
Baru-baru ini, perkongsian daripada adik kepada mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), Temerloh yang dikenali sebagai Muhammad Niqmatullah Nazmi menyentuh hati orang ramai apabila berkongsi momen terakhir bersama anak saudaranya sebelum tragedi tersebut berlaku.
Menerusi beberapa perkongsian di Threads milik beliau, Niq mengenang kembali detik bersama anak saudara beliau yang berusia empat tahun, Muhammad Armaan Nazeef, sebelum kanak-kanak itu bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan maut berkenaan.
“Siapa sangka ‘bye-bye, paksu comel’ itu menjadi ucapan terakhir,” tulisnya.
Dalam satu lagi perkongsian, Niq turut berkongsi mengenai sebuah jam pintar yang sebelum ini diberikan kepada arwah abangnya, Muhammad Nazatullah Nazmi, namun kembali ke tangannya selepas pemergian insan tersayang itu.
“Semalam saya beri jam ini kepada abang, hari ini saya terima semula tanpa dia,” jelasnya.
Untuk rekod, kemalangan berkenaan mengorbankan tiga beranak iaitu Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan menaiki sebuah kereta Proton S70 dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kemalangan itu turut meragut nyawa seorang lagi penumpang sebuah kenderaan Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor.
Difahamkan, Allahyarham Muhammad Nazatullah dan Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya sebelum ini dikenali sebagai pemilik sebuah kafe terkenal, Secangkir Cafe di Sungai Karang, Pahang. Pemergian tiga beranak itu pastinya meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, apatah lagi selepas perkongsian Niq mengenai detik-detik terakhir mereka bersama kembali mengundang sebak orang ramai.
Dalam pada itu, perkongsian tersebut turut menjadi ruang buat Niq mengenang insan tersayang yang telah pergi, selain memperlihatkan betapa pantasnya sebuah momen biasa bertukar menjadi kenangan yang paling berharga buat keluarga yang ditinggalkan.
Sumber: Threads niq.nazmi
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.