
Ketika ramai remaja seusianya sibuk bermain permainan video atau mengejar hobi baharu, Markus Villig pula memilih laluan berbeza. Pada usia 19 tahun, dia membuat keputusan berani untuk meninggalkan pengajian universiti dan mengejar impian membina perniagaan sendiri. Hari ini, Markus dikenali sebagai bilionair muda Eropah hasil strategi bijak membangunkan aplikasi e-hailing terkenal dunia, Bolt.
Mengikut laporan, Markus ketika itu baru semester pertama dalam bidang Sains Komputer di Universiti Tartu, Estonia. Namun, semangat keusahawanan yang membara membuatkannya yakin bahawa teknologi adalah bidang yang mampu memberi impak besar walaupun dengan pasukan kecil. Dengan modal pinjaman RM25,000 (€5,000) daripada ibu bapanya, Markus menubuhkan syarikat permulaan yang kemudian dikenali sebagai Taxify, sebelum dijenamakan semula menjadi Bolt.
Apa yang menjadikan Markus Villig berbeza bukan sekadar inovasinya, tetapi cara pelaksanaannya yang bijak. Beliau fokus kepada penyelesaian masalah setempat, menawarkan komisen lebih adil kepada pemandu serta mengutamakan kelestarian dan kecekapan operasi. Tanpa bajet pemasaran besar, Markus sendiri turun ke jalanan di ibu kota Tallinn untuk merekrut pemandu teksi menggambarkan semangat keusahawanan sejati.
Dalam satu wawancara, Markus berkongsi rahsianya, “Pelanggan hanya akan kekal jika mereka rasa berbaloi. Jadi, kalau kita boleh tawarkan harga 20% lebih murah dan beri pemandu pendapatan 20% lebih tinggi, itu kemenangan sebenar.”
Strategi itu terbukti berhasil. Bolt kini beroperasi di lebih 100 bandar di 30 negara, termasuk Malaysia, dengan lebih 150 juta pengguna dan setengah juta pemandu aktif. Pemandu Bolt juga dilaporkan memperoleh pendapatan purata 10% lebih tinggi berbanding platform pesaing.
Walaupun pernah gagal menembusi pasaran London akibat isu perlesenan, Markus Villig tidak berputus asa. Selepas beberapa percubaan dan penambahbaikan, Bolt akhirnya diluluskan beroperasi di United Kingdom pada tahun 2019. Kini, nilai syarikat tersebut dianggarkan melebihi RM39 bilion (AS$8.4 bilion) dan menjadikan Markus antara bilionair muda paling berjaya di dunia teknologi moden.
Kisah Markus Villig bukan sekadar tentang kejayaan kewangan, tetapi tentang keberanian mengambil risiko, disiplin dan fokus terhadap matlamat. Dalam dunia yang penuh persaingan, dia membuktikan bahawa usia muda bukan alasan untuk tidak berjaya.
💡 Mulakan dari apa yang ada. Walau kecil, langkah pertama itu boleh membuka jalan kepada kejayaan besar. Dengan fokus, strategi dan kerja keras, impian kamu juga boleh jadi realiti seperti Markus Villig dan Bolt.
BACA LAGI : Tahniah! Pesilat Remaja, Raqib Darwisy Raih Pingat Pertama Kontinjen Malaysia Di Bahrain
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.