daripada toleransi dan kasih sayang, bukan kelas dan status.”
Manakala Zarif Ghazzi menutup pertemuan hari itu dengan satu mesej yang cukup ringkas namun bermakna.
“Walaupun latar belakang kita berbeza, darah kita tetap sama.”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.