Baru-baru ini media memaparkan kejayaan tiga penunggang motosikal kapcai yang berjaya merentas 7 negara sebelum sampai ke misi utama iaitu mahu melakukan umrah di Tanah Suci Makkah.
Memilih luar dari kebiasaan, Diami Yusoff, 58 bersama dua rakannya, Mohd. Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadhli Ab. Rashid, 40 memilih ke Makkah dan kembara ini dinamakan ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ dan bermula November lalu.
Jom baca pengalaman ketiga-tiga lelaki ini seperti mana ditulis oleh Najmi Farisham di dalam fbnya, yang bertemu ketiga-tiganya dan kesemuanya berkongsi pengalaman paling indah ini.
Tular berkenaan 3 orang lelaki dari Kelantan merancang ke Tanah Suci Mekah dengan cuma menunggang motosikal kapcai. Berita ini bukan hanya meniti di bibir-bibir orang kita sahaja, bahkan turut mendapat perhatian dada-dada akhbar negara jiran. Sangat mencuri tumpuan.
Perjalanan mereka bermula 3 November 2018 dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Setelah dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Kelantan, mereka bertolak ke Thailand diiringi konvoi oleh rakan bikers sejauh 600 kilometer.
Dengan hanya menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, mereka merentasi 6 buah negara seperti Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Arab Saudi. Kira-kira 8 buah negara semuanya dengan jarak sejauh 14,000 kilometer lebih. Fuh, sangat jauh woi. Mereka membuat jangkaan memakan masa selama 60 hari.
Hanya guna kapcai ke Makkah, pengalaman sukar dilupakan, Gambar Najmi FarishamBiar hadapi pelbagai rintangan, Allah mempermudahkan urusan ketiga penunggang ini dan diberikan nikmat kesihatan yang baik untuk menunggang motosikal selama 80 hari, Gambar Najmi Farisham
Namun rintangan sentiasa ada walaupun rancangan sudah diperkemas. Bak kata pak imam ketika kuliah maghrib, “Kita merancang, Allah juga merancang. Dan semestinya perancangan Tuhanlah yang terbaik.” Ada sesetengah kawasan yang mereka lalui tersangatlah teruk sehingga mengganggu perjalanan.
“Bayangkan jalan raya sepanjang 40 kilometer, kami terpaksa redah selama 8 jam. Fuh!” ujar salah seorang daripada mereka ketika kami makan bersama.
Mereka juga tersadai di sempadan Dubai selama 2 minggu bagi menunggu keputusan visa untuk membolehkan menunggang masuk ke Arab Saudi. Kalau tak memang kena patah balik ke Malaysia dan masuk melalui kapal terbanglah jawabnya. Begitulah yang dilalui oleh kebanyakan konvoi sebelum ini.
Bergambar kenangan dengan jemaah dari Malaysia yang ditemui di bumi barakah ini. Gambar Najmi Farisham.
Akhirnya pada hari ke-80, mereka berjaya sampai ke Bumi Madinah. Terus ke Masjid Quba untuk tunaikan solat dan menyantap hilangkan rasa lapar. Selesai saja, mereka langsung ke Masjid Nabawi. Seterusnya check-in hotel yang berdekatan untuk rehatkan diri.
“Macam mana abang boleh terfikir nak datang ke mari dengan motosikal?” soal aku.
Ads
“Asalnya kami duk main ajak-ajak ayam ja. Lama-kelamaan semua pakat bersungguh-sungguh nak buat. Jadi kita rancanglah, setahun juga ambil masa. Kita memang dah main motor di Kelantan. Terdetik dalam hati nak datang ke Mekah ini dengan apa yang kita minat, hobi kita,” jawab Abe Li sambil meneguk teh adunan orang Yaman.
Mereka ada cerita betapa banyaknya cabaran dan dugaan sepanjang 80 hari perjalanan. Motor rosak, terbalik, eksiden. Kena redah ribut pasir di padang sahara. Sampaikan pernah sekali mereka terpaksa tidur dalam balai polis ketika di Pakistan.
