
Wakil negeri Johor, Allyson Mei Ee berjaya mengenepikan saingan 11 jelitawan lain untuk dinobatkan sebagai Miss International Malaysia 2025, malam tadi.
Berlangsung di Sabah Intenational Convention Centre, Kota Kinabalu; Allyson yang merupakan seorang jurutera kimia ialah salah seorang peserta kegemaran yang diramalkan memberi saingan hebat terutamanya kepada peserta lain yang mempunyai pengalaman dalam dunia ratu cantik.
Terdahulu, Allyson pernah menyertai pertandingan Miss Universe Philippines 2025 menerusi tiket Persatuan Filipina Di California Utara dengan mewakili Caloocan City.
Berbekalkan pengalaman lalu ketika menyertai pertandingan tersebut, Allyson yang merupakan gadis kacukan Malaysia-Filipina berjaya memberikan persembahan penuh menyakinkan untuk setiap pusingan terutamanya dalam segman soal jawab (Q&A).
Allyson telah dimahkotakan oleh bekas juara Miss International Malaysia terdahulu, Cassandra Yap dan Ashlynn Ooi. Kedudukan naib juara disandang oleh We Wei manakala Chua Jian berpuas hati di kedudukan ketiga.
BACA: Mahasiswi Vietnam Berusia 22 Tahun Catat Sejarah Dinobat Sebagai Miss International 2024
Pada usia 16 tahun, Allyson telah merantau keluar dari Manila, Filipina untuk melanjutkan pengajian di California, Amerika Syarikat dalam jurusan ijazah muda sains dalam Kejuruteraan Kimia. Allyson meneruskan impiannya itu dengan berkhidmat di syarikat terkenal, Tesla di Silicon Valley sebagai seorang Jurutera Kimia untuk unit Penyelidikan & Pembangunan (R&D).
“Ia merupakan salah satu impian saya untuk berada di barisan hadapan pembangunan teknologi. Ketika saya bergelar pelatih di Tesla, pada hujung minggu saya ditugaskan menghantar kenderaan baharu ke rumah klien kami.
“Untuk melihat keterujaan pada wajah mereka dan mengetahui saya adalah sebahagian daripada pasukan yang membangunkan bateri untuk kenderaan itu, ia adalah satu perasaan yang sukar untuk digambarkan,” kata Allyson dalam salah satu temubual melibatkannya.
Tambah Allyson, dia percaya ramai gadis di luar sana sepertinya yang meminati dunia ratu cantik sejak kecil dan ingin satu hari nanti berada di atas pentas yang sama.
“Saya mula meminati ratu cantik sejak usia 10 tahun dan pada setiap tahun, saya tidak pernah terlepas menonton pertandingan seperti Binbining Filipina, Miss Universe Philippines dan Miss Universe. Perlahan-lahan saya meraih keyakinan daripada pengalaman saya dan hanya pada dua tahun lepas, saya menjadi lebih serius untuk mengejar impian itu.
“I believe in the power of representation. Sebagai seseorang dalam aliran yang didominasi oleh lelaki, saya tahu halangan yang perlu diharungi oleh wanita untuk dipandang secara serius. Kita boleh memiliki kelayakan yang sama dengan lelaki di sekeliling kita tetapi sukar untuk diterima.
“Saya tahu ramai kanak-kanak perempuan yang inginkan kerjaya dalam bidang sains dan pada masa yang sama sukakan kecantikan. Saya ingin menjadi wakil mereka. Saya ingin membuktikan kita mampu ‘redefine’ makna kecantikan pada abad ini. Ratu cantik zaman ini bukan hanya sekadar mementingkan kecantikan tetapi juga berbekalkan ilmu dan menjadi diri yang autentik,” ujarnya lagi.
Kini, Allyson dalam proses mempersiapkan diri bagi mewakili Malaysia ke pertandingan Miss International 2025 yang dijadualkan berlangsung di Tokyo, Jepun pada bulan November ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.