
Malam ‘4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert’ yang bakal dilangsungkan di Plenary Hall KLCC pada 9 Mei 2026 menawarkan tujuh kategori tiket berlainan; setinggi RM6,999 sehingggalah serendah-rendah RM299.
Kategori tiket paling lumayan yang dinamakan sebagai ‘Setiaku Korbankan’ (Super VIP) itu sedikit sebanyak telah mengejutkan peminat setia Fauziah setelah pengumuman berlangsung semalam.
Meninjau respon balas di media sosial, rata-rata merasakan harga tiket Super VIP ini adalah antara yang tertinggi pernah ditawarkan oleh mana-mana penganjur acara konsert di Malaysia.
“Betul-betul ‘Setia Ku Korbankan’ Ni… Korbankan duit!”
“Demam harga…”
“Harga 6,999 tu kalau dapat bawa balik kak Jie sehari okay lah.. #SediakuKorbankan”
Begitupun, korang janganlah terkejut kerana selain mendapat tempat duduk terbaik di Plenary Hall KLCC nanti, korang juga akan diberikan kelebihan istimewa yang lain.
Antaranya, pembeli akan menikmati sesi ‘Meet & Greet’ bersama Fauziah Latiff, mendapat satu set persalinan gaun couture bernilai RM15,000 oleh pereka fesyen Ezuwan Ismail yang juga merupakan pemilik syarikat penganjur IDEATELIAR serta paling istimewa, hadir ke sesi eksklusif Fine Dining bersama Fauziah Latiff sendiri!
Tiket Super VIP ini bagaimanapun terhad kepada 36 pembeli sahaja setelah penjualan tiket dibuka pada 26 Januari 2026 (Isnin) jam 12 tengah hari.
Selain kategori tiket tersebut, penganjur juga menawarkan tiket bernilai RM1,299 (VIP – Dari Kaki Tangga Ke Menara), RM899 (Teratai Layu Di Tasik Madu), RM699 (Kau Merubah Segalanya), RM599 (Yang Lebih Kau Cinta), RM399 (Apa Sebenarnya) dan RM299 (Enggan).
Sebagai info, ini merupakan julung kalinya penyanyi kesayangan ramai, Fauziah Latiff muncul dengan konsert solo pertamanya sepanjang pembabitan selama 40 tahun dalam industri.
“Saya menerima pelawaan ini kerana IDEATELIER datang dengan niat yang sangat tulus untuk meraikan perjalanan 40 tahun ini dengan cara yang sangat ikhlas dan bermakna.
“Setelah sekian lama saya memilih untuk memperlahankan langkah, saya rasa inilah waktunya untuk kembali menemui peminat dalam sebuah konsert yang benar-benar istimewa,” ujarnya pada sidang media yang berlangsung semalam.
Sepanjang malam ‘4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert’ nanti, Fauziah yang mesra dengan panggilan Kak Gee akan mengimbau semula lagu-lagu ikonik dan momen behind-the-scenes
yang meninggalkan kesan mendalam sejak kemunculannya pada era 80-an hingga ke hari ini.Ezuwan mewakili IDEATELIER berkata, disebabkan momen ini cukup istimewa buat Fauziah Latiff, mereka ingin memastikan ia berlangsung pada standard tertinggi.
“Kami mahu penonton pulang dengan kepuasan seperti menyaksikan konsert paling bermakna, paling berkualiti dan paling ‘mahal’ dari segi emosi dan pengalaman,” katanya.
REMAJA pasti, ada sahaja peminat yang sanggup berhabisan wang demi menikmati malam konsert solo bersama Fauziah Latiff dengan susunan muzik segar, pentas megah dan membawa pulang pengalaman yang benar-benar memberi makna buat mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.