Berita

Kerajaan Umum Penambahbaikan BUDI, Bantuan Diesel Dinaikkan Hingga RM400 Sebulan

Share

Kerajaan akan menambah baik bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi negara terus berjalan lancar susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan harga diesel bertapis yang melonjak sehingga AS$250 atau kira-kira RM989 satu tong iaitu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat memberi kesan besar kepada kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, langkah penambahbaikan itu dilaksanakan secara bersasar melibatkan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.

“Keutamaan kerajaan adalah jelas iaitu memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia,” katanya dalam kenyataan media oleh Kementerian Kewangan.

Fokus Bantuan Bersasar Kepada Golongan Terjejas

Antara inisiatif yang diumumkan termasuk kenaikan Insentif Pembajakan kepada Pesawah atau IPKP bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar.

Langkah itu dijangka memanfaatkan kira-kira 200,000 pesawah dengan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.

Selain itu, bantuan tunai di bawah program BUDI Agri Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bermula April 2026.

Ia melibatkan lebih 350,000 penerima dengan tambahan peruntukan sekitar RM35 juta sebulan.

Kerajaan Tanggung Subsidi Sekitar RM7 Bilion

Dalam pada itu, Anwar berkata Kementerian Kewangan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi bulan ini termasuk tambahan peruntukan bagi semua inisiatif bantuan diesel.

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat terus dilindungi daripada kesan langsung ketidaktentuan harga minyak global.

Pelonggaran Syarat Pembelian Diesel Untuk Sektor Pertanian

Dalam masa sama, kerajaan turut melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan termasuk membenarkan pembelian melebihi 20 liter bagi pemilik jentera pertanian.

Ia boleh dibuat dengan hanya mengemukakan pendaftaran jentera, sekali gus memudahkan urusan golongan petani dan pekebun kecil.

Pemantauan Berterusan Situasi Global

Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam masa terdekat, manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan terus memantau perkembangan di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia.

Pemantauan ini bagi memastikan setiap bantuan dapat disalurkan kepada rakyat yang benar-benar terkesan dengan situasi semasa pasaran tenaga dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath