
Dek konflik yang bergolak melibatkan serangan di antara negara Iran dan Israel, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan kesediaan mereka untuk memberi bantuan kepada pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Iran untuk pulang ke tanah air.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sewaktu ditemui media hujung minggu ini turut berkata, para pelajar berkenaan juga akan dibantu untuk menyambung pengajian mereka di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia berdasarkan kursus akademik masing-masing.
KPT kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar (KLN) untuk memantau keadaan pelajar Malaysia yang berada di Iran dan kebajikan mereka di sana khususnya ketika berlakunya sebarang krisis seperti yang sedang berlaku sekarang.
Usaha itu akan dipergiat meskipun ada segelintir daripada mereka yang tidak berdaftar dengan KPT.
“Mereka merupakan rakyat Malaysia dan dalam keadaan sebegini, adalah kewajipan kita untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai laporan mengenai beberapa pelajar Malaysia di Iran yang enggan pulang ke tanah air, beliau berkata pihak KPT sudahpun berusaha untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.
“KPT tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya pelajar tersebut memilih untuk tidak pulang. Namun, jika mereka berubah fikiran, kita bersedia membantu,” ujarnya lagi.
Sebagai info, seorang pelajar Malaysia yang berada di Iran dalam temubual bersama Astro AWANI Rabu lalu berkata, sebahagian daripada pelajar tempatan yang sedang melanjutkan pengajian di Iran memilih untuk terus kekal di sana.
Pelajar berusia 22 tahun itu memaklumkan keadaan di sana masih terkawal terutamanya di lokasi Qom biarpun talian telekomunikasi seperti internet dan telefon di sana sedikit terganggu akibat serangan yang berlaku.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.