
Bapa kepada pelajar perempuan yang menjadi mangsa tikaman sebanyak 16 kali dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk bertemu keluarga suspek sekiranya mereka ingin memohon maaf.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Firuz Ibrahim, sehingga kini masih belum ada sebarang usaha daripada pihak keluarga suspek untuk menghubunginya berhubung insiden berkenaan.
Mohd. Firuz, 43, berkata, kesediaannya untuk menerima permohonan maaf bergantung kepada keadaan ketika itu.
“Setakat ini saya belum menerima panggilan daripada keluarga suspek.
“Kalau ada keluarga suspek menghubungi dan memohon maaf, itu payah hendak cerita kerana kena tengok keadaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Firuz mengakui insiden yang menimpa anaknya memberi kesan emosi yang mendalam sebagai seorang bapa.
Menurutnya, melihat keadaan anak yang mengalami kecederaan akibat ditikam berkali-kali merupakan sesuatu yang amat menyayat hati.
“Memang sedih sangat. Kalau luka sikit pun sudah sakit, ini pula luka akibat tikaman begitu. Memang sedih melihat keadaan anak.
“Namun benda sudah berlaku, kita kena terima dengan reda,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dilaporkan cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sebuah sekolah menengah di Banting ketika waktu rehat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, suspek yang juga berusia 15 tahun telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.