“Namun syukur, Allah tolong kami. Saat tengah susah, ada masyarakat sekitar yang datang hulurkan bantuan. Hulurkan lampu spotlight masa nak baiki motosikal di malam hari. Ada yang jemput ke rumah untuk tidur rehatkan badan. Ada yang hulurkan air dan makanan untuk disantap. Padahal berlainan agama, bahasa pertuturan dan budaya,” sambung Abe Mat di hujung meja sana.
Sampai di sini, disambut oleh Najmi dan kenalan. Rezeki yang Allah kongsikan dinikmati bersama. Gambar Najmi Farisham.
“Pernah sekali masa dah masuk Arab Saudi, motosikal kami rosak di tepi jalan. Tengah nak baiki, terdetik dalam hati yang hari ini tak makan apa lagi. Minum kopi Radix ja awal pagi.
Tiba-tiba datang sebuah kereta parkir sebelah kami. Keluar seorang Arab bersama karpet. Dihamparnya di tanah, disusunnya beberapa bantal dan meja. Dikeluarkannya seteko teh dan kopi Arab bersama kurma. Lalu pak Arab itu ajak kami makan sekali. Allahu Akbar, betul-betul Tuhan dengar rintihan kita…”
Belum sempat Abe Li habiskan ceritanya, Abe Lani segera menjampuk dengan mimik muka, “Rupanya pak Arab itu bergaduh dengan bini. Hihihi.”
Ads
Kami semua ketawa. Syukurlah Tuhan mudahkan semuanya.
Abe Li duk cerita antara pengalaman menarik ketika di India, mereka baru ja sampai di stesen minyak usang di sebuah kampung. Masa parkir motosikal tak ada orang pun. Tiba-tiba ramai betul rakyat depa keluar dari kedai-kedai di sekitar, berlari menyerbu ke arah mereka bertiga.
Punyalah takut ingatkan ada rusuhan apa dah, nak pukul ke apa kan. Rupanya mereka teruja dengan kedatangan orang asing. Nasib baik tak lari, kalau tak memang tak cukup tanah dah. Kahkah.
“Penat tak?” tanya aku spontan. Masih tak dapat nak bayangkan 80 hari perjalanan woih. Kita yang naik kapal terbang 8 jam pun dah sakit-sakit badan.
“Penat memang penat, cuma kita seronok buat. Dalam kepala nak sampai ke Mekah ja. Masa tengok papan tanda Madinah lagi 600 kilometer, lagilah kami bersemangat nak pulas minyak. Lagipun kita tak bawa laju, dalam 90 ja. Malam hari kita tidur, rehat kena cukup. Siang sajalah kami pulun,” balas Abe Li ringkas.
Macam-macam ada termasuk periuk nasi untuk memudahkan mereka memasak bekalan . Gambar Najmi Farisham.
Inilah bendera 7 negara yang berjaya direntas sebelum sampai ke Makkah dalam tempoh 80 hari. Bermula dari Malaysia, Thailand, Myammar, India, Pakistan, Iran dan seterusnya Arab Saudi. Gambar Najmi Farisham.
Sudahlah perjalanan ambil masa 80 hari. Umur mereka bertiga juga buatkan aku termenung sejenak. Abe Li umurnya 40 tahun. Abe Mat, 60 dan Abe Lani 64. Yang Abe Li itu aku fikir okey dengan kudrat orang muda lagi. Ini yang sudah masuk 6-series ini woih. Masih gagah perkasa. Haih.
Ads
Namun walaupun merentas 7 buah negara, makanan yang paling sedap apabila ditanya adalah, nasi putih lauk ikan cicah budu. Masak sendiri dekat bilik, makan dekat bilik. Fuh. Mereka memang bawa bekal tumis dan alat masak lain. Periuk nasi elektrik pun ada woih, disangkut atas motor.
