Hiburan

Kim Seon-ho Rai Hari Lahir Ke-40 Dengan Lebih Bermakna, Sumbang 50 Juta Won Buat Kebajikan Warga Emas

Share

Pelakon, Kim Seon-ho baru-baru ini menyentuh hati para peminat apabila beliau memilih untuk menyambut hari lahirnya yang ke-40 dengan cara yang cukup bermakna iaitu dengan membuat sumbangan besar kepada komuniti warga emas di Korea Selatan. Tindakan ini sekaligus mengukuhkan reputasi beliau sebagai selebriti yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Menerusi sebuah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi pengurusan, Fantagio, Seon-ho telah menyumbangkan sebanyak 50 juta Korea Won (anggaran sekitar RM134,100) kepada Korea Association of Senior Welfare Centers sempena hari lahirnya pada 8 Mei lalu.

Pertubuhan tersebut merupakan sebuah organisasi kebangsaan yang menyelaras serta menyokong pusat kebajikan warga emas di seluruh Korea melalui pelbagai program termasuk dasar sosial, inisiatif pendidikan, kajian serta jaringan komuniti.

Difahamkan, dana sumbangan tersebut akan digunakan untuk membantu pelaksanaan aktiviti pendidikan dan program penyertaan sosial khusus untuk golongan warga emas di pusat-pusat kebajikan di seluruh negara.

Di samping itu, keputusan untuk membuat sumbangan ini dikatakan hadir selepas pelakon yang popular menerusi drama ‘Hometown Cha-Cha-Cha’ itu terlibat dalam penggambaran rancangan ‘Bonjour Bakery’, di mana beliau berpeluang berinteraksi secara lebih dekat dengan warga emas di beberapa komuniti luar bandar.

Daripada pengalaman tersebut, Kim difahamkan ingin memastikan sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi juga dapat menggalakkan golongan warga emas untuk terus belajar, aktif dan mencuba perkara baharu dalam kehidupan seharian mereka.

BACA: 7 Fakta Menarik Tentang Kim Seon Ho, Pelakon Drama Hometown Cha Cha

r

Dalam pada itu, para peminat turut membanjiri media sosial dengan reaksi positif, memuji sikap konsisten Kim Seon-ho yang menjadikan amalan menderma pada hari lahir sebagai tradisi tahunan sejak 2021, berbanding hanya meraikannya secara peribadi.

Untuk rekod, sebelum ini beliau juga pernah menyokong pelbagai inisiatif amal termasuk bantuan rawatan perubatan untuk kanak-kanak leukemia serta program sokongan untuk golongan muda yang sedang bersedia menjalani kehidupan berdikari selepas keluar daripada penjagaan institusi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE