
Di saat ramai anak muda sibuk merancang percutian hujung minggu atau mencari hala tuju kerjaya yang lebih ‘trendy’, seorang remaja berusia 19 tahun ini memilih laluan berbeza apabila sanggup bergelumang dengan lumpur dan sisa buangan demi menyara kehidupan serta membantu masyarakat.
Dikenali sebagai Zamri, anak muda ini kini merupakan anggota pasukan Unit Khas Alam Flora yang bertugas dalam bahagian pembersihan longkang. Biarpun kerjanya tidak dipandang tinggi oleh segelintir masyarakat, namun hakikatnya, tugas yang digalasnya sangat besar dan penuh cabaran.

Ikut Jejak Langkah Bapa
Menurut Zamri, minatnya terhadap kerjaya ini timbul sejak kecil apabila melihat sendiri bapanya bekerja dalam bidang yang sama. Melihat ayahnya bersusah payah menyara keluarga melalui kerja-kerja pembersihan membuatkan dia sedar bahawa tidak ada kerja yang hina, selagi ia halal dan dilakukan dengan penuh kejujuran.
“Saya membesar tengok ayah kerja kuat. Jadi bila saya dapat peluang sertai Alam Flora, saya terus terima. Ini juga satu cara saya bantu keluarga dan teruskan semangat ayah,” katanya ketika ditemu bual oleh pihak Alam Flora menerusi akaun rasmi @alamflorasdnbhd.
Cabaran Bekerja Di Lokasi Sempit
Bagi sesetengah orang, longkang mungkin dianggap kotor dan menjijikkan. Tetapi bagi Zamri, ia adalah tempat di mana dia mencari rezeki dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Paling mencabar bila kena masuk dalam longkang-longkang yang kecil dan sempit, gelap pula tu. Tapi semua tu saya dah biasa. Bila buat kerja ni, saya tahu saya buat sesuatu yang penting,” jelasnya jujur.
Kerja yang dilakukannya setiap hari melibatkan aktiviti fizikal yang lasak, memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Namun, Zamri menganggap semua itu sebagai latihan untuk menjadikan dirinya lebih kuat dan cekal dalam menghadapi cabaran hidup.
@alamflorasdnbhd Kenali hero inspirasi kita kali ini, Zamri ❤️ Walaupun baru berumur 19 tahun, beliau sudah menggalas tanggungjawab dalam pasukan unit khas Alam Flora bagi cucian longkang. Apa yang lebih menyentuh hati, beliau mengikuti jejak langkah bapanya yang juga sebahagian daripada Alam Flora. Semangat anak muda ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk memulakan sesuatu yang bermakna. Terima kasih kerana menjadi inspirasi dalam diam dan hero di sebalik seragam. #jomrawatbumi #powerupgreenenergy #heroalamflora #dirtydifficultdangerous #enhancinglifeenrichingcommunities #fyp #masukberandafyp #foryou #trending #viral ♬ original sound – Alam Flora Sdn Bhd
Bangga Dengan Kerjaya Sendiri
Walaupun ada rakan-rakan yang terkejut dan mempersoalkan pilihannya, Zamri tetap tenang dan yakin dengan keputusan yang diambil.
“Ramai yang pelik kenapa saya pilih kerja ni. Tapi saya tak kisah sebab saya tahu saya mampu buat, dan saya rasa bangga sebab kerja ni pun bantu bersihkan kawasan orang awam,” katanya lagi.
Lebih daripada sekadar mencari pendapatan, Zamri membuktikan bahawa setiap kerja mempunyai nilai tersendiri dan mampu memberi kesan positif kepada masyarakat, jika dilakukan dengan ikhlas.
Zamri adalah contoh anak muda berjiwa besar yang wajar dijadikan inspirasi. Dalam usia yang masih muda, dia sudah menggalas tanggungjawab besar dan menunjukkan bahawa kejayaan tidak semestinya terletak pada nama jawatan, tetapi pada keikhlasan dan usaha yang dilakukan.
“Saya pilih jalan saya sendiri, dan saya bahagia dengan pilihan ni. Tak perlu glamor, cukup saya tahu kerja saya beri manfaat.” — Zamri, 19.
Majalah Remaja melihat kisah seperti ini sebagai satu peringatan bahawa setiap individu mampu menyumbang kepada komuniti — walau dari jalan yang mungkin tidak popular, namun penuh makna.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!


















