Kimberly Chuah Pelakon Wanita Terbaik BMW Shorties 2025, Kongsi Pentas Bersama Hana Roanne

Share

Acara anugerah penciptaan kandungan digital terkemuka di Malaysia, BMW Shorties edisi 2025 anjuran BMW Group Malaysia sekali lagi mencuri perhatian apabila mengiktiraf bakat-bakat tempatan yang menyerlah dalam dunia perfileman pendek.

Pada edisi ke-19 ini, pelakon muda berbakat, Kimberly Chuah telah diumumkan sebagai penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik sekali gus mengukuhkan lagi namanya dalam industri kreatif tanah air.

Kimberly, 25, yang juga pemenang tempat ketiga pencarian Dewi Remaja 2022, menerima anugerah tersebut hasil penilaian juri profesional menerusi filem pendek berjudul Flat No 4 arahan Syalikh Nazrul.

Plot Penceritaan Flat No 4 Pada Tahun 1963

Dalam filem pendek berkenaan, Kimberly membawakan watak Suzy, isteri kepada Malik; dengan penuh penghayatan dan emosi yang terkawal. Lakonannya berjaya menampilkan sisi wanita era lampau yang lembut namun bijak membaca situasi di sekelilingnya. Peranan ini menjadi antara faktor utama kemenangan Kimberly Chuah BMW Shorties 2025 sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Istimewanya, Flat No 4 yang turut dibintangi oleh Arfie Shah sebagai Syamsul dan Cahaya Jais sebagai Chempaka sepenuhnya menggunakan dialog dengan kosa kata bahasa percakapan lampau, sejajar dengan latar masa penceritaannya yang berlaku pada era 1960-an.

Plot Penceritaan Berlatarbelakangkan Tahun 1963

Flat No 4 mengisahkan tentang keinginan Syamsul dan isterinya, Chempaka untuk membunuh adik tiri Syamsul bernama Malik yang mewarisi kekayaan arwah bapa mereka. Rancangan jahat tersebut bermula apabila mereka hadir ke kediaman Malik, namun mendapati Malik tiada di rumah.

Kehadiran mereka disambut oleh Suzy dengan ramah mempelawa mereka masuk. Namun, perancangan Syamsul dan Chempaka sedikit terbantut apabila mereka mendapati pasangan suami isteri itu telah mempunyai seorang anak kecil berusia tiga tahun. Dari situ, ketegangan emosi mula tercetus dan Suzy dilihat pantas membaca niat sebenar mereka.

BACA: “Dah Tiga Tahun Saya Tak Sambut Tahun Baru Cina…” -Kimberly Chuah

Berkongsi Pentas Bersama Hana Roanne

Usai Kimberly menerima trofi berkenaan, penyampai anugerah yang juga merupakan salah seorang juri edisi kali ini iaitu Fatimah Abu Bakar memberi kejutan kepada hadirin yang datang apabila mengumumkan bahawa mereka memutuskan untuk turut memberika trofi Pelakon Wanita Terbaik kepada seorang lagi calon iaitu Hana Roanne.

Hana yang juga merupakan seorang model komersil tempatan mencapai kemenangan tersebut menerusi filem pendek Tragedy of Youth. Keputusan kemenangan berganda menerusi kategori ini mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir, lalu menjadikan malam anugerah tersebut lebih istimewa.

BACA: “Kesempurnaan Memerlukan Praktik, Bukan Sekadar Teori..” Kebolehan Berbahasa Melayu Jadikan Kimberly Chuah UNIK – Isu Digital Ogos 2023

Empat Filem Pendek Dominasi Edisi Ke-19

BMW Shorties 2025 yang menyambut ulang tahun penganjuran edisinya yang ke-19 turut menyaksikan dominasi beberapa karya hebat.

Filem pendek Anak Omputeh arahan Darwish Syahmi, seorang mahasiswa dari Multimedia University (MMU) Cyberjaya, muncul sebagai karya paling menonjol apabila meraih Anugerah Hadiah Utama, Anugerah Pilihan Penonton dan Anugerah Pelajar Shorties Terbaik 2025.

Pencapaian ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya seorang pelajar berjaya memenangi Hadiah Utama dan Anugerah Pelajar Terbaik Shorties pada malam yang sama.

Selain itu, filem pendek Perfect Family arahan duo pengarah Shamalan Nagayai dan Wong Zhao Quan turut mencatat kecemerlangan dengan memenangi beberapa kategori utama termasuklah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Suntingan Terbaik dan Kisah Terbaik.

Filem pendek Sayap pula menyerlah dalam kategori teknikal apabila memenangi Sinematografi Terbaik dan Adunan Bunyi Terbaik. Sementara itu, rekaan set filem pendek Kedai Runcit Jiwa diiktiraf sebagai Rekaan Produksi Terbaik hasil kreativiti Khor Chin Joe.

*

Kejayaan Kimberly Chuah menerusi BMW Shorties 2025 bersama barisan pemenang lain membuktikan bahawa industri filem pendek tempatan terus berkembang dengan karya-karya berkualiti dan bakat yang semakin menyerlah.

Terdahulu, REMAJA menampilkan Kimberly Chuah bersama empat duta platform penstriman, sooka dalam REMAJA edisi digital November 2025.

BACA: Streamers! Assemble! – Edisi Digital November 2025 Bersama 4 Duta Kempen sooka Gilerrr

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