
Perjalanan jalan laut ke Gaza oleh 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia sememangnya merupakan pilihan yang sukar tetapi penuh makna.
Meninjau ke ruangan komen di media sosial selama beberapa hari kebelakangan ini, ramai yang menyoal mengapa jalan laut yang memakan masa cukup lama dipilih oleh organisasi misi kemanusiaan ini serta para aktivis.
Menjawab kepada persoalan berikut, aktivis dan selebriti, Heliza Helmi menyuarakan pandangannya sewaktu ditemu bual baru-baru ini.
Dari segi simbolik, Heliza berkata jalan laut ke Gaza menampakkan kesungguhan kita untuk menembusi kebisuan politik dan membawa suara rakyat Palestin ke pentas antarabangsa.
Kebanyakan peserta merasakan bahawa walaupun misi itu terhalang, tindakan berani melalui laut itu sendiri sudah menghantar mesej kuat kepada dunia.
Selain itu, langkah ini memberi peluang pembelajaran logistik dan keselamatan yang berharga kepada gerakan kemanusiaan antarabangsa untuk misi akan datang.
“Saya pernah bercakap kepada orang Gaza pada misi tahun 2012, ‘Kasihan kepada kamu diuji seperti ini. Kamu tidak ada ibu, tidak ada ayah. Seluruh ahli keluarga kamu sudah hancur. Kasihan kamu diuji seperti ini.’
“Lalu mereka berkata, ‘Tolong jangan kasihankan kami. Kami diuji seperti ini supaya kami beringat bahawa hari akhirat itu benar’. Mereka juga selalu berulang-ulang kali katakan kepada kami semoga InsyaAllah kita dapat bersama-sama solat di Masjid Al-Aqsa,” kongsinya.
Sepanjang dua tahun sejak perang tercetus di bumi Gaza, pelbagai usaha telah dilakukan oleh masyarakat dunia untuk kesejahteraan penduduk di sana. Doa sudah, berkongsi di media sosial juga sudah. Begitupun bagi para aktivis seperti Heliza, mereka merasakan usaha tersebut belum cukup maksimum lagi.
“Jalan darat kita sudah cuba, jalan udara hantar dengan drop pun tak jadi juga. Jadi, kita cuba dengan cara lain melalui jalan laut. Konsepnya adalah orang Gaza bila lihat kita beramai-ramai cuba sampai menggunakan jalan laut, mereka tidak sabar untuk menemui kita.
“Namun kata mereka, ‘Kalau kamu tidak sampai ke Gaza pun tidak mengapa. Kami faham. Semangat kamu sudah sampai kepada kami.’ Begitulah yang diberitahu oleh mereka.”
“Sama ada bantuan sampai atau tidak; yang penting usaha, yang akan dinilai mudah-mudahan oleh Allah SWT, sudah sampai kepada seluruh mata dunia. Isu perjuangan Palestin tidak akan berakhir sehingga nyawa kita berakhir,” ulas Heliza.
Perjuangan ini bukan sekadar penghantaran barang atau bantuan fizikal; ia satu simbol solidariti. Dengan memilih jalan laut ke Gaza, para aktivis mahu tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Palestin tidak diabaikan.
Jalan laut ke Gaza membawa mesej bahawa rakyat dunia sanggup menempuh risiko demi menyalurkan harapan dan sokongan moral. Di samping itu, cara ini membuka ruang untuk menarik perhatian media antarabangsa dan menaikkan tekanan diplomatik supaya lebih banyak usaha diplomasi dilancarkan untuk menghentikan kekejaman.
BACA: Heliza Helmi Cadang Kisah Perjuangan Palestin Dimasukkan Dalam Silibus Sekolah
Perjalanan melalui laut juga menandakan bahawa usaha itu dibuat secara bersepadu dan kolektif — peserta dari pelbagai negara dan latar belakang bersatu untuk satu tujuan.
Mereka sanggup melaburkan masa, tenaga dan kadangkala wang ringgit kerana percaya usaha begini mampu menggerakkan empati global. Walaupun risiko ditahan atau dihalang, semangat delegasi tidak rapuh; ia malah menguatkan lagi mesej bahawa sokongan tidak akan padam.
Kita juga perlu sedar bahawa keberkesanan jalan laut ke Gaza bukan ternilai hanya pada sama ada bantuan sampai atau tidak. Yang paling penting adalah proses dan niat di sebaliknya – ia menunjukkan tindakan nyata yang meninggalkan jejak di persada antarabangsa.
Proses itu memberi peluang bagi aktivis dan organisasi untuk membina rangkaian, berkongsi maklumat di lapangan, dan merancang bantuan masa depan yang lebih strategik.
BACA: “Tentera Perempuan Lebih Dasyat, Lebih Kejam!” – Heliza Helmi & Adik Tidak Gentar Gertakan
Kisah kembara GSF kali ini banyak mengajar kita semua tentang keberanian dan ketekunan. Kisah ini mengingatkan kita bahawa solidariti tidak mengenal sempadan.
Semoga pengalaman dan pengorbanan yang dilalui menjadi inspirasi kepada lebih ramai untuk terus berusaha dalam pelbagai bentuk. Teruslah mendoakan keamanan, menyokong usaha kemanusiaan dan menyalurkan bantuan mengikut saluran yang selamat dan berkesan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.