Pada hari ke-83 perjalanan, barulah mereka bertolak ke Mekah dengan menaiki teksi. Ramai yang ternanti-nanti macam mana rupa mereka menunggang dengan memakai ihram. Mesti jadi sangat rare nanti. Kahkah.
Pergi Makkah dengan motor tapi balik guna kapal terbang. Gambar Najmi Farisham.
“Haa ikutkan hati, nok gi Mekoh naik motosikal terus, doh 400 kilometer jah lagi. Kito larat lagi. Tapi risau ko ihram lah. Namo keanya cabut, geger habislah,” kata Abe Li setelah selesai membuat urusan pos motosikal ke Jeddah melalui lori.
Cekal betul mereka ini. Hampir 3 bulan lamanya merentas negara berbeza untuk sampai ke Mekah. Mungkin orang kata, alah naik kapal terbang sajalah mudah. Namun sebenarnya, Tuhan dah aturkan cantik perjalanan ini. Dan mereka telah membawa kelainan yang tersendiri.
“Habis tu nanti balik Malaysia naik motosikal juga ke?” tanya aku sebelum kami meninggalkan kedai.
“Eh tak dah. Balik dengan kapal terbanglah, kang nak sampai rumah makan masa 80 hari lagi. Sebab itu page kami namanya GI MEKOH NGA MUTORja. Bukannya Gi Balik Mekoh Nga Mutor. Haha,” balas Abe Li sambil ketawa.
Teringat kata-kata Abe Lani yang akan aku pegang, “Pengalame ni kito keno cari. Buke dio hok mari sendiri.”
Itulah.
Najmi Farisham,
Wartawan Kegemaran Kalian.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Setelah hampir setahun trend bubble tea berkembang di Malaysia dan menjadi kegilaan, penulis berani katakan hampir semua remaja di sini pernah sekurang-kurangnya mencuba 1 jenama bubble tea.
Untuk kebanyakan dari kita pula, dah menjadi kebiasaan untuk kita pergi cafe hopping dan mencuba beberapa jenis. Itu yang sampai obses dengan bubble tea jadinya!
Dalam tak sedar, sebenarnya banyak duit yang dah dibelanjakan untuk minuman itu. Maklumlah, harga jualannya juga boleh tahan mahal.
Jadi apabila seorang remaja Malaysia bernama Wewwy Lim berkongsi di akaun Facebook-nya mengenai kos pembelian bubble tea dari bulan Januari hingga April tahun ini, dia sebenarnya telah ‘menelan’ sekeping tiket pergi-balik ke Thailand.
Menurut laporan China Press, Wewwy ‘ketagih’ dengan minuman ber-pearl dan mencuba setiap tawaran baru di kedai-kedai berhampiran, sehingga mendapat gelaran ‘Bubble Tea Expert’ oleh kawannya.
Hanya pada akhir Mei lalu, salah seorang kawannya terperasan betapa banyaknya foto bubble tea yang pernah dimuat naik.
Setelah mengira jumlah foto, mereka mendapati Wewwy sebenarnya boleh membeli tiket penerbangan pergi-balik dengan kos itu.
4 bulan x 8 cawan setiap bulan : 32 cawan
32 cawan x (RM12 – RM15) : RM384 – RM480
“Saya pernah merancang untuk ke Taiwan. Kalau saya tinggalkan ketagihan bubble tea ini, mungkin saya boleh bercuti ke sana sudah.”
Pada bulan Jun lalu, Wewwy telah hentikan ketagihannya dan memulakan tabung. Akhirnya pada akhir bulan lalu, dia telah berjaya membeli tiket penerbangan ke Taiwan!
*
Now kalau korang nak bercuti, why not korang cut down kos makanan dan minuman kegemaran tu.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ramai yang sering mengungkapkan perkataan ini tetapi sejauh manakah anda sanggup berkorban demi seorang sahabat sejati?
