Kematian tragis pelajar sekolah agama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus mencetuskan rasa marah, sedih dan kecewa dalam kalangan masyarakat. Kes ini bukan sekadar satu lagi statistik, tetapi kisah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga meragut nyawanya.

Dalam arus suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan, pelakon Mimi Lana turut tampil bersuara dengan penuh ketegasan dan keikhlasan.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Mimi Lana atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, meluahkan kemarahannya terhadap sistem yang didakwa gagal melindungi Zara walaupun mangsa sudah beberapa kali memberi petanda bahawa dirinya dalam bahaya.

“Kita perlu keadilan untuk adik Zara, SEKARANG!” tegasnya.

Zara Dah Bersuara, Tapi Tak Didengari

Menurut laporan, Allahyarham Zara Qairina yang menuntut di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, dikatakan pernah menyebut nama pelajar-pelajar yang membuli dan menyeksanya secara fizikal dan mental.

Namun, luahan hatinya tidak diambil tindakan segera. Sehinggalah pada pagi 16 Julai lalu, Zara ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di hospital.

Mimi meluahkan rasa terkilan yang mendalam apabila suara mangsa seperti Zara tidak pernah benar-benar didengari.

“Dia dah minta tolong, dia dah bagi petunjuk, tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari sehingga dia akhirnya ‘pergi’.”

‘Sampai Bila Nak Diam?’

Dalam hantaran penuh emosi, pelakon The Experts ini mempersoalkan kelambatan tindakan terhadap budaya buli yang sudah lama berakar dalam institusi pendidikan.

“Sama ada dia dibunuh atau tidak, faktanya adalah dia dibuli. Dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana. Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak yang terkorban baru nak bertindak?”

Bagi Mimi, budaya buli bukan isu kecil. Ia adalah barah sosial yang boleh membunuh harapan dan kini, telah membunuh nyawa.

“Benda ni dah jadi barah dalam masyarakat. Budaya buli di sekolah bukan hal biasa. Ia bunuh jiwa, bunuh harapan, dan kali ini, ia bunuh nyawa.”

Suara Remaja Perlu Didengar

Majalah Remaja menyeru semua pihak, terutamanya golongan muda, agar lebih peka dan berani bersuara apabila berlaku ketidakadilan. Kes Zara Qairina adalah bukti bahawa tindakan lewat boleh membawa penyesalan seumur hidup. Kita tidak boleh normalisasikan budaya buli di sekolah atau mana-mana institusi.

Sama seperti Mimi Lana, kamu juga boleh bersuara demi Zara dan semua mangsa yang mungkin masih bertarung dalam diam.

Jika anda atau rakan menjadi mangsa buli atau penderaan, hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke 019-2615999. Jangan tunggu sehingga segalanya sudah terlambat.

Sumber: Instagram Mimi Lana

BACA LAGI : ‘Saya Mahu Kubur Zara Digali…’ – Ibu Zara Qairina Tuntut Kubur Digali Selepas Dua Minggu

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.