
Terbaru, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa ibu bapa diberi kelonggaran untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya mereka mempunyai kebimbangan terhadap kesihatan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook, Datuk Seri Fadhlina berkata ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah hanya perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah. Menurutnya, aspek kesihatan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPM akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain mengambil kira keadaan semasa terutama di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan operasi sekolah akan dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi memastikan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.
Sementara itu, sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 24 kawasan berada pada tahap sederhana dan dua kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik.
Sumber: Facebook Datuk Seri Fadhlina Sidek
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.