Ini yang berlaku pada selebriti Hollywood, Selena Gomez yang mengakui telah menerima sumbangan buah pinggang daripada sahabatnya, Francia Raisa. Dia yang mendedahkan perkara ini menerusi akaun Instagramnya turut berkongsi foto kesan pembedahan bersama kapsyen yang sangat menyentuh hati.
“Saya sedar ada para peminat mempersoalkan mengapa saya tidak mempromosikan muzik baru saya.
“Sebenarnya pada ketika itu saya diberitahu perlu mendapatkan pemindahan buah pinggang disebabkan penyakit Lupus yang dihadapi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan juga team doktor yang hebat kerana membantu sepanjang proses sebelum dan selepas pembedahan.
“Akhir sekali, tiada kata-kata yang dapat diungkapkan kepada sahabat cantik saya, Francia Raisa di atas pengorbanan yang dilakukan olehnya. Dia telah memberikan hadiah yang tiada nilainya dengan menyumbangkan buah pinggangnya. I love you so much sis!” tulisnya.
Dalam coretannya juga, Selena memberitahu bahawa tidak ramai yang tahu tentang penyakit yang dihidapinya itu.Jadi, persoalannya apakah sebenarnya dimaksudkan dengan penyakit lupus?
Menurut data daripada Lupus Foundation of America, 1.5 juta individu di Amerika Syarikat menderita penyakit lupus. Buat anda yang mungkin tidak pernah tahu apa itu lupus, berikut merupakan tujuh fakta tentang penyakit ini.
1. Banyak simptom yang berlaku
Lupus boleh menyerang pada mana-mana anggota badan dan orang yang menghidap penyakit ini mempunyai pelbagai simptom yang berbeza-beza.
Ramai yang menderita penyakit ini pada awalnya mengalami sakit kepala, sakit-sakit otot dan lain-lain. Namun, berbeza dengan penyakit-penyakit lain, jika anda mengalami simptom ini, anda akan mengalami kesakitan yang lebih dahsyat.
Ada juga simptom-simptom lain yang boleh dilihat seperti ruam yang berbentuk rama-rama pada tulang hidung. Ruam ini merupakan satu petanda jelas tetapi tidak semua menghidap lupus mempunyai simptom-simptom ini.
2. Memerlukan tempoh yang lama untuk didiagnos
Kebanyakan doktor memerlukan tempoh yang sangat lama, sekitar lima tahun untuk mendiagnosis pesakit lupus. Ini kerana simptom-simptom penyakit ini adalah pelbagai dan berbeza-beza.
3. Menyerang beberapa sistem tubuh
Ada beberapa bahagian tubuh yang paling banyak diserang penyakit ini, antaranya adalah radang pada jantung dan paru-paru. Selain itu, buah pinggang juga sering menjadi sasaran dan inilah yang terjadi pada selebriti Hollywood, Selena Gomez.
Lupus yang menyerang buah pinggang dinamakan nefritis, yang menyebabkan radang dan tidak dapat mencuci darah dengan baik. Selain itu, lupus juga boleh menyerang kulit, sistem saraf dan sistem pencernaan.
4. Memerlukan ubat yang kuat
Oleh sebab penyakit ini agak serius, ubat yang diperlukan untuk menyembuhkannya juga perlu mempunyai kesan yang kuat dan kerana itu juga, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang luar biasa.
Ubat ini berfungsi menghentikan sistem kekebalan yang menyerang tubuh dan memberikan risiko yang tinggi, bahkan boleh menyebabkan kanser.
5. Diet khusus
Beberapa bahan makanan ternyata dapat mengaktifkan penyakit ini. Pesakit perlu mengelakkan daripada mengambil tauge kerana ia mengandungi asam amino l-canavanine yang boleh menyebabkan lupus.
