
Kontroversi drama Madu Atau Racun bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, malah turut mendapat perhatian insan terdekat kepada dua pelakon utamanya, Elisya Sandha dan Uqasha Senrose.
Di saat drama tersebut terus diperkatakan susulan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai dengan budaya serta pegangan agama masyarakat, kakak kepada Elisya, Fasha Sandha tampil memberikan kata-kata semangat buat adiknya.
Dalam masa sama, bekas suami Uqasha, Kamal Adli turut bersuara dan berharap agar kecaman yang dilemparkan tidak melibatkan urusan peribadi serta keluarga pelakon berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Threads, Fasha dilihat menitipkan pesanan penuh kasih sayang kepada Elisya agar tidak terlalu terbeban dengan pandangan negatif yang diterima.
Menurut Fasha, tidak semua komen perlu diambil hati dan adiknya perlu terus melangkah sambil mengambil pengajaran daripada setiap perkara yang berlaku.
“Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza. Ambil apa yang boleh dipelajari, abaikan perkara negatif dan teruskan melangkah, Elisya.
“Jangan biarkan komen-komen negatif membebankan hati adik Angah. Berlembutlah dengan diri sendiri, biarkan segala bunyi bising itu berlalu dan ingatlah bahawa saat ini juga akan berlalu.
“Akak sentiasa ada untuk adik. Sayang adik sangat-sangat,” katanya.
Sementara itu, Kamal Adli pula terpanggil untuk memberikan pandangannya berhubung kecaman yang diterima bekas isterinya, Uqasha Senrose.
Menerusi ciapan di Threads, pelakon filem Abang Long Fadil itu mengakui dirinya bukan individu yang layak untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu drama berkenaan.
Namun begitu, Kamal berharap agar orang ramai tidak membawa kecaman tersebut ke arah kehidupan peribadi Uqasha sehingga turut melibatkan anak mereka.
“Salam rakyat, minta maaf sangat. Saya tahu saya tak layak cakap apa-apa tapi pasal isu drama Madu Atau Racun itu.
“Saya harap sangat korang jangan attack personal Uqasha sampai melibatkan nama anak saya dan benda lain,” tulisnya.
Kamal turut menjelaskan bahawa meskipun dia tidak menyokong perkara yang menjadi isu, itu bukanlah alasan untuk mana-mana pihak melampaui batas dalam memberikan kritikan.
“Saya tidak sokong tapi janganlah sampai libatkan personal dan rezeki Uqasha ya.
“Terima kasih rakyat, sayang rakyat comel,” tambahnya.
Terdahulu, drama Madu Atau Racun yang dibintangi Uqasha Senrose, Aliff Aziz dan Elisya Sandha menjadi perhatian selepas beberapa adegannya didakwa tidak sesuai dengan budaya serta pegangan agama masyarakat.
Kontroversi itu turut menyaksikan ada pihak yang meminta agar drama tersebut ditarik balik daripada tayangan.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan penayangan drama berkenaan kerana didakwa menimbulkan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Pihak MIG turut tampil membuat permohonan maaf kepada orang ramai susulan kontroversi yang tercetus, termasuk dakwaan bahawa drama tersebut menyentuh sensitiviti agama dan isu LGBTQ.
Susulan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan kesemua 12 episod Madu Atau Racun disunting semula sebelum dikemukakan kepada panel penilai untuk penilaian lanjut.
Enam episod yang telah disiarkan menerusi platform penstriman iQIYI juga perlu diturunkan buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan keputusan rasmi dibuat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.