
Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming baru-baru ini mencuri perhatian di media sosial sekali lagi apabila berkongsi komitmennya dalam menyiapkan rakaman video resipi bersempena bulan Ramadan akan datang, meskipun kini sibuk menguruskan perniagaan restorannya, Rembayung.
Perkongsian yang baru sahaja dimuat naik menerusi platform Threads oleh Khairul Aming atau pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, sekaligus menjawab persoalan netizen yang tertanya-tanya mengenai kelangsungan siri video ‘30 hari 30 resipi’ yang sinonim dengan beliau setiap kali menjelang Ramadan.
View on Threads
Menerusi hantaran berkenaan, beliau memaklumkan proses rakaman video tersebut mengambil masa yang panjang dan memerlukan komitmen tinggi daripada dirinya serta pasukan produksi.
“Dari 2 petang sampai 4 pagi shooting video puasa. 14 jam baru settle. Banyak lauk lebih ni. Siapa nak sahur jemput datang,” tulis jejaka yang kini berusia 34 tahun itu.
Menurut beliau, sesi penggambaran yang bermula seawal jam dua petang itu hanya selesai pada jam empat pagi keesokan harinya, menjadikan tempoh rakaman hampir 14 jam tanpa henti.
Walaupun berdepan jadual padat sebagai pengusaha restoran, Khairul Aming bagaimanapun tetap memastikan kandungan video Ramadan dapat dihasilkan seperti kebiasaan, demi memenuhi jangkaan pengikut setianya.
Sementara itu, perkongsian tersebut nyata menerima reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya memuji dedikasi serta disiplin beliau dalam mengekalkan kualiti kandungan sepanjang bulan puasa.
Untuk rekod, Khairul Aming dikenali sebagai antara pencipta kandungan tempatan yang konsisten menghasilkan video resipi sepanjang Ramadan, sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan berjaya dan figura berpengaruh dalam dunia digital.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.