6. Sinaran matahari
Pancaran matahari boleh menyebabkan ruam pada kulit, sakit sendi dan melemahkan tubuh. Lebih baik jika anda mengenakan topi dan sunblock untuk mengelakkan cahaya matahari.
7. Kebanyakan pesakit adalah wanita
Walaupun pesakit lupus ini jarang-jarang berlaku, tetapi 90 peratus daripada pesakit ini adalah golongan wanita. Namun, belum ada penjelasan yang yang jelas tentang alasan kenapa wanita lebih banyak menderita penyakit ini.
Setelah difahami, rupa-rupanya penyakit yang dihidap oleh Selena Gomez ini agak serius juga. Untuk pengetahuan anda, beberapa selebriti lain Hollywood juga pernah menghidap penyakit ini, antaranya Kristen Johnson, Toni Braxton, Shannon Boxx dan Nick Cannon.
Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat membantu anda dalam mengenal pasti gejala-gejala penyakit lupus ini.
Malaysia telah memasuki hari kelima dalam menangani bencana alam banjir di beberapa buah negeri.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia berkata hujan berterusan di Malaysia pada akhir tahun ini sedikit sebanyak terkesan daripada tempias Taufan Rai yang melanda Filipina dan kini melanda Vietnam.
Taufan Rai disifatkan sebagai taufan paling teruk melanda Filipina tahun ini dan telah memakan ratusan korban nyawa.
Sama ada di mana-mana negara yang terlibat, bencana kali ini telah mendatangkan kesan yang mendalam dengan laporan kehilangan harta benda, tempat tinggal dan bilangan ahli keluarga dalam kalangan mangsa.
Ia sekaligus telah meraih perhatian masyarakat dunia yang turut bersimpati dengan nasib rantau Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini. Difahamkan, selain rakyat di Malaysia sendiri yang gigih mengulurkan sumbangan, beberapa pihak antarabangsa juga telah tampil ke hadapan untuk membantu.
Ini termasuklah daripada Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook. Menerusi ciapan di akaun Twitter-nya, beliau menyampaikan rasa simpati terhadap implikasi Taufan Rai kepada negara Filipina dan Malaysia.
Sambil itu, beliau mengesahkan bahawa syarikat Apple akan menyumbang bagi meringankan beban, membaik pulih dan berusaha untuk membantu pembangunan jangka panjang.
Typhoon Rai has caused so much devastation in the Philippines and Malaysia — so many families have lost so much. Apple will be contributing to relief, recovery, and longer-term rebuilding efforts. #OdettePH
Rata-rata warganet Malaysia mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan syarikat teknologi gergasi itu.
Namun pada masa yang sama, tidak kurang juga yang menyeru agar bantuan tidak dihulurkan melalui kerajaan Malaysia. Sebaliknya mereka berharap agar ia dihulurkan melalui organisasi bukan kerajaan di Malaysia atau NGO.
Menariknya, warganet Filipina juga bersetuju dengan seruan tersebut dan berharap agar bantuan yang bakal diberikan kepada Filipina adalah menerusi NGO di sana. Mereka enggan sumbangan disalahguna atau lebih malang, jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
Nampaknya, rasa muak rakyat terhadap tindakan lambat yang diambil oleh pihak kerajaan pada kali ini telah meluap-luap! Tidak hairanlah tanda pagar #RakyatJagaRakyat tidak pernah terlepas daripada menjadi 5 topik paling trending pada setiap hari sejak Sabtu lalu.
Sejak banjir besar melanda negara pada 18 Disember 2021, ia telah merekodkan angka korban mencecah 34 nyawa sekaligus menjadi jumlah kehilangan nyawa tertinggi dalam bencana alam sejak banjir besar 2014. Dua puluh tiga mangsa dicatatkan di Selangor manakala 11 mangsa lagi di Pahang.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Selepas mengesahkan tarikh pernikahan mereka, pasangan Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berkongsi pula perancangan untuk beberapa majlis...