Berita

Ketua Menteri Melaka Jadi ‘Abang Rider’, Penduduk Terkejut Datuk Seri Ab Rauf Sendiri Hantar Makanan

Share

Penduduk sekitar Masjid Tanah menerima kejutan apabila ‘abang rider’ yang muncul di hadapan rumah untuk menghantar pesanan makanan mereka rupa-rupanya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Berpakaian seperti penghantar makanan lain, Ab Rauf turun padang merasai sendiri pengalaman menjadi pekerja p-hailing dengan mengambil pesanan sebelum menghantarnya ke rumah pelanggan.

Apa yang dilakukan itu bukan sekadar mahu mencuba pengalaman baharu, sebaliknya bagi menyelami sendiri realiti dan cabaran pekerja gig yang mencari rezeki melalui platform digital.

Penduduk Terkejut ‘Abang Rider’ Rupanya Ab Rauf

Ab Rauf melakukan tugasan penghantaran selama kira-kira satu setengah jam bermula pukul 3 petang selepas menerima pesanan di sebuah premis makanan di Pengkalan Balak.

Beliau kemudiannya bergerak menghantar pesanan ke rumah pelanggan sebelum berakhir di Pekan Masjid Tanah.

Kemunculan Ketua Menteri Melaka sebagai penghantar makanan nyata memberi kejutan kepada penduduk yang tidak menyangka pesanan mereka akan dihantar sendiri oleh pemimpin nombor satu negeri itu.

Pengalaman tersebut turut memberi peluang kepada beliau melihat sendiri bagaimana pekerja p-hailing menerima pesanan, mengambil makanan dan membuat penghantaran kepada pelanggan.

Menurutnya, tindakan menyertai sendiri penghantar makanan itu merupakan antara pendekatan turun padang di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MESRA) untuk mendekati serta memahami permasalahan rakyat.

Walaupun pengalaman itu hanya berlangsung dalam tempoh singkat, beliau berkata ia memberikan gambaran mengenai jerih perih golongan p-hailing yang mencari rezeki dalam ekonomi digital.

“Daripada pengalaman ini, saya dapat menghayati kehidupan seorang ‘rider’ yang bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki tanpa mengira hujan dan panas demi menyara anak-anak dan keluarga mereka,” katanya.

Mahu Selami Sendiri Kehidupan Pekerja P-Hailing

Ketua Menteri Melaka itu berkata, beliau turut berpeluang melihat sendiri kaedah pekerja p-hailing menerima pesanan sebelum mengambil makanan dan menghantarnya ke rumah pelanggan.

Pengalaman tersebut membuatkannya lebih memahami kesungguhan golongan berkenaan yang bekerja keras setiap hari bagi mendapatkan pendapatan untuk menyara keluarga.

“Saya cuba menjadi seorang daripada ‘delivery boy’ (penghantar)… bagaimana kaedah menerima pesanan dan selepas itu cuba menghantar ke rumah orang.

“Saya cukup menghayati hasil pendapatan yang mereka peroleh untuk menyara keluarga di rumah,” katanya selepas menyantuni pekerja p-hailing di Masjid Tanah Sentral.

Lebih 3,000 Pekerja P-Hailing Melaka Bakal Dapat Manfaat

Dalam pada itu, beliau membawa berita baik apabila memaklumkan lebih 3,000 pekerja p-hailing di Melaka dijangka mendapat manfaat menerusi bantuan yang kini sedang dirangka.

Perincian mengenai bentuk bantuan berkenaan belum diumumkan, namun berita baik berkaitan perkara itu dijangka dikongsikan tidak lama lagi.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu, kebajikan pekerja p-hailing perlu diberikan perhatian memandangkan golongan berkenaan turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara melalui perkhidmatan penghantaran dalam talian.

Perubahan teknologi dan gaya hidup masyarakat juga menyebabkan kaedah perniagaan serta aktiviti ekonomi berubah, sekali gus menjadikan peranan pekerja p-hailing semakin penting.

“Saya akan menyarankan kepada pihak berwajib supaya melihat aspek kebajikan mereka.

“Mereka ini menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Di sebalik kemudahan membuat pesanan yang dinikmati pelanggan, pekerja p-hailing perlu bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mengambil dan menghantar pesanan, selain berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika mencari rezeki.

Pengalaman menjadi ‘rider’ itu secara tidak langsung membolehkan Ab Rauf merasai sendiri sebahagian daripada rutin harian golongan berkenaan.

Pada masa sama, Ketua Menteri Melaka itu turut menjemput golongan p-hailing menghadiri Karnival Anak Muda yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 4 September.

Karnival berkenaan antara lain menyediakan cabutan bertuah membabitkan hadiah 10 buah motosikal serta topi keledar edisi khas Ketua Menteri.

Bagi lebih 3,000 pekerja p-hailing di Melaka, perhatian kini pastinya terarah kepada pengumuman bantuan yang sedang dirangka dan dijangka memberi manfaat kepada kebajikan mereka.

Sumber : Berita Harian & melakaexplorer

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy