Kenang Pengorbanan Sejak Kecil, Didie Shazry Hadiah RM15K Buat Kakak Sulung -“Dia Layak Dapat”

Share

Juara sulung Raise The Star Malaysia (RTSM) musim pertama, Didie Shazry membuat keputusan menyentuh hati apabila memilih untuk menghadiahkan separuh daripada ganjaran RM30,000 yang dimenanginya kepada kakak sulungnya, Asniza Norsita.

Bagi Didie, kakaknya yang kini berusia 33 tahun bukan sekadar seorang kakak, malah insan istimewa yang sanggup mengorbankan masa remajanya demi membesarkan adik-beradik selepas perceraian ibu bapa mereka.

“Separuh daripada wang kemenangan saya akan beri kepada kakak saya dan selebihnya saya akan menggunakan untuk berkarya.

“Saya berasakan kakak memang selayaknya mendapatkan wang kemenangan ini. Ceritanya dulu sewaktu umur sembilan tahun, ibu bapa saya bercerai. Masing-masing bawa haluan sendiri.

“Kakak baru berusia 16 tahun sanggup berhenti sekolah sebagai pengorbanan supaya adik-adik yang lain dapat bersekolah,” katanya kepada Remaja.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu turut mendedahkan, hadiah tersebut akan diberikan sebagai kejutan tanpa pengetahuan kakaknya.

“Saya tidak memberitahu dia mahu membahagikan wang kemenangan bersama. Ini merupakan satu kejutan buat kakak.

“Memang sudah berniat mahu berkongsi wang kemenangan ini. Dia memang layak mendapatkan apa yang saya terima ini. Pada malam ini (Ahad), kakak hadir melihat saya di pentas akhir.

“Di minggu separuh akhir pun dia sanggup datang dari Sabah untuk lihat saya membuat persembahan,” ujarnya.

Menurut Didie, kakak sulungnya itu juga sanggup berhenti sekolah ketika Tingkatan Empat demi memastikan adik-adik lain dapat bersekolah kerana keadaan keluarga yang tidak berkemampuan.

Didie juga berkongsi bahawa kehidupannya pernah berubah apabila dibesarkan oleh keluarga angkat yang membuka jalan untuknya mengenali dunia muzik.

“Saya tinggal dengan kakak sejak usia sembilan tahun hingga 12 tahun. Selepas itu saya diambil sebagai anak angkat oleh arwah abah angkat saya dan dialah yang banyak mengajar saya tentang muzik.

“Saya hidup dengan keluarga angkat sampai Tingkatan Empat kerana bapa angkat meninggal dunia dan kemudiannya tinggal semula dengan kakak sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak,” katanya lagi.

Semalam, Didie diumumkan sebagai juara RTSM musim pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath