
Bintang terkenal Indonesia, Kris Dayanti baru-baru ini kembali meraih perhatian apabila berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Wushu Kungfu Kebangsaan 2026, sekaligus membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus mencipta kejayaan. Pada usia 51 tahun, penyanyi dan pelakon berpengalaman itu mengungguli acara Shanzi Kumpulan E Wanita yang berlangsung di Tangerang, Banten, Indonesia.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Kris Dayanti berkongsi beberapa foto dan video sepanjang penyertaannya dalam kejohanan tersebut, termasuk momen ketika menerima pingat emas serta sijil penghargaan selepas diumumkan sebagai juara bagi kategorinya.
Sepanjang pertandingan, pelantun lagu ‘Menghitung Hari’ dan ‘Mencintaimu’ itu mempamerkan persembahan seni mempertahankan diri menggunakan kipas lipat atau Shanzi dengan penuh keyakinan. Berbusana hitam, setiap gerakannya yang kemas, tepat dan bertenaga berjaya memikat perhatian barisan juri sehingga melayakkan diri beliau muncul sebagai pemenang.
“Penyertaan saya dalam Kejohanan Wushu Kungfu Kebangsaan 2026 bukan hanya mengenai pertandingan, tetapi juga untuk menyediakan platform dalam melahirkan atlet-atlet muda Indonesia pada masa hadapan”
“Setiap sesi latihan, setiap perlawanan dan setiap proses merupakan satu pelaburan dalam membina sahsiah, disiplin, semangat kesukanan dan kecemerlangan,” katanya.
Kejayaan tersebut turut membuktikan kesungguhan beliau dalam mendalami sukan wushu walaupun aktif dalam dunia seni sejak puluhan tahun lalu. Komitmen yang ditunjukkan menjadi inspirasi bahawa minat terhadap sesuatu bidang mampu diteruskan tanpa mengira faktor usia.
Malah, kemenangan itu bukanlah pencapaian pertamanya dalam arena seni mempertahankan diri. Sebelum ini, Kris Dayanti pernah mengharumkan nama Indonesia menerusi beberapa penyertaan di pentas antarabangsa, sekaligus memperlihatkan keseriusannya dalam sukan berkenaan.
Pada Oktober tahun lalu, Kris Dayanti turut meraih pingat perak dalam Kejohanan Kungfu Dunia Ke-10 2025 yang berlangsung di Emeishan, China. Pencapaian tersebut menjadi antara detik penting yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai figura seni yang turut cemerlang dalam bidang sukan.
Dengan kejayaan terbaru ini, Kris Dayanti sekali lagi membuktikan bahawa disiplin, dedikasi dan usaha yang konsisten mampu menghasilkan pencapaian membanggakan. Kemenangan tersebut bukan sahaja menambah koleksi kejayaannya dalam sukan wushu, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengejar impian tanpa mengira usia.
Sumber: Instagram Kris Dayanti
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.