Berita

Khairul Aming Kongsi Pesanan Buat Ibu Bapa, Jangan Paksa Anak Ikut ‘Template’ Kejayaan

Share

Setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anak. Namun, persoalannya, sejauh mana mereka perlu menentukan bentuk kejayaan yang perlu dicapai oleh anak?

Bagi pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, jawapannya mungkin tidak semudah melihat keputusan peperiksaan, pekerjaan atau pencapaian yang tertera di atas kertas.

Sebaliknya, dia percaya anak-anak perlu diberi peluang untuk mencari jalan hidup sendiri dan berkembang dalam persekitaran yang sesuai dengan minat serta kecenderungan mereka.

Pandangan tersebut dikongsikan KA ketika menjawab persoalan seorang netizen mengenai doa dan amalan yang dilakukan ibunya untuk dirinya.

Doa ibu jadi ‘bekalan’ dalam perjalanan hidup

Walaupun tidak mengetahui secara terperinci apakah doa yang sering dipanjatkan oleh ibunya, pemilik Sambal Nyet itu percaya seorang ibu pastinya sentiasa mengharapkan perkara terbaik buat anak.

“Saya pun tak tahu mak saya doa apa…”

Ujar Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, dia merasakan antara doa ibunya adalah supaya segala urusan anaknya dipermudahkan dalam kehidupan.

“Saya pun tak tahu mak saya doa apa tapi saya rasa mak saya doakan supaya urusan anaknya dipermudahkan,” katanya.

Daripada kisah kecil mengenai doa seorang ibu itu, KA kemudian membawa perbualan kepada perkara yang lebih besar iaitu cara ibu bapa melihat masa depan anak-anak.

Anak bukan ‘projek’ untuk capai impian ibu bapa

Menurut lelaki berusia 33 tahun itu, antara perkara yang perlu dielakkan adalah memaksa anak mengikut satu acuan kejayaan yang sudah ditetapkan.

Baginya, apabila meningkat dewasa kelak, anak-anak sendirilah yang akan menjalani kehidupan tersebut. Justeru, mereka perlu mempunyai ruang untuk membuat pilihan berdasarkan minat dan kemampuan masing-masing.

“Kadang-kadang kita nak anak ikut template kejayaan yang kita nak. Tapi kita kena ingat dia one day, dia akan jadi dewasa. Dia akan carry hidup dia,” ujarnya.

KA percaya setiap anak mempunyai potensi tersendiri yang mungkin hanya akan terserlah apabila mereka berada dalam bidang atau suasana yang benar-benar diminati.

Jika dipaksa melakukan sesuatu yang tidak disukai, potensi tersebut dikhuatiri tidak dapat berkembang sepenuhnya.

“Kalau kita letak dia dalam environment dia tak minat, dia takkan boleh bloom, dia takkan boleh berjaya.

“Kalau kita letak anak kita dalam environment yang dia suka, yang dia passion, dia minat, dia akan mekar setinggi yang boleh. Itu je,” katanya.

Pengalaman sendiri dengan cara didikan ibu

Pandangan tersebut bukan sekadar teori buat KA kerana dia sendiri merasai bagaimana ibunya memberi ruang kepadanya ketika membesar.

Daripada mengarahkan segala keputusan yang perlu dibuat, ibunya memberikan kebebasan untuk KA menentukan perkara yang dirasakan sesuai dengan dirinya.

Disebabkan itu, dia melihat pendekatan tersebut sebagai sesuatu yang wajar dicontohi oleh ibu bapa lain.

“Sebab kadang-kadang kita nak anak-anak ni follow template kita, kena jadi itu, kena jadi ini. Barulah mak bangga. Try to avoid that lah.

“Biar kita bangga anak kita jadi manusia berguna. Jangan kita bangga berdasarkan kejayaan dia on paper sahaja,” katanya.

‘Cemerlang atas kertas’ tak semestinya cukup

Dalam dunia yang sering menjadikan pencapaian akademik sebagai ukuran kejayaan, KA mempunyai pandangan berbeza.

Baginya, seseorang mungkin mempunyai keputusan akademik yang membanggakan, tetapi perkara itu tidak semestinya mencerminkan bagaimana mereka membawa diri dalam kehidupan.

Begitu juga mereka yang tidak begitu menyerlah dalam akademik kerana nilai seseorang tidak sepatutnya ditentukan hanya berdasarkan pencapaian di atas kertas.

“Ramai orang yang cemerlang on paper tapi perangai tak guna.

“Ramai juga yang on paper tak perform tapi dia yang jaga kita sampai ke hujung,” katanya.

Jutaan kisah buat KA lebih banyak belajar

Dalam masa sama, pengalaman berinteraksi dengan pengikut turut memberikan perspektif baharu kepada KA tentang kehidupan manusia.

Menurutnya, apabila terdedah kepada pelbagai kisah daripada orang ramai, banyak perkara yang dapat dipelajari dan dijadikan pengajaran.

“Saya dah terdedah dengan jutaan kisah orang. So banyak benda saya belajar. There’s a lot for me to learn,” katanya.

Pada akhirnya, bagi KA, kejayaan anak mungkin tidak perlu kelihatan hebat pada sekeping sijil atau resume.

Apa yang lebih bermakna adalah apabila anak-anak mampu membesar sebagai individu yang baik, berguna kepada orang sekeliling dan paling penting, mampu menjalani kehidupan yang mereka pilih sendiri.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath